SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang mewajibkan solat fardu lima waktu sehari semalam untuk ditunaikan pada waktu yang tertentu. Ia tidak boleh dikerjakan sebelum masuk waktu ataupun sesudah waktunya tamat.
Dalam sebuah athar daripada Ibnu Mas'ud RA, beliau berkata: "Sesungguhnya bagi solat itu waktu yang telah ditetapkan sebagaimana ketetapan waktu untuk mengerjakan haji."
Hadis Nabi Muhammad SAW telah pun menjelaskan waktu kelima-lima solat fardu tersebut sebagaimana dalam hadis Jabir RA yang berkata:
"Sesungguhnya Jibrail telah mendatangi Rasulullah SAW lalu berkata: "Bangkit dan solatlah." Maka Rasulullah pun bangkit dan mengerjakan Solat Zuhur sesudah matahari tergelincir. Ketika waktu Asar tiba, Jibrail berkata: "Bangkit dan solatlah." Rasulullah SAW pun solat ketika bayang-bayang sesuatu itu telah menjadi sepertinya.
Apabila tiba waktu Maghrib, Jibrail berkata: "Bangkit dan solatlah". Rasulullah SAW mengerjakan solat Maghrib ketika matahari sudah terbenam. Ketika tiba waktu Isyak, Jibrail berkata: "Bangkit dan solatlah." Baginda SAW pun mengerjakan solat Isyak sesudah hilangnya cahaya di ufuk.
Apabila tiba waktu Fajar, Jibrail berkata kepadanya: "Bangkit dan solatlah." Rasulullah SAW pun bangkit dan mengerjakan solat Fajar setelah timbulnya cahaya fajar yang melintang." (Riwayat Ahmad, sahih)
Adalah menjadi kewajipan Muslim untuk mengerjakan kelima-lima solat fardu ini pada waktunya; tanpa diawalkan mahupun dilewatkan kecuali dalam keadaan musafir atau sakit dan seumpamanya yang mana syarak membolehkannya untuk mengerjakannya secara jamak.
Adapun mereka yang sengaja melewatkan solat sampai keluar waktu tanpa keuzuran syarie, sesungguhnya dia lalai dan bertindak buruk dalam mengerjakannya.
Kata seorang tokoh dalam kalangan ulama generasi Tabiin Saeed bin Al-Musayyab: "Ertinya dia tidak mengerjakan solat Zuhur sampai tiba waktu Asar, dia tidak mengerjakan solat Asar sampai tiba waktu Maghrib, dia tidak mengerjakan Maghrib sampai tiba waktu Isyak, dia tidak solat Isyak sampai tiba waktu Fajar dan dia tidak solat Subuh melainkan sesudah matahari terbit."
Sesiapa yang terus menerus melakukan sebegini tanpa bertaubat daripadanya, sesungguhnya ancaman pedih menantinya dalam neraka jahanam.
Firman ALLAH: "Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati ALLAH; dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi." (Surah Al-Munafiqun: 9)
Menurut ulama tafsir, erti mengingati ALLAH dalam ayat di atas ialah solat fardu lima waktu. Barang siapa yang disibukkan dengan harta dan anaknya daripada mengerjakan solat pada waktunya, sesungguhnya dia dalam kalangan orang yang rugi yang tidak bermanfaat buatnya harta dan anaknya.
Lalai kerjakan solat
Sungguh perkara ini melibatkan bahaya yang besar. Sebahagian orang mengambil mudah perkara ini sehingga dia lalai daripada mengerjakan solat pada waktunya sama ada kerana urusan dunia seperti membeli belah dan tugasan pejabat, kerana bermain atau kerana sengaja tidur pada waktu solat sampai terkeluar waktunya.
Malah sebahagian mereka sampai mengumpulkan kelima-lima solat fardu dan mengerjakannya sekali gus sesudah dia pulang ke rumah pada waktu malam.
Semua ini termasuk dalam erti kata mempermainkan urusan agama dan bersikap sambil lewa dalam menunaikan kewajipan solat yang menjadi tiang agama dan beza antara orang beriman dan orang kafir. Hendaklah dia segera bertaubat kepada ALLAH daripada perbuatan ini.
Jika tidak, selagi mana dia meneruskan sikap ini sesungguhnya dia terdiri dalam kalangan orang yang lalai menunaikan solat, golongan yang rugi dan mendapat ancaman kecelakaan dan kebinasaan.
Adapun mereka yang terlepas solat kerana tidak sengaja dengan tidur atau lupa, hendaklah dia segera menunaikannya. Sekiranya yang tertinggal adalah beberapa solat maka hendaklah dilaksanakan kesemuanya sekali gus ketika dia ingat mengikut susunan waktunya iaitu Subuh sebelum Zuhur, Zuhur sebelum Asar, Asar sebelum Maghrib, dan Maghrib sebelum Isyak.
Solat tertinggal
Mereka yang keliru dalam menunaikan solat tertinggal kerana tidak sengaja iaitu apabila mereka teringat mereka tidak bersegera menunaikannya. Sebaliknya, mereka menangguhkannya lagi untuk ditunaikan apabila mereka senang.
Contohnya solat Subuh apabila seseorang itu bangun sesudah matahari terbit. Kerana sebab tertentu seperti lewat ke tempat kerja dan seumpamanya, mereka memilih untuk menangguhkan solat sehingga sampai ke pejabat atau barangkali sampai ke waktu Zuhur barulah mereka mengerjakannya.
Hakikatnya perbuatan mereka salah. Walaupun sudah terlepas waktunya, tetapi ini tidak bererti mereka boleh bertangguh-tangguh solat yang terlepas itu sesudah mereka mengingatinya. Perlu kita ingat solat fardu itu telah ditetapkan waktunya.
Begitu juga dalam keadaan terlepas waktu solat dengan tidak sengaja akibat lupa atau tertidur di mana waktu mengerjakannya adalah ketika kita teringat atau bangun tidur. Dengan erti kata lain, jika kita terus menangguhkannya hakikatnya kita melepaskan waktu kecemasan yang diberikan oleh syarak untuk kita menunaikan solat yang terlepas itu.
Qada solat
Mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja sama ada satu solat fardu, dua atau sehari semalam atau barangkali sampai berhari-hari dan berminggu-minggu, mereka dalam keadaan bahaya. Ternyata golongan yang sengaja meninggalkan solat diancam dengan kekufuran.
Jika mereka mati tanpa bertaubat, mereka boleh memilih untuk mati dalam keadaan Yahudi, Nasrani atau agama kufur yang lain. Segeralah bertaubat sebelum terlambat. Sungguh ALLAH Maha Pengasih.
Buat mereka yang ingin bertaubat daripada perbuatan meninggalkan solat, tidak dinafikan terdapat pandangan ulama yang mengatakan hendaklah mereka ganti solat yang ditinggalkan dahulu walaupun sudah bertahun-tahun lamanya.
Cuma, pandangan ini tidak tepat memandangkan orang yang sengaja meninggalkan solat sampai keluar waktu, mereka tidak boleh mengqada solat tersebut. Sebabnya jelas, kerana mereka melepaskan solat tersebut sampai keluar waktu dengan sengaja. Nabi SAW menyebut dalam hadis memberi kelonggaran buat mereka yang terlupa atau tertidur sahaja, berbeza dengan orang yang sengaja.
Justeru, pandangan yang kuat dalam permasalahan ini adalah, mereka yang ingin bertaubat daripada perbuatan meninggalkan solat hendaklah memperbanyakkan amalan sunat sama ada dalam solat, puasa, bersedekah dan sebagainya. Dengan harapan semoga amalan sunat tersebut dapat menampung dosa mereka.