Isnin

'Tak sangka ALLAH balas cepat'

Sedekah

KETIKA saya dan suami berkunjung ke Melaka untuk menziarahi sahabat, kami mengambil peluang singgah ke Kota A Famosa, monumen bersejarah yang menjadi kebanggaan bandar raya pelancongan itu.


Selepas puas menaiki beca keliling bandar, kami singgah ke surau di Bandar Hilir untuk Solat Asar. Ketika itu, panas mentari masih terik walaupun sudah menjengah petang.

Saya duduk di atas bangku menunggu suami yang saya fikir masih belum keluar dari surau. Rupa-rupanya, dia sudah pun bersembang dengan seorang penarik beca tidak jauh dari tempat saya.

Ketika saya menghampiri mereka, perbualan sudah pun tamat. Suami mengiringi langkah pakcik beca itu dengan pandangan seribu makna membuatkan saya hairan dan tidak sabar mahu bertanya.

"Kenapa? Macam serius bersembang?" Soal saya ingin tahu.

Sambil menggeleng-gelengkan kepala, dia mengajak saya masuk ke kereta kerana petang itu juga kami perlu sampai ke Shah Alam atas urusan lain.

“Sembang apa?” Soal saya lagi selepas memasang tali pinggang keledar. Suami masih menggelengkan kepala sambil menjawab,

“Lepas ni, jangan kedekut untuk bersedekah. Malu betul saya dengan pak cik tadi,”

Eh, lain pula yang dia jawab. Saya masih meneka-neka dalam hati. Kenapa pula suami jadi macam ni? Nak tanya lebih-lebih, bimbang terlalu mendesak pula. Akhirnya, saya diamkan sahaja.

Dermakan segumpal wang

Separuh perjalanan suami membuka cerita. Katanya, keluar sahaja dari surau, dia berjalan-jalan untuk melihat orang ramai di situ. Sedang berjalan-jalan, dia disapa seorang kanak-kanak berusia lingkungan 11 tahun.

Kanak-kanak itu menjinjit beg sandang berisi buku agama dan panduan solat sunat. Dia mendekati suami dan seperti yang mungkin anda biasa lalui, dia mempromosikan buku itu atau sekurang-kurangnya minta anda menderma.

Walaupun hairan dengan kewujudan kanak-kanak itu, suami menghulurkan juga RM1 dan menolak untuk membeli bukunya. Dengan langkah berat, kanak-kanak itu beralih pula kepada pakcik beca yang sedang menunggu pelanggan kira-kira 10 langkah daripada suami.

Dari jauh suami memerhati gelagat kanak-kanak itu. Lelaki lewat 50an itu pada mulanya menyerahkan RM5. Tersenyum kanak-kanak itu tadi apabila pakcik beca juga menolak untuk menerima buku daripadanya.

“Pakcik derma saja,” jawab lelaki tua itu.

Selepas kanak-kanak itu pergi, dia menyeluk pula saku seluarnya dan mengeluarkan segumpal RM1 dan RM5. Kalau dicongakkan, mungkin lebih RM20.

“Adik!” Lelaki tua itu menjerit memanggil semula kanak-kanak yang sudah beberapa langkah berlalu darinya. Kanak-kanak itu berpaling dan berlari perlahan mendekati pakcik beca semula.

“Nah ambil ni,” katanya sambil menepuk-nepuk bahu si kecil.

Kanak-kanak itu kelihatan terkejut namun tetap mengucapkan terima kasih dan menghadiahkan senyuman sebelum bersalam mencium tangan pakcik itu, dan berlalu pergi. Ketika itulah suami yang kehairanan mendekati pakcik beca.

Upah naik beca

Suami memberi salam dan disambut mesra pakcik beca. Apabila suami amati, lelaki itulah yang membawa kami bersiar-siar tadi.

“Saya perhatikan pakcik, mula-mula pak cik beri RM5, lepas tu beri lagi segumpal duit. Banyak tu. Kenapa ye?” Suami bertanya.

Dengan senyuman lelaki tua itu menjawab “Saya kesian.”

Jawapan pakcik itu bersahaja tapi ia membuatkan suami lebih hairan.

“Tapi, pak cik pun kerja bawa beca. Itu pendapatan hari ini ke?” soalnya.

“Tak apalah. Saya ni masih kuat lagi. Boleh bawa beca tu cari duit lain. Tapi budak macam tu sepatutnya pergi sekolah. Terpaksa cari duit dengan cara macam tu. Apalah sangat akal seorang budak,” jawabnya lagi.

"Tapi, mana tau ada sindiket ke, menyamar ke, atau..." ujar suami yang mahu memberi alasan lain sebelum pakcik itu tiba-tiba memintas kata-katanya.

"Pak cik tak fikir sejauh itu. Ia urusan ALLAH. kita doa yang baik-baik saja pada mereka," jawabnya.

Suami terpempan dengan jawapan pakcik beca. Melihat pakcik beca mahu berlalu, suami hulur sedikit wang kepada pakcik itu, tapi dia menolak. Suami paksa juga sambil bersalam dan menyelit wang di celah-celah tangannya.

“Pakcik anggap saja sebagai upah bawa saya dan isteri naik beca tadi,” kata suami memujuk pak cik itu untuk menerima pemberiannya.

Dengan senyuman pak cik itu menjawab, “Pakcik sedekah tadi ikhlas dan tak minta balasan. Tak sangka secepat ini ALLAH balas sedekah pakcik,” katanya.

Kenyataannya buat suami rasa terpukul apatah lagi membandingkan kemampuan kami dengan pak cik beca yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang itu. Saya pula kelu seribu bahasa.

Memang betul kata pakcik itu. Kadang-kadang, bila ada yang minta sedekah, ada saja suara hati yang melarang dengan kata-kata seperti mungkin sindiket, kenapa tak kerja, duit hanya cukup untuk bulan ini dan pelbagai alasan lain yang mengehadkan saya daripada bersedekah.

Teringat pesan emak, dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain. Banyakkan memberi walaupun hanya RM1. Anda bagaimana? Setiap detik yang kita lalui itu ketentuan ALLAH. Dia menghantar kanak-kanak kecil menjual tasbih mahupun buku untuk menguji kita. Untuk memberi kita peluang berbuat pahala dan mengurangkan dosa.

Anggap saja, mungkin kita sudah lama tidak bersedekah hingga ALLAH datangkan mereka betul-betul di hadapan mata. Soal sindiket atau tidak, tipu atau sebagainya, itu bukan urusan kita. ALLAH Maha Mengetahui.

Jumaat

Cara mudah doa dimakbulkan Tuhan


SEBENARNYA isu halal haram berkisar kepada tiga perkara asas: pertama, sikap pengguna yang beragama Islam terhadap nilai halal haram makanan yang dibeli; kedua, sikap penjual sama ada mereka menghormati pantang-larang orang Islam; dan ketiga, penguatkuasaan undang-undang sama ada mencukupi untuk membendung perbuatan menipu logo halal.

Pentingnya pilih makanan Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd Fadzli Ismail, berkata pemahaman mengenai pentingnya memilih makanan sememangnya diketahui umum. Ramai yang gemar memilih makanan mengikut kemampuan, keinginan dan selera masing-masing.

Bagaimanapun, mereka hanya melihat kelazatan dan khasiat tanpa meneliti sejauh mana kesesuaiannya untuk dimakan, terutama dari segi kebersihan dan halal menurut syariat.

“Makanan yang suci dan bersih menjamin kesihatan yang baik. Di samping memilih makanan berzat dan berkhasiat, sebaik-baiknya perlu ditekankan soal kebersihan dan kesuciannya dari segi syariat agama.

“Islam menitikberatkan kesihatan umatnya. Seseorang mukmin yang sentiasa prihatin terhadap kebersihan dan kesucian makanannya setiap hari akan melahirkan nur keimanan dalam diri untuk turut sama menjaga kebersihan secara keseluruhannya, termasuk pakaian, tempat tinggal, tubuh badan, tingkah laku dan sebagainya,” katanya kepada Rehal.

Menurutnya, dalam ibadat asas agama iaitu solat, aspek terpenting yang ditekankan ialah kebersihan diri. ALLAH tidak akan menerima solat hambaNya yang beribadat dalam keadaan kotor.

Keadaan itu sesuai dengan maksud hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban iaitu: “Menjadi bersihlah kamu, kerana sesungguhnya Islam itu bersih.”

Kesan buruk si pemakan

ALLAH berfirman: “Makanlah apa yang dikurniakan ALLAH kepada kamu daripada benda yang halal lagi bersih. Bersyukurlah dengan nikmat ALLAH jika kamu benar-benar menyembah ALLAH. Sesungguhnya ALLAH hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang sembelihan bukan kerana ALLAH. Maka, sesiapa dalam keadaan yang terpaksa memakannya, sedang dia tidak sengaja dalam mencarinya, sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun lagi Maha penyayang.” (Surah al-Nahl :114-115)

Mohd Fadzli menerangkan, makanan haram sama ada daripada bahan yang dicampuri najis dan benda syubhah atau daripada punca yang tidak halal serta syubhah boleh mendatangkan tiga bahaya besar kepada pemakannya, iaitu:- Pertama, makanan itu akan mempengaruhi jiwa seseorang sehingga dia berasa lebih gemar melakukan maksiat dan bencikan kerja-kerja kebajikan. Kedua, doanya tidak akan dimakbulkan ALLAH.

Ketiga, ia akan menyebabkan dia mendapat seksaan neraka di akhirat kelak.

“Apa jua bentuk makanan halal dan bersih perlu diikuti peraturan memakannya sebagaimana disarankan Islam.

“Makanan seimbang umpamanya, akan dapat menghindarkan diri seseorang daripada dihidapi penyakit tertentu,” ulas anak jati Kelantan ini lagi.

Menurutnya, ikutilah saranan Rasulullah yang menyarankan perut manusia diisi dengan satu pertiga air, satu pertiga makanan dan satu pertiga lagi adalah udara. Ia amat bertepatan dengan ilmu Sains dan kesihatan yang perlu diamalkan manusia. InsyaAllah jika cukup jumlah yang disarankan Rasulullah itu, sudah pasti kita bukan saja akan dapat merasai nikmat kenyang bahkan hidup lebih mendapat rahmat dan keredaan ALLAH.

Makanan jadi najis

“Sekiranya kita nampak dan yakin masakannya menggunakan bahan yang tidak dibasuh contohnya telur yang mengandungi najis dan belum dibasuh, maka makanan yang kita makan adalah najis juga. Oleh itu pastikan telur berkenaan dibasuh terlebih dahulu sebelum dimasukkan dalam sesuatu masakan atau direbus.

“Ramai yang bertanyakan mengenai makan bersama orang bukan Islam, ia diharuskan. Begitu juga, memakan makanan yang diberikan orang bukan Islam dibolehkan (halal) jika makanan tersebut terhindar daripada makanan yang diharamkan, seperti mengandungi khinzir, arak atau bangkai (binatang yang haram dimakan atau binatang yang boleh dimakan tetapi tidak disembelih secara syarie) dan sebagainya,” kata Mohd Fadzli.

Menurutnya, insan mukmin perlu menghindarkan diri daripada mengambil makanan yang sudah lama terbuka, dari tin berkarat, makanan yang layu dan sebagainya. Kita memakan sesuatu jenis makanan untuk mendapat sejumlah tenaga mencukupi daripada zat dalamnya. Islam dan ilmu kesihatan begitu intim hubungannya.

Berkongsi perkakas dapur

Rasulullah pernah dijemput oleh seorang Yahudi ke suatu jamuan yang disediakannya, iaitu makanan yang terdiri daripada roti yang diperbuat daripada bijirin barli dan bubur yang sudah berubah baunya, dan Baginda SAW menerima undangan tersebut. (Riwayat Imam Ahmad) Mohd Fadzli berkata, sesetengah orang Islam, berkongsi menggunakan perkakas dapur dengan orang bukan Islam adakala menjadi suatu perkara yang tidak dapat dielakkan dalam kehidupan mereka sehari-hari terutama dalam kalangan pelajar Islam yang belajar di luar negara yang tinggal sebumbung dengan pelajar bukan Islam, mahupun dalam kalangan pekerja Islam yang berkongsi dapur dengan pekerja bukan Islam atau pelancong-pelancong Islam yang tinggal di apartmen-apartmen di luar negeri.

“Tidak dinafikan adakala perkakas tersebut digunakan untuk makanan dan minuman yang tidak halal seperti daging babi atau bahagian lain dari binatang tersebut, daging binatang yang tidak disembelih menurut cara Islam serta cecair yang memabukkan.

“Benda-benda tersebut merupakan najis dalam Islam dan haram ke atas umat Islam untuk memakan atau meminumnya. Perkakas tersebut juga perlu dibasuh terlebih dahulu jika kita hendak menggunakannya dan jika ia digunakan untuk memasak benda yang dikatakan najis Mughallazah seperti babi maka ia perlulah disamak terlebih dahulu (menyiramnya dengan enam air biasa dan satu air tanah),” katanya.

Menurutnya, banyak kitab membicarakan mengenai situasi itu seperti kitab Hawasyi asy-Syarwani mengatakan bahawa makruh menggunakan bejana (perkakas) orang-orang kafir, dan apa yang mereka pakai, dan (manakala) apa yang di bawah-bawah (pakaian dalam) mereka iaitu apa yang langsung menutupi (mengenai) kulit adalah lebih-lebih lagi (makruhnya). Dan (manakala) bejana (perkakas) air mereka itu adalah lebih ringan (makruhnya).”

Sesungguhnya, apa yang kita makan akan mempengaruhi akhlak dan sifat manusia. Rasulullah sangat prihatin dalam soal ini serta berpesan kepada sahabat yang bertanya mengenai bagaimana cara yang paling mudah doa dimakbulkan Tuhan. Maka Rasulullah menyuruh sahabatnya itu menjaga makanan dan memakan makanan yang halal serta baik-baik (bersih).