Sabtu

Ramadan: Antara adat dan sunnah


Apabila masuknya Ramadan al-Mubarak, umat Islam diperintahkan ALLAH SWT untuk melaksanakan ibadah penting dan satu daripada Rukun Islam, iaitu berpuasa.

Puasa bermaksud menahan diri daripada makan, minum, dan perkara yang membatalkannya daripada terbit fajar (subuh) sehingga terbenam matahari (maghrib) disertai dengan niat.

Ibadah itu adalah melaksanakan perintah syarak dengan disertai perasaan cinta dan kasihkan ALLAH dengan penuh kepatuhan kepada-Nya. ALLAH SWT tidak akan menerima suatu ibadah melainkan dua perkara iaitu ikhlas kepada- Nya dan menepati kehendak-Nya dalam tatacara perlaksanaan ibadah tersebut.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Dan Dia lah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa, sedang 'Arasy-Nya, berada di atas air (ia menjadikan semuanya itu untuk menguji kamu: siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya.” (Surah Hud : 7) Al-Imam Ibn Katsir rahimahullah (w.774 H) menjelaskan maksud amalan yang terbaik dengan berkata:

“Tidaklah suatu amalan itu menjadi baik melainkan jika ia suci dan tulus untuk ALLAH Azza wa Jalla, mengikut syariat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam, maka apabila hilang salah satu daripada dua syarat ini daripada suatu amalan maka ia adalah batil dan gugur (tidak diambil kira di sisi ALLAH).” (Tafsir Ibn Katsir, 4/308) Ikhlas dalam amalan bermaksud mentauhidkan ALLAH SWT dalam setiap amal ibadah kita dan tidak disekutukan padanya dengan ALLAH suatu apa pun.

Sebagaimana firman ALLAH SWT dalam Surah Al-Maidah ayat ke 27 yang bermaksud: “Sesungguhnya ALLAH hanya menerima amalan daripada orang yang bertakwa”; berkata Mu’az bin Jabal radiallahu ‘anhu dalam mentafsirkan makna al-Muttaqin (orang yang bertakwa):

“Golongan yang menjauhi Syirik dan penyembahan Berhala dan Umat Islam dituntut untuk mengambil peluang mempertingkatkan amalan ibadat mereka ketika Ramadan kerana ALLAH SWT menjanjikan ganjaran berlipat ganda untuk hamba-Nya yang beramal salih mereka mengikhlaskan ibadah (untuk ALLAH semata-mata)”. (Tafsir Ibn Katsir, 3/85).

Seorang Mukmin perlu memastikan bahawa ibadah yang dilakukan mestilah jauh dan bersih daripada sebarang bentuk penyekutuan ALLAH dengan makhluk (syirik) sama ada syirik akbar (besar) yang menjadikan pelakunya terkeluar daripada Islam mahupun daripada syirik asghar (kecil) yang membatalkan amal ibadah itu di sisi ALLAH dan menjadi sia-sia.

Ikut syariat

Sikap beramal ibadah atas dasar menunjuk-nunjuk dan inginkan populariti atau sekadar hendak menyatakan bahawa dirinya beribadah adalah suatu bentuk penyekutuan terhadap ALLAH.

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan (terhadap ganjaran daripada ALLAH SWT) maka diampunkan baginya dosa yang terdahulu.” (Riwayat Al- Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis ini Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam menjelaskan bahawa ibadah mestilah dilakukan dengan keimanan dan yakin kepada ALLAH SWT, bukan sekadar ikut-ikutan. Ibadah itu mestilah dilakukan dengan penuh harapan akan ganjaran daripada ALLAH SWT sahaja dan bukan daripada selain-Nya.

Adapun berkaitan dengan syarat kedua iaitu mengikut syariat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam, perkara ini amat banyak ditegaskan ALLAH SWT dalam
al-Quran berkaitan kewajipan mentaati Rasul dan mengikut apa yang Baginda sampaikan dan larangan supaya jangan memandai-mandai dalam urusan agama.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) ALLAH dan Rasul- Nya; dan bertakwalah kamu kepada ALLAH; Sesungguhnya ALLAH Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah Al-Hujurat : 1)

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam pula menegaskan bahawa setiap amalan yang tidak berasal daripada tunjuk ajar Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam adalah tertolak.

Daripada Aisyah RA, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang mereka cipta suatu urusan dalam agama kami ini yang tidak ada asas daripadanya, maka ia adalah tertolak”. (Riwayat Al Bukhari dan Muslim)

Tindakan mereka cipta suatu amalan dan ibadah tanpa mempunyai dalil yang konkrit dan utuh daripada wahyu ILAHI adalah tindakan yang sangat zalim dan melampaui batas kedudukan seorang makhluk kerana ia termasuk berdusta atas nama ALLAH dan Rasul-Nya.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan - mana-mana bahagian dari agama mereka - sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh ALLAH. Dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (daripada ALLAH, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian). Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya." (Surah Al-Syura : 21)

Cari ilmu sahih

Dalam melaksanakan apa-apa ibadah secara umumnya dan puasa Ramadan secara khususnya, hendaklah kita memastikan bahawa setiap amalan itu mempunyai dalil (petunjuk) daripada syarak secara sahih, sesuai dengan apa yang difahami golongan ulama Salafus Soleh daripada kalangan Sahabat, Tabiin, dan Tabi’ Tabiin ridwanullahi ‘alaihim ajma’in. Ini kerana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam menamakan tiga golongan ini sebagai sebaik-baik kurun dalam kalangan umat baginda.

Janganlah kita hanya beramal berteraskan kepada adat turuntemurun tanpa mencari ilmu yang sahih dalam melaksanakan amalan itu. Amalan yang salih tidak akan lahir melainkan daripada ilmu yang sahih yang berteraskan daripada pancaran wahyu ILAHI. ALLAH SWT telah mencela kaum musyrikin yang beramal semata-mata dengan bertaklid kepada nenek moyang mereka walaupun telah jelas bahawa amalan nenek moyang mereka itu berlawanan dengan perintah ALLAH SWT yang sahih.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Dan apabila dikatakan kepada mereka 'turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh ALLAH', mereka menjawab: '(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya'. Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara agama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (daripada ALLAH)?" (Surah Al- Baqarah : 170)

Semoga Ramadan pada tahun ini menjadi titik tolak permulaan kita untuk membetulkan apa yang tersilap dan memperkemaskan lagi apa yang masih kurang kemas dalam amal ibadah kita berbanding Ramadan yang terdahulu.

Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan daripada ALLAH SWT iaitu kebaikan yang banyak dan berterusan dalam kebaikan tersebut. Wallahu waliyyut taufiq.



*MUHAMMAD ASRIE SOBRIE Pengerusi Kelab Sekretariat iLMU Cawangan Universiti Islam Madinah, Arab Saudi.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan