Jumaat

Fidyah perlu dibayar, puasa wajib diganti


KUALA LUMPUR - Bulan Ramadan bakal menjelang tidak lama lagi dan umat Islam dari seluruh pelusuk dunia pastinya ternanti-nanti kehadirannya bagi meningkatkan amalan puasa dan pahala sepanjang bulan barakah ini.


Namun, dalam keterujaan menyambut ketibaan Ramadan, umat Islam dinasihatkan agar tidak mengambil mudah mengenai fidyah (denda) puasa yang wajib dilaksanakan oleh mana-mana individu Islam yang meninggalkan puasa Ramadan.
    
Fidyah merupakan bayaran denda dikenakan terhadap mereka yang gagal menggantikan puasa Ramadan pada sesuatu tahun sehingga tiba Ramadan tahun berikutnya.
    
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, Islam menetapkan fidyah mesti dibayar oleh beberapa golongan yang meninggalkan puasa Ramadan iaitu mereka yang uzur syar'ie, wanita hamil, ibu yang menyusukan anak dan orang yang telah meninggal dunia.

Katanya, golongan tersebut dibahagikan kepada dua kategori iaitu perlu membayar fidyah, tetapi tidak perlu menggantikan (qadha) puasa dan kategori satu lagi iaitu perlu membayar fidyah dan menggantikan puasa.
    
"Warga emas (uzur) dan mereka yang menghidapi penyakit tiada harapan untuk sembuh tidak diwajibkan mengganti puasa setelah membayar fidyah.
    
"Sementara, wanita hamil, ibu yang menyusukan anak, orang yang melambatkan ganti puasa perlu membayar fidyah dan wajib mengganti puasa. Sebaliknya bagi orang yang telah meninggal dunia, fidyah mereka hendaklah disempurnakan waris malah waris juga boleh menggantikan puasa bagi pihak si mati," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
    
Bagaimanapun katanya, dengan membayar fidyah tidak bermakna seseorang itu tidak perlu menggantikan puasa tersebut yang wajib diganti mengikut bilangan hari ditinggalkan.
    
"Contohnya jika seseorang meninggalkan puasa selama tiga hari dan tidak menggantikan puasanya sehingga tiga kali bulan Ramadan, maka kadar fidyahnya ialah: harga semasa secupak beras (675 gram) X tiga hari X tiga tahun," katanya.
    
Menurutnya lagi, hasil kutipan fidyah akan disalurkan kepada golongan fakir atau miskin sahaja.
    
Pengarah Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFirst), Universiti Teknologi Malaysia Dr Arieff Salleh Rosman berkata fidyah boleh dibayar di cawangan pusat zakat atau amil bertauliah sebelum tiba Ramadan tahun berikutnya bagi mengelakkan gandaan puasa.
    
"Hukum fidyah adalah wajib. Dan hukum mengganti puasa turut wajib disempurnakan seberapa segera kerana ia merupakan suatu tanggungan (hutang) kepada ALLAH S.W.T jika tidak dilaksanakan," katanya.
    
Islam memudahkan cara sesuatu masalah maka setiap umat Islam perlu menyegerakan tuntutan agama dan menjauhi segala larangan yang telah ditetapkan di dalam agama, kata ilmuwan agama lulusan Universiti Mu'tah, Jordan itu.
   
Mengulas lanjut mengenai fidyah, Mufti Perlis, Datuk Dr Juanda Jaya berkata walaupun kadar fidyah agak murah namun ia wajib dilaksanakan kerana puasa Ramadan hukumnya wajib.
    
Beliau turut menasihatkan sebagai persediaan menyambut Ramadan, umat Islam digalakkan mengamalkan puasa sunat Syaaban bagi melatih serta mendisiplinkan diri masing-masing.
    
"Qadha (ganti) puasa juga boleh dilakukan pada bulan tersebut (Syaaban)," katanya menambah tiada faedah melengah atau menangguh kewajipan mengganti puasa jika ada kemampuan dan memiliki tahap kesihatan yang baik. - Bernama

Khamis

Tips untuk mudah bersedekah


TIPS UNTUK MUDAH BERSEDEKAH | ELAKKAN RASA MALU UNTUK BERSEDEKAH WALAUPUN SERINGGIT

 Anda sedang minum dengan rakan-rakan sepejabat, sedang mengisi masa rehat tengahari. Sedang anda asyik menjamu selera datang seorang buta bertongkat membawa tisu untuk dijual dan di sampingnya seorang perempuan yang menolong memimpin sang buta tadi.


tips-untuk-mudah-bersedekah.jpg

Apakah reaksi anda ketika itu? Mengangkat tangan menandakan tidak mahu kepada mereka atau menyedekahkan sedikit wang daripada poket, lebihan daripada harga makanan anda tadi.

Datang pula seorang makcik tua yang membimbit beg plastik yang sarat dengan kerepek, menjual kerepek dengan hanya 3 jenis kerepek berharga RM 10. Kesian melihat makcik tua ke hulu dan ke hilir membimbit beg plastik itu demi mencari sesuap nasi. 

Apakah reaksi anda ketika itu? Mengangkat tangan menandakan tidak mahu kerana semalam pun kerepeknya masih banyak di rumah.

Datang pula seorang anak muda menjual buku, kelendar tahun baru dan CD agama, harga RM 25 sahaja, anak muda itu memohon izin untuk memberi sedikit penerangan tentang barangannya. 

Apakah reaksi anda ketika itu, mengangkat tangan menandakan tidak mahu. Kemudian mata kita menyorot anak muda itu tadi beralih ke meja yang lainnya.

Situasi ini sering berlaku kepada kita bukan? Apakah yang sering kita pandang dan lihat ketika kita berada di dalam kondisi sedemikian. Pada masa itu kita mesti melihat dengan mata hati. Hati kita sudah berkata kesian kepada orang buta, makcik dan anak muda itu. Mereka gigih mencari sesuap nasi dengan mengharapkan simpati manusia untuk membeli barangan mereka.

Adakalanya kita berpandangan serong dek kerana ramai yang mengambil kesempatan di atas kesempitan hidup golongan ini terutama sang buta. Sehinggakan kita sendiri mengambil tindakan untuk tidak memberikan sedekah kepadanya kerana ini merupakan satu sindikit terancang seperti yang dibicarakan di televisyen.

TIPS UNTUK MUDAH BERSEDEKAH

Apakah sebenarnya tips untuk kita tidak berasa berat untuk menyedekahkan sedikit wang saku kita kepada golongan-golongan seperti ini?

1. Tanya hati kita? Hanya tuan-tuan sahaja yang mampu menjawab, jika anda mahu berikan anda terus berikan tanpa mengambil kira apa-apa risiko kerana lintasan hati untuk melakukan perkara baik itu adalah yang betul. Jika kemudianya datang rasa syak, itu adalah mainan syaitan.

2. Sediakan jadual untuk anda sedekahkan sedikit wang saku anda kepada mana-mana surau atau masjid setiap minggu. Pastikan setiap minggu anda dapat memberikan sedekah anda.

3. Percaya apabila anda meringankan beban orang lain, maka Allah akan meringankan beban anda seperti hadith nabi :-



Tiap-tiap amalan makruf (kebajikan) adalah sedekah. Sesungguhnya di antara amalan makruf ialah berjumpa kawan dengan wajah ceria (senyum) dan mengurangi isi baldi mu untuk diisikan ke mangkuk kawan mu. 
(Hadis Riwayat: Imam Ahmad)
Semoga Allah memberikan ganjaran yang setimpal di atas segala amalan baik kita. Jom bersedekah.

Kisah batu-batu yang aneh

arafah

Dalam sebuah hadith menceritakan pada zaman dahulu ada seorang lelaki wukuf di Arafah. Dia berhenti di lapangan luas itu.


Pada waktu itu orang sedang melakukan ibadat haji. Wukuf di Arafah adalah salah satu rukun haji. Bahkan wukuf di Arafah disebut sebagai haji yang sebenarnya kerana apabila seseorang itu berwukuf di Padang Arafah dianggap hajinya telah sempurna walaupun yang lainnya tidak sempat dilakukan.

Sabda Rasulullah SAW :

"Alhajju Arafat" (Haji itu di Arafah).

Rupanya lelaki itu tadi masih belum mengenali Islam dengan lebih mendalam.

Masih dalam istilah 'muallaf'. Semasa dia berada di situ, dia telah mengambil tujuh biji batu lalu berkata pada batu itu :

"Hai batu-batu, saksikanlah olehmu bahawa aku bersumpah bahawa tidak ada tuhan melainkan ALLAH dan Muhammad itu pesuruh ALLAH."

Setelah dia berkata begitu dia pun tertidur di situ. Dia meletakkan ketujuh-tujuh batu itu di bawah kepalanya.

Tidak lama kemudian dia bermimpi seolah-olah telah datang kiamat.

Dalam mimpi itu juga dia telah diperiksa segala dosa-dosa dan pahalanya oleh Tuhan.

Setelah selesai pemeriksaan itu ternyata dia harus masuk ke dalam neraka. Maka dia pun pergi ke neraka dan hendak memasuki salah satu daripada pintu-pintunya.

Tiba-tiba seketika batu kecil yang dikumpulnya tadi datang dekat pintu neraka tersebut. Tetapi mereka tidak sanggup rupanya.

Malaikat azab telah berada di situ. Semua malaikat itu menolaknya masuk ke pintu neraka tersebut.

Tapi sanggup rupanya. Kemudian dia pun pergi ke pintu lain. Para malaikat itu tetap berusaha hendak memasukkannya ke dalam neraka tapi tidak berjaya kerana batu mengikut ke mana sahaja dia pergi.

Akhirnya habislah ketujuh pintu neraka didatanginya.

Para malaikat yang bertindak akan menyiksa orang-orang yang masuk neraka berusaha sekuat tenaga untuk menolak lelaki itu dalam neraka tetapi tidak berjaya.

Sampai di pintu neraka nombor tujuh, neraka itu tidak mahu menerimanya kerana ada batu yang mengikutinya. Ketujuh-tujuh batu itu seolah-olah membentengi lelaki itu daripada memasuki neraka. Kemudian dia naik ke Arasy di langit yang ketujuh. Di situlah ALLAH berfirman yang bermaksud :

"Wahai hambaku, aku telah menyaksikan batu-batu yang engkau kumpulkan di padang Arafah. Aku tidak akan menyia-nyiakan hakmu. Bagaimana aku akan menyia-nyiakan hakmu sedangkan aku telah menyaksikan bunyi 'syahadat' yang engkau ucapkan itu. Sekarang masuklah engkau ke dalam syurga."

Sebaik sahaja dia menghampiri pintu syurga itu, tiba-tiab pintu syurga itupun terbuka lebar. Rupanya kunci syurga itu adalah kalimat syahadat yang diucapkannya dahulu.

*Sumber dari nur-addin.blogspot.com

Rabu

Biodata iblis, anda patut tahu!

Biodata iblis, anda patut tahu!

Nama sebenar: IBLIS LAKNATULLAH

Kelahiran: Bermula dari keengganannya sujud kepada Nabi Adam a.s

Status diri: Fasik kelas pertama

Agama: Kufur

Tempat Tinggal: Di hati-hati mereka yang lalai

Alamat Tetap: Neraka jahanam

Kawasan: Di setiap penjuru yang di dalamnya tiada usaha langsung untuk mengingati ALLAH

Arah perjalanan: Tiada haluan dan bengkang-bengkok

Isteri: Setiap wanita yang tidak menutup aurat, tidak mentaati ALLAH, Rasul dan suaminya

Kaum kerabat: Semua golongan yang menentang dan memusuhi ALLAH

Modal pusingan: Angan-angan kosong dan tipu daya yang halus

Tempat pertemuan: Konsert-konsert hiburan, pasar-pasar dan di semua tempat jual beli

Musuh ketat: Setiap orang Islam yang beriman dan bertakwa

Sahabat karib: Anak-anak Adam

Motto kerja: 'Hipokrasi asas akhlak'

Hobi: Melalaikan orang dari mengingati ALLAH, menggoda manusia lalu menyesatkannya

Cita-cita: Supaya semua makhluk di muka bumi ini menjadi kafir

Sukan (yang tidak digemari): Acara langkah seribu (semasa malaikat maut ingin mencabut nyawa)

Kelemahan diri: Bila manusia membaca istighfar

Mentor yang dikagumi: Manusia yang mempunyai berkelebihan lebih dari dirinya

Logo: Sebarang tatu

Pejabat operasi: Tandas, bilik air, tempat yang bernajis dan kotor serta tempat-tempat maksiat

Rakan kongsi: Golongan munafik serta syaitan-syaitan dari kalangan jin dan manusia

Sumber pendapatan: Segala harta yang diperoleh dengan jalan haram dan riba

Jenis perkhidmatan: Menggalakkan manusia mengerjakan kemungkaran dan derhaka terhadap ALLAH SWT

Tempoh perkhidmatan: Sehingga hari khiamat

Matlamat sebenar: Membawa anak cucu Adam bersama-sama ke neraka jahanam

Teman sejawat: Orang yang suka mendiamkan dirinya dari menyatakan kebenaran

Ganjaran: Dosa-dosa kecil/besar dan kemurkaan ALLAH

Pembantu setia: Orang yang suka mengumpat, mencaci, memaki hamun, menghasut, pendengki dan pendendam

Peristiwa yang tak dapat dilupakan: Semasa ALLAH menjadikan Nabi Adam a.s

Kenangan manis: Di waktu manusia diambang sakaratul maut, mati dalam kekafiran

Kenangan pahit: Manusia yang digodanya mati dalam keimanan

Makanan kegemaran: Daging orang mati, segala najis dan kotoran

Minuman yang digemari: Wiski, brandi, tequila, todi, wine, arak dan semua minuman yang memabukkan.

Yang paling ditakuti: Orang mukmin yang bertakwa

Yang paling dibenci: Orang yang sentiasa berzikir dan mengingati ALLAH

Alat perangkap: Wanita-wanita cantik, model, pelacur, peragawati dan sebagainya

Saat ajal: Bila tiba waktu yang ditentukan ALLAH di hari kiamat kelak

Yang paling membosankan: Bila tiada lagi manusia yang mahu mengikuti kemahuannya

Tugas yang paling meletihkan: Menganggu manusia ke arah kebaikan kerana ALLAH Taala

Tugas yang paling disukai: Mengajak melakukan homoseks, lesbian dan berzina

Janji kepada manusia: Janji-janji kosong, angan-angan dan tipu daya

Yang membuatnya gembira: Manusia yang mengikut jejak langkahnya

Saat yang mendukacitakannya: Manusia yang mempunyai cita-cita untuk bertaubat

Yang membuatnya menangis: Bila manusia yang disayanginya sujud kepada ALLAH SWT


Dipetik dari detikislam.blogspot.com


Isnin

'Tak sangka ALLAH balas cepat'

Sedekah

KETIKA saya dan suami berkunjung ke Melaka untuk menziarahi sahabat, kami mengambil peluang singgah ke Kota A Famosa, monumen bersejarah yang menjadi kebanggaan bandar raya pelancongan itu.


Selepas puas menaiki beca keliling bandar, kami singgah ke surau di Bandar Hilir untuk Solat Asar. Ketika itu, panas mentari masih terik walaupun sudah menjengah petang.

Saya duduk di atas bangku menunggu suami yang saya fikir masih belum keluar dari surau. Rupa-rupanya, dia sudah pun bersembang dengan seorang penarik beca tidak jauh dari tempat saya.

Ketika saya menghampiri mereka, perbualan sudah pun tamat. Suami mengiringi langkah pakcik beca itu dengan pandangan seribu makna membuatkan saya hairan dan tidak sabar mahu bertanya.

"Kenapa? Macam serius bersembang?" Soal saya ingin tahu.

Sambil menggeleng-gelengkan kepala, dia mengajak saya masuk ke kereta kerana petang itu juga kami perlu sampai ke Shah Alam atas urusan lain.

“Sembang apa?” Soal saya lagi selepas memasang tali pinggang keledar. Suami masih menggelengkan kepala sambil menjawab,

“Lepas ni, jangan kedekut untuk bersedekah. Malu betul saya dengan pak cik tadi,”

Eh, lain pula yang dia jawab. Saya masih meneka-neka dalam hati. Kenapa pula suami jadi macam ni? Nak tanya lebih-lebih, bimbang terlalu mendesak pula. Akhirnya, saya diamkan sahaja.

Dermakan segumpal wang

Separuh perjalanan suami membuka cerita. Katanya, keluar sahaja dari surau, dia berjalan-jalan untuk melihat orang ramai di situ. Sedang berjalan-jalan, dia disapa seorang kanak-kanak berusia lingkungan 11 tahun.

Kanak-kanak itu menjinjit beg sandang berisi buku agama dan panduan solat sunat. Dia mendekati suami dan seperti yang mungkin anda biasa lalui, dia mempromosikan buku itu atau sekurang-kurangnya minta anda menderma.

Walaupun hairan dengan kewujudan kanak-kanak itu, suami menghulurkan juga RM1 dan menolak untuk membeli bukunya. Dengan langkah berat, kanak-kanak itu beralih pula kepada pakcik beca yang sedang menunggu pelanggan kira-kira 10 langkah daripada suami.

Dari jauh suami memerhati gelagat kanak-kanak itu. Lelaki lewat 50an itu pada mulanya menyerahkan RM5. Tersenyum kanak-kanak itu tadi apabila pakcik beca juga menolak untuk menerima buku daripadanya.

“Pakcik derma saja,” jawab lelaki tua itu.

Selepas kanak-kanak itu pergi, dia menyeluk pula saku seluarnya dan mengeluarkan segumpal RM1 dan RM5. Kalau dicongakkan, mungkin lebih RM20.

“Adik!” Lelaki tua itu menjerit memanggil semula kanak-kanak yang sudah beberapa langkah berlalu darinya. Kanak-kanak itu berpaling dan berlari perlahan mendekati pakcik beca semula.

“Nah ambil ni,” katanya sambil menepuk-nepuk bahu si kecil.

Kanak-kanak itu kelihatan terkejut namun tetap mengucapkan terima kasih dan menghadiahkan senyuman sebelum bersalam mencium tangan pakcik itu, dan berlalu pergi. Ketika itulah suami yang kehairanan mendekati pakcik beca.

Upah naik beca

Suami memberi salam dan disambut mesra pakcik beca. Apabila suami amati, lelaki itulah yang membawa kami bersiar-siar tadi.

“Saya perhatikan pakcik, mula-mula pak cik beri RM5, lepas tu beri lagi segumpal duit. Banyak tu. Kenapa ye?” Suami bertanya.

Dengan senyuman lelaki tua itu menjawab “Saya kesian.”

Jawapan pakcik itu bersahaja tapi ia membuatkan suami lebih hairan.

“Tapi, pak cik pun kerja bawa beca. Itu pendapatan hari ini ke?” soalnya.

“Tak apalah. Saya ni masih kuat lagi. Boleh bawa beca tu cari duit lain. Tapi budak macam tu sepatutnya pergi sekolah. Terpaksa cari duit dengan cara macam tu. Apalah sangat akal seorang budak,” jawabnya lagi.

"Tapi, mana tau ada sindiket ke, menyamar ke, atau..." ujar suami yang mahu memberi alasan lain sebelum pakcik itu tiba-tiba memintas kata-katanya.

"Pak cik tak fikir sejauh itu. Ia urusan ALLAH. kita doa yang baik-baik saja pada mereka," jawabnya.

Suami terpempan dengan jawapan pakcik beca. Melihat pakcik beca mahu berlalu, suami hulur sedikit wang kepada pakcik itu, tapi dia menolak. Suami paksa juga sambil bersalam dan menyelit wang di celah-celah tangannya.

“Pakcik anggap saja sebagai upah bawa saya dan isteri naik beca tadi,” kata suami memujuk pak cik itu untuk menerima pemberiannya.

Dengan senyuman pak cik itu menjawab, “Pakcik sedekah tadi ikhlas dan tak minta balasan. Tak sangka secepat ini ALLAH balas sedekah pakcik,” katanya.

Kenyataannya buat suami rasa terpukul apatah lagi membandingkan kemampuan kami dengan pak cik beca yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang itu. Saya pula kelu seribu bahasa.

Memang betul kata pakcik itu. Kadang-kadang, bila ada yang minta sedekah, ada saja suara hati yang melarang dengan kata-kata seperti mungkin sindiket, kenapa tak kerja, duit hanya cukup untuk bulan ini dan pelbagai alasan lain yang mengehadkan saya daripada bersedekah.

Teringat pesan emak, dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain. Banyakkan memberi walaupun hanya RM1. Anda bagaimana? Setiap detik yang kita lalui itu ketentuan ALLAH. Dia menghantar kanak-kanak kecil menjual tasbih mahupun buku untuk menguji kita. Untuk memberi kita peluang berbuat pahala dan mengurangkan dosa.

Anggap saja, mungkin kita sudah lama tidak bersedekah hingga ALLAH datangkan mereka betul-betul di hadapan mata. Soal sindiket atau tidak, tipu atau sebagainya, itu bukan urusan kita. ALLAH Maha Mengetahui.

Jumaat

Cara mudah doa dimakbulkan Tuhan


SEBENARNYA isu halal haram berkisar kepada tiga perkara asas: pertama, sikap pengguna yang beragama Islam terhadap nilai halal haram makanan yang dibeli; kedua, sikap penjual sama ada mereka menghormati pantang-larang orang Islam; dan ketiga, penguatkuasaan undang-undang sama ada mencukupi untuk membendung perbuatan menipu logo halal.

Pentingnya pilih makanan Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd Fadzli Ismail, berkata pemahaman mengenai pentingnya memilih makanan sememangnya diketahui umum. Ramai yang gemar memilih makanan mengikut kemampuan, keinginan dan selera masing-masing.

Bagaimanapun, mereka hanya melihat kelazatan dan khasiat tanpa meneliti sejauh mana kesesuaiannya untuk dimakan, terutama dari segi kebersihan dan halal menurut syariat.

“Makanan yang suci dan bersih menjamin kesihatan yang baik. Di samping memilih makanan berzat dan berkhasiat, sebaik-baiknya perlu ditekankan soal kebersihan dan kesuciannya dari segi syariat agama.

“Islam menitikberatkan kesihatan umatnya. Seseorang mukmin yang sentiasa prihatin terhadap kebersihan dan kesucian makanannya setiap hari akan melahirkan nur keimanan dalam diri untuk turut sama menjaga kebersihan secara keseluruhannya, termasuk pakaian, tempat tinggal, tubuh badan, tingkah laku dan sebagainya,” katanya kepada Rehal.

Menurutnya, dalam ibadat asas agama iaitu solat, aspek terpenting yang ditekankan ialah kebersihan diri. ALLAH tidak akan menerima solat hambaNya yang beribadat dalam keadaan kotor.

Keadaan itu sesuai dengan maksud hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban iaitu: “Menjadi bersihlah kamu, kerana sesungguhnya Islam itu bersih.”

Kesan buruk si pemakan

ALLAH berfirman: “Makanlah apa yang dikurniakan ALLAH kepada kamu daripada benda yang halal lagi bersih. Bersyukurlah dengan nikmat ALLAH jika kamu benar-benar menyembah ALLAH. Sesungguhnya ALLAH hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang sembelihan bukan kerana ALLAH. Maka, sesiapa dalam keadaan yang terpaksa memakannya, sedang dia tidak sengaja dalam mencarinya, sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun lagi Maha penyayang.” (Surah al-Nahl :114-115)

Mohd Fadzli menerangkan, makanan haram sama ada daripada bahan yang dicampuri najis dan benda syubhah atau daripada punca yang tidak halal serta syubhah boleh mendatangkan tiga bahaya besar kepada pemakannya, iaitu:- Pertama, makanan itu akan mempengaruhi jiwa seseorang sehingga dia berasa lebih gemar melakukan maksiat dan bencikan kerja-kerja kebajikan. Kedua, doanya tidak akan dimakbulkan ALLAH.

Ketiga, ia akan menyebabkan dia mendapat seksaan neraka di akhirat kelak.

“Apa jua bentuk makanan halal dan bersih perlu diikuti peraturan memakannya sebagaimana disarankan Islam.

“Makanan seimbang umpamanya, akan dapat menghindarkan diri seseorang daripada dihidapi penyakit tertentu,” ulas anak jati Kelantan ini lagi.

Menurutnya, ikutilah saranan Rasulullah yang menyarankan perut manusia diisi dengan satu pertiga air, satu pertiga makanan dan satu pertiga lagi adalah udara. Ia amat bertepatan dengan ilmu Sains dan kesihatan yang perlu diamalkan manusia. InsyaAllah jika cukup jumlah yang disarankan Rasulullah itu, sudah pasti kita bukan saja akan dapat merasai nikmat kenyang bahkan hidup lebih mendapat rahmat dan keredaan ALLAH.

Makanan jadi najis

“Sekiranya kita nampak dan yakin masakannya menggunakan bahan yang tidak dibasuh contohnya telur yang mengandungi najis dan belum dibasuh, maka makanan yang kita makan adalah najis juga. Oleh itu pastikan telur berkenaan dibasuh terlebih dahulu sebelum dimasukkan dalam sesuatu masakan atau direbus.

“Ramai yang bertanyakan mengenai makan bersama orang bukan Islam, ia diharuskan. Begitu juga, memakan makanan yang diberikan orang bukan Islam dibolehkan (halal) jika makanan tersebut terhindar daripada makanan yang diharamkan, seperti mengandungi khinzir, arak atau bangkai (binatang yang haram dimakan atau binatang yang boleh dimakan tetapi tidak disembelih secara syarie) dan sebagainya,” kata Mohd Fadzli.

Menurutnya, insan mukmin perlu menghindarkan diri daripada mengambil makanan yang sudah lama terbuka, dari tin berkarat, makanan yang layu dan sebagainya. Kita memakan sesuatu jenis makanan untuk mendapat sejumlah tenaga mencukupi daripada zat dalamnya. Islam dan ilmu kesihatan begitu intim hubungannya.

Berkongsi perkakas dapur

Rasulullah pernah dijemput oleh seorang Yahudi ke suatu jamuan yang disediakannya, iaitu makanan yang terdiri daripada roti yang diperbuat daripada bijirin barli dan bubur yang sudah berubah baunya, dan Baginda SAW menerima undangan tersebut. (Riwayat Imam Ahmad) Mohd Fadzli berkata, sesetengah orang Islam, berkongsi menggunakan perkakas dapur dengan orang bukan Islam adakala menjadi suatu perkara yang tidak dapat dielakkan dalam kehidupan mereka sehari-hari terutama dalam kalangan pelajar Islam yang belajar di luar negara yang tinggal sebumbung dengan pelajar bukan Islam, mahupun dalam kalangan pekerja Islam yang berkongsi dapur dengan pekerja bukan Islam atau pelancong-pelancong Islam yang tinggal di apartmen-apartmen di luar negeri.

“Tidak dinafikan adakala perkakas tersebut digunakan untuk makanan dan minuman yang tidak halal seperti daging babi atau bahagian lain dari binatang tersebut, daging binatang yang tidak disembelih menurut cara Islam serta cecair yang memabukkan.

“Benda-benda tersebut merupakan najis dalam Islam dan haram ke atas umat Islam untuk memakan atau meminumnya. Perkakas tersebut juga perlu dibasuh terlebih dahulu jika kita hendak menggunakannya dan jika ia digunakan untuk memasak benda yang dikatakan najis Mughallazah seperti babi maka ia perlulah disamak terlebih dahulu (menyiramnya dengan enam air biasa dan satu air tanah),” katanya.

Menurutnya, banyak kitab membicarakan mengenai situasi itu seperti kitab Hawasyi asy-Syarwani mengatakan bahawa makruh menggunakan bejana (perkakas) orang-orang kafir, dan apa yang mereka pakai, dan (manakala) apa yang di bawah-bawah (pakaian dalam) mereka iaitu apa yang langsung menutupi (mengenai) kulit adalah lebih-lebih lagi (makruhnya). Dan (manakala) bejana (perkakas) air mereka itu adalah lebih ringan (makruhnya).”

Sesungguhnya, apa yang kita makan akan mempengaruhi akhlak dan sifat manusia. Rasulullah sangat prihatin dalam soal ini serta berpesan kepada sahabat yang bertanya mengenai bagaimana cara yang paling mudah doa dimakbulkan Tuhan. Maka Rasulullah menyuruh sahabatnya itu menjaga makanan dan memakan makanan yang halal serta baik-baik (bersih).




Khamis

Kelebihan Awal Muharam Dan Amalannya


Antara amalan disunatkan pada bulan Muharam: 

Puasa. Maksud Hadis: Barang siapa berpuasa satu hari dalam bulan Muharam pahalanya seumpama berpuasa 30 tahun. Maksud Hadis: Barang siapa yang berpuasa tiga hari dalam bulan Muharam, iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah tulis padanya pahala seperti mana beribadat selama 2 tahun. 
Banyakkan amal ibadat seperti solat sunat, zikir dan sebagainya. 
Berdoa akhir tahun pada hari terakhir bulan Zulhijah selepas Asar sebanyak 3 kali 
Berdoa awal tahun pada 1 Muharram selepas Maghrib 3 kali 

Perkara sunat dilakukan pada hari Asyura (10 Muharram) serta fadhilatnya: 

Melapangkan masa/belanja anak isteri. Fadilatnya - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini. 
Memuliakan fakir miskin. Fadilatnya - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti. 
Bersabar/Menahan marah. Fadilatnya - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang redha. 
Menunjukkan orang sesat. Fadilatnya - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.
Menyapu/mengusap kepala anak yatim. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang disapunya. 
Bersedekah. Fadilatnya - Allah akan menjauhkannya pada neraka jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti . Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini. 
Memelihara kehormatan diri. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan. 
Mandi Sunat. Fadilatnya - Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu. Lafaz niat: "Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala." 
Membaca Qulhuwallah hingga akhir 1,000 kali. Fadilatnya - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah di akhirat nanti. 
Sembahyang sunat empat rakaat. Fadilatnya - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. Lafaz niat: "Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala." Pada rakaat pertama dan kedua selepas Fatihah dibaca Qulhuwallah 11 kali. 
Menjamu orang berbuka puasa. Fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa. 
Puasa. Niat - "Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala." Fadilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya pada neraka.



Bertanya para sahabat : "Wahai Rasulullah ! Apakah kelebihan 10 Muharram berbanding dengan hari-hari yang lain ?" Sabdanya : 

ALLAH menciptakan langit, bintang dan sebagainya pada 10 Muharram
ALLAH menciptakan gunung-ganang pada 10 Muharram
Diciptakan lautan pada 10 Muharram
Diciptakan Qalam (pena untuk menulis amal manusia) pada 10 Muharram
Diciptakan papan tulis (Luh Mahfuz) pada 10 Muharram
Diciptakan Adam a.s. pada 10 Muharram
Dimasukkan Adam a.s. ke dalam syurga pada 10 Muharram
Dilahirkan Ibrahim a.s. pada 10 Muharram
Diselamatkan Ibrahim a.s. dari api Namrud pada 10 Muharram
Diselamatkan anaknya Ismail a.s. dari sembelihan pada 10 Muharram
Ditenggelamkan Fir'aun pada 10 Muharram
Diampunkan dosa Daud a.s. pada 10 Muharram
Dilahirkan Isa a.s. pada 10 Muharram
Dikeluarkan Idris a.s. daripada perut ikan Nun pada 10 Muharram
Disembuhkan penyakit Ayub a.s. pada 10 Muharram
Diangkat Isa a.s. ke langit pada 10 Muharram
Diterima taubat Adam a.s. pada 10 Muharram
Dianugerahkan tahta kerajaan kepada Sulaiman a.s. pada 10 Muharram
Diciptakan Arasy pada 10 Muharram
Awal-awal hujan yang turun dari langit pada 10 Muharram
Awal-awal rahmat diturunkan pada 10 Muharram
Diselamatkan bahtera Nuh a.s. daripada tenggelam pada 10 Muharram