Ahad

Beramal dengan petunjuk Nabi


Hudzaifah Ibnul Yaman RA, sahabat Nabi pernah ditanya tentang siapakah orang paling dekat sikap, akhlak, perwatakan dan perbuatannya dengan Nabi SAW. Ini sahabat Nabi bertanya kepada sahabat Nabi yang lain.

Lihatlah dan pelajarilah bagaimana cara sahabat Nabi bertanya, mereka tidak bertanya siapakah paling mirip dengan si fulan atau orang lain, tetapi mereka bertanya siapakah yang paling mirip dan serupa perangainya dengan Nabi SAW.

Jawab Hudzaifah Ibnul Yaman, “Aku tidak mengetahui seorang pun yang paling mirip petunjuknya dan sikapnya dengan Nabi SAW selain daripada Ibn Ummi ‘Abd (merujuk kepada Abdullah ibn Mas’ud RA).” Apa yang hendak dikisahkan ialah para sahabat Nabi, mereka akan sentiasa berusaha dan berlumba-lumba untuk mendekati dan meniru setiap perkara dipraktikkan oleh Nabi SAW.

Untuk memahami dan mempraktikkan al-Quran dan as sunnah, tidak lain dan tidak bukan mestilah sesuai dengan petunjuk sahabat Nabi RA. Mereka adalah manusia yang lebih memahami tentang agama, mereka lebih faham tentang hadis-hadis Nabi SAW dan ayat-ayat al-Quran.

Sebab itu Ibn Mas’ud RA ketika menceritakan tentang sahabat Nabi, katanya; “Sesiapa sahaja yang mencari contoh untuk diikuti, maka contohilah para sahabat Rasulullah SAW. Kerana merekalah orang yang paling baik hatinya di kalangan umat ini, paling mendalam ilmu agamanya, umat yang paling sedikit dalam berlebihan-lebihan, paling lurus bimbingannya, paling baik keadaannya. ALLAH telah memilih mereka untuk mendampingi Nabi SAW dan menegakkan agama-Nya. Ketahuilah keutamaan mereka, dan ikutilah jalan mereka. Kerana mereka semua berada pada shiratal mustaqim (jalan yang lurus lagi benar).” (Tafsir Al Qurthubi)

Jadi apabila kita bercerita tentang Ramadan antara adat dan ibadat, asas kita adalah al-Quran dan as sunnah, asas dalam kita memahami keduanya adalah sahabat Nabi RA. Saya selalu membawakan satu teori; teori K.U.M.A.N.. Maka apabila datang sahaja apa-apa ibadat atau perbuatan, semak dahulu lima perkara ini.

K- KITAB. Apabila kita bercerita tentang hadis Nabi atau apa-apa ibadah contohnya ibadah Ramadan yang menurut sunnah, orang menolaknya dengan membawakan alasan dalam kitab itu bilang begini. Mereka berdalilkan kitab dan membelakangkan al-Quran dan hadis yang sesuai dengan kefahaman sahabat Nabi SAW.

U- USTAZ atau ULAMA. Ustaz atau ulama lebih diutamakan berbanding al-Quran dan hadis. Menurutnya mustahil ustaz atau ulama tidak mengetahui al-Quran dan hadis, mustahil ustaz dan ulama itu tidak merujuk kitab, mustahil ustaz itu silap.

M- MAJORITI. Mereka melihat bilangan. Jika ramai orang amalkan sesuatu maka itulah yang diikutinya. Sedangkan kebenaran bukan terletak pada bilangan pengikutnya. Sebab itu Nabi SAW menyebut di dalam hadis, ertinya: “Islam bermula dalam keadaan asing, dan ia akan kembali dalam keadaan asing, maka beruntunglah orang-orang yang asing itu.” (riwayat Imam Muslim no. 208)

A- AKAL. Apabila kita mengatakan Nabi tidak pernah buat seperti ini, mereka menjawab apa masalahnya, amalan ini kelihatan baik. Mereka mengira sesuatu itu baik berdasarkan akalnya. Akalnya didahulukan daripada al-Quran dan as sunnah.

N- NENEK MOYANG. Apabila kita memberikan dalil, mereka bertanya pula, jika dalil ini benar adakah orang-orang tua dulu semuanya masuk neraka? Ini masalah. Lupakah kita ALLAH SWT mencerca golongan-golongan Arab Jahiliyah di dalam firman-Nya,

Ertinya: “Dan apabila dikatakan kepada mereka: ‘Ikutilah apa yang telah diturunkan ALLAH,’ mereka menjawab: “(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari nenek moyang kami.” “(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apa pun, dan tidak mendapat petunjuk?” (surah Al-Baqarah, 2:170)

Maka dari sini kita fahami alasan nenek moyang tidak relevan dan tidak boleh diterima. Saya tegaskan sekali lagi hanya dengan prinsip ini barulah kita boleh bezakan antara adat dengan ibadat, perkara yang disyariat dan perkara yang direkacipta oleh manusia. Dengan prinsip ini barulah kita dapat membezakan antara bid’ah dengan sunnah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan