Sabtu

Amalan 10 Malam Terakhir Ramadhan

 


Antara amalan Nabi SAW apabila mendekati 10 malam terakhir Ramadan adalah:

    Melakukan qiamullail;
    Menggerakkan keluarga untuk solat malam pada malam itu;
    Tidak mendatangi isteri (daripada melakukan jimak);
    Mandi antara Maghrib dan Isyak;
    Iktikaf dalam masjid.

Aisyah meriwayatkan bahawa Nabi SAW tidak sentiasa melakukan ibadat pada 10 yang terakhir Ramadan dengan cara yang tidak pernah dilakukan pada waktu selainnya. (Riwayat Muslim)

Dalam hadis ini nabi memberikan penumpuan khusus kepada malam terakhir Ramadan untuk merebut peluang mendapat lailatul qadar yang disifatkan Allah dalam ayat ke-3 surah al-Qadar sebagai: “Lailatulqadar lebih baik daripada 1,000 bulan.”

Demikian pula dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim, maksudnya: “Sesiapa mengerjakan ibadah pada lailatulqadar kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan keredaan-Nya, diampunkan dosanya yang lalu”.

Diriwayatkan al-Tabarani daripada Ali bahawa Nabi SAW mengejutkan keluarganya pada 10 hari terakhir di kalangan yang kecil dan besar dan yang dewasa yang mampu melakukan solat.

Dalam sesetengah riwayat apa yang sangat dituntut ke atas Muslim ialah menggerakkan keluarga pada malam ganjil seperti 21, 23, 25, 27 dan 29 kerana mengharapkan lailatulqadar. Pada malam pilihan seperti ini, Nabi SAW menurut riwayat Anas dan Aisyah, menjauhi hubungan suami isteri untuk berada di masjid bertujuan melakukan iktikaf sama ada mendirikan solat sunat, beristighfar dan sebagainya.

Persiapan Nabi SAW untuk menghadapi iktikaf juga harus kita contohi. Ibn Abi Ashim meriwayatkan daripada Abu Huzaifah Nabi SAW pernah mandi sebelum beriktikaf dengan dilindungi Abu Huzaifah. Kemudian Abu Huzaifah mandi dan Baginda menjadi dindingnya. Inilah sebabnya sahabat gemar mandi setiap malam antara Maghrib dan Isyak sebelum ke masjid untuk iktikaf.

Ulama Islam berbeza pandangan mengenai pelaksanaan qiamullail antara menghidupkan keseluruhan malam ataupun sebahagiannya saja. Abu Jakfar Muhammad Ali mengatakan Rasulullah menghidupkan sebahagian daripada malam, bukan sepanjang malam. Demikian juga Imam al-Syafi’iy dan amal ahli Madinah menyokong pendapat itu.

Ini berpandukan hadis riwayat Aisyah Nabi tidak pernah solat malam hingga ke Subuh tanpa berehat. Sesetengah ulama meringankan persoalan qiam sehingga mengatakan seseorang dianggap melakukan qiamullail disebabkan kesungguhannya bersolat jemaah Isyak dan Subuh. Ini berdasarkan riwayat dalam al-Muwatthak daripada Ibn Musayyib yang berkata, maksudnya: “Sesiapa yang menghadiri solat Isyak dengan berjemaah, sesungguhnya dia memperoleh bahagiannya daripada malam itu.”

Dalam riwayat daripada Imam al-Syafi’iy menyatakan: “Sesiapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah, dia mengambil bahagiannya daripada bulan itu.” Ibn Abi Dunya daripada Abu Jakfar Muhammad Ali meriwayatkan Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang datang kepadanya Ramadan, lalu dia berpuasa siangnya, solat Tarawih pada malamnya, menahan matanya daripada melihat perkara haram, menjaga kemaluannya, lidah dan tangannya dan sentiasa berusaha untuk solat berjemaah dan Jumaat, maka dia sudah memperoleh lailatulqadar dan pahala Allah SWT yang tidak ternilai harganya.”

Ringkasnya sekurang-kurang usaha membangunkan malam ataupun qiamullail untuk mendapat kelebihan lailatulqadar ialah melakukan solat Isyak dan subuh berjemaah bagi lelaki.

Bagi wanita khasnya yang uzur kerana haid dan nifas, masih mampu memperoleh lailatulqadar dengan melakukan ketaatan seperti beristighfar, berzikir, berselawat, mempertingkatkan sedekah dan mengamalkan doa yang dianjurkan Nabi kepada Aisyah iaitu: “Ya Allah sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yang maha pengampun, Engkau gemar memberikan keampunan, maka ampunkan aku.”

Dalam tafsir Hasyiah al-Sawiy ‘alal Jalalain, al-Sawi berkata, doa paling penting yang dituntut ke atas kita mengamalkannya adalah memohon keampunan dan keafiatan seperti disarankan Nabi SAW.

Dalam zikir, kita mengucapkan: “Tiada Tuhan melainkan Allah yang sangat besar kemurahan-Nya, lagi sangat pemurah. Maha suci Allah SWT, yang memiliki tujuh petala langit dan Tuhan yang memiliki Arasy yang maha agung (tiga kali), maka sesungguhnya dia sudah mendapatkan lailatul qadar.”

Selain itu, sebagai tambahan bagi lelaki dan perempuan yang inginkan lailatulqadar terdapat amaran tegas daripada Nabi SAW seperti riwayat Ibn Abbas bermaksud: “Sesungguhnya Allah akan memerhatikan orang beriman daripada kalangan umat Nabi Muhammad, lalu dimaafkan bagi mereka dan dirahmati melainkan empat golongan iaitu peminum arak, penderhaka ibu bapa, orang selalu bertengkar dan orang memutuskan silaturahim.”

Isnin

Video dedah isi Kaabah



SELAMA beratus-ratus tahun, soalan apa ada di dalam Kaabah menjadi misteri kepada berjuta-juta umat Islam yang melakukan tawaf mengelilingi ‘Rumah Allah’ itu. Hanya golongan diraja Arab Saudi, pemimpin negara Islam dan orang tertentu dibenarkan memasukinya terutama semasa acara mencuci Kaabah yang dilakukan setahun sekali.
Bagaimanapun, pada tahun 2009 masyarakat dunia dapat menyaksikan rahsia Kaabah menerusi sebuah klip video yang dimuat naik ke dalam YouTube. Rakaman video selama lebih empat minit itu didakwa adalah yang pertama seumpamanya yang boleh ditonton oleh orang ramai.
Sebelum ini, keadaan di dalam bangunan batu yang terletak di dalam Masjidil Haram di Mekah itu sekadar digambarkan dan diceritakan dari mulut ke mulut.
Paparan di dalam video itu hampir menyamai cerita seorang wartawan dari Singapura, Ahmad Mohd. Don. Menurut beliau, keadaan di dalam Kaabah itu gelap. Tidak ada sebarang lampu. Satu-satunya cahaya yang menerangi bahagian dalam Kaabah itu datangnya dari pintu Kaabah yang terbuka.


“Asap kemenyan memenuhi ruang dalam  Kaabah itu. Lantainya pula dibasahi air mawar yang mengeluarkan bau semerbak,” kata beliau yang mendapat peluang memasuki Kaabah semasa menunaikan haji di Mekah pada 8 September 1983 atas undangan khas kerajaan Arab Saudi.


Dinding
Tambah Ahmad, hampir di setiap bahagian dinding Kaabah itu, para undangan menunaikan sembahyang sunat dengan khusyuk.
Mereka menghadap tiap bahagian dinding Kaabah. Lantai Kaabah dibuat daripada marmar putih. Begitu juga dindingnya. Pada satu bahagian dinding itu, kelihatan ukiran ayat-ayat suci.
“Terdapat beberapa batang tiang di dalam Kaabah. Besar tiang itu kira-kira satu pemeluk. Pada satu bahagian dinding itu disalut dengan kayu yang berukiran. Mungkin ukiran ayat-ayat suci al-Quran.
“Terdapat juga para yang di atasnya diletakkan beberapa buah cerek yang kelihatan diperbuat daripada tembaga.
“Tidak saya ketahui apakah yang ada dalam cerek itu. Berkemungkinan besar ia berisi air mawar yang digunakan untuk mencuci bahagian dalam Kaabah,” katanya yang cuma menghabiskan masa selama lapan minit di dalamnya bagi memberi peluang kepada tetamu lain yang menunggu giliran untuk memasuki Kaabah.
Pendakwah bebas, Datuk Mohd. Daud Che Ngah menjelaskan bahawa tiada apa-apa sekatan dari sudut agama untuk membuat rakaman gambar atau video di dalam Kaabah.
Bahkan, jelas beliau, undang-udang baharu oleh pihak berkuasa Arab Saudi turut membenarkan penggunaan kamera di kawasan Masjidil Haram. Sebelum ini undang-undang negara itu melarang penggunaan alat elektronik tersebut di kawasan Kaabah.
Tambah Daud, orang awam berpeluang memasukinya semasa lawatan pemimpin Arab Saudi mahupun pemimpin negara Islam lain ke Masjidil Haram.
“Pintu Kaabah akan dibuka semasa lawatan pembesar dan juga ketika hari pertukaran kain Kaabah menjelang Hari Raya Aidiladha,” katanya kepada Jurnal.
Daud turut menyangkal dakwaan dan cerita yang menyatakan orang yang mendongak ke bumbung Kaabah selepas memasukinya boleh ditimpa musibah.
Menurut Daud, orang ramai juga boleh melihat replika Kaabah di Muzium Islam Hudaibiyah, Mekah. Ia menyerupai isi kandungan sebenar di dalam Kaabah termasuklah tiga batang tiang dan hiasan ayat-ayat al-Quran.

Kunci

Hanya terdapat sebuah pintu untuk memasuki Kaabah dan ia dikatakan diperbuat daripada emas tulen seberat lapan tan (8,000 kilogram).
Pintu Kaabah itu pula hanya boleh dibuka oleh pemegang kunci dari Bani Syaibah. Menurut sejarah Islam, apabila Nabi Muhammad SAW meninggalkan Mekah kerana berhijrah ke Madinah, Mekah dikuasai oleh Bani Syaibah.
Pada tahun ketujuh Hijrah, berlaku perang pembukaan kota Mekah yang dimenangi tentera Islam. Berikutan itu, Saidina Ali diarahkan supaya mengambil kunci itu daripada Bani Syaibah, malangnya pintu Kaabah tidak dapat dibuka walaupun menggunakan anak kunci yang sama.
Anak kunci itu kemudian dipulangkan kepada Bani Syaibah atas perintah Allah menerusi ayat 58, surah An-Nisa’ yang mafhumnya, ‘Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya’.
Pada masa itu, Bani Syaibah belum memeluk Islam. Tindakan Rasullulah memulangkan semula kunci Kaabah itu telah membuka hati ketua Bani Syaibah untuk memeluk Islam diikuti semua pengikutnya.
Keturunan Bani Syaibah telah diamanahkan untuk memegang kunci Kaabah sehingga hari ini.




Jumaat

Tidak Akan Masuk Neraka Orang Yang Menangis Kerana Takutkan Allah


Rasulullah S.A.W telah bersabda, "Bahawa tidak akan masuk neraka orang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya."
Dalam sebuah kitab Daqa'iqul Akhbar menerangkan bahawa akan didatangkan seorang hamba pada hari kiamat nanti, dan sangat beratlah timbangan kejahatannya, dan telah diperintahkan untuk dimasukkan ke dalam neraka.
Maka salah satu daripada rambut-rambut matanya berkata, "Wahai Tuhanku, Rasul Engkau Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda, sesiapa yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T, maka Allah mengharamkan matanya itu ke neraka dan sesungguhnya aku menangis kerana amat takut kepada-Mu."

Akhirnya Allah S.W.T mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya dari api neraka dengan berkat sehelai rambut yang pernah menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Malaikat Jibril A.S mengumumkan, telah selamat Fulan bin Fulan sebab sehelai rambut."
Dalam sebuah kitab lain, Bidayatul-Hidayah, diceritakan bahawa pada hari kiamat nanti, akan didatangkan neraka jahanam dengan mengeluarkan suaranya, suara nyalaan api yang sangat menggerunkan, semua umat menjadi berlutut kerana kesusahan menghadapinya. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, "Kamu lihat (pada hari itu) setiap umat berlutut (yakni merangkak pada lututnya). Tiap-tiap umat diseru kepada buku amalannya. (Dikatakan kepadanya) Pada hari ini kamu dibalasi menurut apa-apa yang telah kau kerjakan." (Surah al-Jatsiyah ayat 28)

Sebaik sahaja mereka menghampiri neraka, mereka mendengar kegeraman api neraka dengan nyalaan apinya, dan diterangkan dalam kitab tersebut bahawa suara nyalaan api neraka itu dapat didengar sejauh 500 tahun perjalanan. Pada waktu itu, akan berkata setiap orang hingga Nabi-nabi dengan ucapan, "Diriku, diriku (selamatkanlah diriku Ya Allah) kecuali hanya seorang nabi sahaja yang akan berkata, "Umatku, umatku."
Beliau ialah junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Pada masa itu akan keluarlah api neraka jahim seperti gunung-gunung, umat Nabi Muhammad berusaha menghalanginya dengan berkata, "Wahai api! Demi hak orang-orang yang solat, demi hak orang-orang yang ahli sedekah, demi hak orang-orang yang khusyuk, demi hak orang-orang yang berpuasa, supaya engkau kembali."

Walaupun dikata demikian, api neraka itu tetap tidak mahu kembali, lalu malaikat Jibril berkata, "Sesungguhnya api neraka itu menuju kepada umat Muhammad S.A.W"
Kemudian Jibril membawa semangkuk air dan Rasulullah meraihnya. Berkata Jibril A.S. "Wahai Rasulullah, ambillah air ini dan siramkanlah kepadanya." Lalu Baginda mengambil dan menyiramkannya pada api itu, maka padamlah api itu.
Setelah itu Rasulullah S.A.W pun bertanya kepada Jibril A.S. "Wahai Jibril, Apakah air itu?" Maka Jibril berkata, "Itulah air mata orang derhaka di kalangan umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Sekarang aku diperintahkan untuk memberikannya kepadamu agar engkau menyiramkan pada api itu." Maka padamlah api itu dengan izin Allah S.W.T.

Telah bersabda Rasulullah S.A.W, " Ya Allah anugerahilah kepada kami dua buah mata yang menangis kerana takut kepada-Mu, sebelum tidak ditemunya air mata."

Roh Harum dan Roh Busuk


Maksud Hadith : 

Dari Abu Hurairah r.a katanya:"Apabila roh orang-orang mukmin keluar dari tubuhnya dua orang malaikat menyambutnya dan menaikkannya ke langit." Kata Hammad :"Kerana baunya harum seperti kasturi." Kata penduduk langit " Roh yang baik datang dari bumi. Sallallahu `alaika (semoga Allah melimpahkan kebahagiaan kepadamu) dan kepada tubuh tempat engkau bersemayam." Lalu roh itu dibawa ke hadapan Tuhannya Azza wa Jalla. Kemudian Allah berfirman:"Bawalah dia ke Sidratul Muntaha dan biarkan di sana hingga hari kiamat." Kata Abu Hurairah selanjutnya: " Apabila roh orang-orang kafir keluar dari tubuhnya รข€“kata Hammad, berbau busuk dan mendapat makian-, maka berkata penduduk langit,"Roh jahat datang dari bumi." Lalu diperintahkan, bawalah dia ke penjara dan biarkan di sana hingga hari kiamat."
(Muslim)

Huraian

Kematian sesungguhnya amat menyiksakan. Kematian orang-orang yang tidak beriman mempunyai banyak perbezaan dengan kematian orang-orang yang beriman. Tanda-tandanya bukan sahaja dapat dilihat oleh orang yang hidup bahkan ini diperakukan sendiri di dalam al-Quran melalui firman Allah S.W.T yang maksudnya:

"Kalau sekiranya kamu dapat melihat malaikat-malaikat mencabut nyawa orang-orang yang kafir seraya memukul muka dan belakang mereka serta berkata, "Rasakanlah olehmu siksa neraka yang membakar." (niscaya kamu akan merasa sangat ngeri) (al-Anfal :50). 

Rasulullah s.a.w sekalipun dianggap sebagai kekasih Allah turut merasakan kesakitan sakratulmaut. Itupun baginda diperlakukan secara lembut oleh malaikat. Maka bayangkanlah bagaimana kesakitannya jika kita selaku insan biasa dapat berhadapan dengan situasi ini. Oleh itu seharusnya kita sentiasa berwaspada agar tidak tergolong di kalangan orang-orang yang tidak beriman, lalai dan lupa kepada Allah kerana sudah pasti roh kita nanti bakal ditempatkan di dalam penjara sehingga hari kiamat.


Selasa

SOLAT DHUHA Murahkan Rezeki, Menolak Kepapaan


Solat Sunat Dhuha 
  
Hadis pertama : Dari Abu Hurairah r.a berkata : Nabi Muhammad saw menasihati aku untuk mengerjakan 3 perkara dan jangan ku tingalkan sehingga aku mati iaitu:
1. Puasa 3 hari pd pertengahan bulan
2. Shalat Dhuha
3. Solat sunat Witir sebelum tidur

Hadis kedua: Diriwayatkan oleh Tarmizi Nabi saw bersabda : Sesiapa shaja yang bersolat sunat dhuha dengan rutin, maka Allah akan mengampunkan dosa2nya walaupun sebanyak buih di  lautan.

Hadis ketiga:  Sabda Nabi saw : Solat sunat Dhuha itu akan mendatangkan rezeki dan menolak kefakiran (kemiskinan) dan tidak ada yang akan memelihara sunat dhuha itu melainkan orang2 yang bertaubat.

Hadis keempat: Diriwayatkan oleh Tabrani Rasullullah bersabda: Bahawasanya di syurga ada pintu yang dinamakan “Dhuha” maka jika telah datang pada hari kiamat , berserulah (malaikat) “manakah orang2 yang selalu bersolat dhuha ? inilah pintu kamu silakan lah masuk ke dalamnya dgn rahmat Allah swt.

Kesimpulannya banyak sangat fadilat dan kelebihan apabila kita mengamalkan solat sunat dhuha dalam hidup kita seharian.

Solat sunat dhuha itu dilakukan dgn 2 rakaat mcm solat sunat yg lain.  Waktu nya selepas waktu syuruk dari 7.30 hingga 11.00pg.

Cara solat dhuha:
1.Pada rakaat pertama selepas fatihah baca surah Assham dan rakaat kedua selepas fatihah baca surah Addhuha.
2. Pada rakaat pertama selepas fatihah baca surah Addhuha dan rakaat kedua selepas fatihah baca surah al ikhlas
3. Yang terbaik selepas fatihah rakaat pertama baca ayat kursi 10x dan pada rakaat kedua selepas fatihah baca surah alikhlas 10x juga.

Harapan semoga selepas ini kita semua akan mengamalkan solat sunat dhuha pada setiap hari insyaAllah, tak boleh setiap hari dapat seminggu sekali, tk dapat seminggu sekali, sebulan sekali, tk boleh sebulan sekali setahun sekali tak dapt setahun sekali seumur hidup sekali pun jadilah…

Wassalam

source : http://www.ustazahazimah.amirhakimi.com