Jumaat

Tunaikan solat pada waktunya


SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang mewajibkan solat fardu lima waktu sehari semalam untuk ditunaikan pada waktu yang tertentu. Ia tidak boleh dikerjakan sebelum masuk waktu ataupun sesudah waktunya tamat. 
Dalam sebuah athar daripada Ibnu Mas'ud RA, beliau berkata: "Sesungguhnya bagi solat itu waktu yang telah ditetapkan sebagaimana ketetapan waktu untuk mengerjakan haji."

Hadis Nabi Muhammad SAW telah pun menjelaskan waktu kelima-lima solat fardu tersebut sebagaimana dalam hadis Jabir RA yang berkata:
"Sesungguhnya Jibrail telah mendatangi Rasulullah SAW lalu berkata: "Bangkit dan solatlah." Maka Rasulullah pun bangkit dan mengerjakan Solat Zuhur sesudah matahari tergelincir. Ketika waktu Asar tiba, Jibrail berkata: "Bangkit dan solatlah." Rasulullah SAW pun solat ketika bayang-bayang sesuatu itu telah menjadi sepertinya.
Apabila tiba waktu Maghrib, Jibrail berkata: "Bangkit dan solatlah". Rasulullah SAW mengerjakan solat Maghrib ketika matahari sudah terbenam. Ketika tiba waktu Isyak, Jibrail berkata: "Bangkit dan solatlah." Baginda SAW pun mengerjakan solat Isyak sesudah hilangnya cahaya di ufuk.

Apabila tiba waktu Fajar, Jibrail berkata kepadanya: "Bangkit dan solatlah." Rasulullah SAW pun bangkit dan mengerjakan solat Fajar setelah timbulnya cahaya fajar yang melintang." (Riwayat Ahmad, sahih)
Adalah menjadi kewajipan Muslim untuk mengerjakan kelima-lima solat fardu ini pada waktunya; tanpa diawalkan mahupun dilewatkan kecuali dalam keadaan musafir atau sakit dan seumpamanya yang mana syarak membolehkannya untuk mengerjakannya secara jamak.

Adapun mereka yang sengaja melewatkan solat sampai keluar waktu tanpa keuzuran syarie, sesungguhnya dia lalai dan bertindak buruk dalam mengerjakannya. 
Kata seorang tokoh dalam kalangan ulama generasi Tabiin Saeed bin Al-Musayyab: "Ertinya dia tidak mengerjakan solat Zuhur sampai tiba waktu Asar, dia tidak mengerjakan solat Asar sampai tiba waktu Maghrib, dia tidak mengerjakan Maghrib sampai tiba waktu Isyak, dia tidak solat Isyak sampai tiba waktu Fajar dan dia tidak solat Subuh melainkan sesudah matahari terbit."
Sesiapa yang terus menerus melakukan sebegini tanpa bertaubat daripadanya, sesungguhnya ancaman pedih menantinya dalam neraka jahanam. 
Firman ALLAH: "Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati ALLAH; dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi." (Surah Al-Munafiqun: 9)

Menurut ulama tafsir, erti mengingati ALLAH dalam ayat di atas ialah solat fardu lima waktu. Barang siapa yang disibukkan dengan harta dan anaknya daripada mengerjakan solat pada waktunya,  sesungguhnya dia dalam kalangan orang yang rugi yang tidak bermanfaat buatnya harta dan anaknya. 

Lalai kerjakan solat
Sungguh perkara ini melibatkan bahaya yang besar. Sebahagian orang mengambil mudah perkara ini sehingga dia lalai daripada mengerjakan solat pada waktunya sama ada kerana urusan dunia seperti membeli belah dan tugasan pejabat, kerana bermain atau kerana sengaja tidur pada waktu solat sampai terkeluar waktunya.
Malah sebahagian mereka sampai mengumpulkan kelima-lima solat fardu dan mengerjakannya sekali gus sesudah dia pulang ke rumah pada waktu malam. 

Semua ini termasuk dalam erti kata mempermainkan urusan agama dan bersikap sambil lewa dalam menunaikan kewajipan solat yang menjadi tiang agama dan beza antara orang beriman dan orang kafir. Hendaklah dia segera bertaubat kepada ALLAH daripada perbuatan ini.

Jika tidak, selagi mana dia meneruskan sikap ini sesungguhnya dia terdiri dalam kalangan orang yang lalai menunaikan solat, golongan yang rugi dan mendapat ancaman kecelakaan dan kebinasaan. 
Adapun mereka yang terlepas solat kerana tidak sengaja dengan tidur atau lupa, hendaklah dia segera menunaikannya. Sekiranya yang tertinggal adalah beberapa solat maka hendaklah dilaksanakan kesemuanya sekali gus ketika dia ingat mengikut susunan waktunya iaitu Subuh sebelum Zuhur, Zuhur sebelum Asar, Asar sebelum Maghrib, dan Maghrib sebelum Isyak. 

Solat tertinggal
Mereka yang keliru dalam menunaikan solat tertinggal kerana tidak sengaja iaitu apabila mereka teringat mereka tidak bersegera menunaikannya. Sebaliknya, mereka menangguhkannya lagi untuk ditunaikan apabila mereka senang.

Contohnya solat Subuh apabila seseorang itu bangun sesudah matahari terbit. Kerana sebab tertentu seperti lewat ke tempat kerja dan seumpamanya, mereka memilih untuk menangguhkan solat sehingga sampai ke pejabat atau barangkali sampai ke waktu Zuhur barulah mereka mengerjakannya. 
Hakikatnya perbuatan mereka salah. Walaupun sudah terlepas waktunya, tetapi ini tidak bererti mereka boleh bertangguh-tangguh solat yang terlepas itu sesudah mereka mengingatinya. Perlu kita ingat solat fardu itu telah ditetapkan waktunya.

Begitu juga dalam keadaan terlepas waktu solat dengan tidak sengaja akibat lupa atau tertidur di mana waktu mengerjakannya adalah ketika kita teringat atau bangun tidur. Dengan erti kata lain, jika kita terus menangguhkannya hakikatnya kita melepaskan waktu kecemasan yang diberikan oleh syarak untuk kita menunaikan solat yang terlepas itu. 

Qada solat
Mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja sama ada satu solat fardu, dua atau sehari semalam atau barangkali sampai berhari-hari dan berminggu-minggu, mereka dalam keadaan bahaya. Ternyata golongan yang sengaja meninggalkan solat diancam dengan kekufuran.

Jika mereka mati tanpa bertaubat, mereka boleh memilih untuk mati dalam keadaan Yahudi, Nasrani atau agama kufur yang lain. Segeralah bertaubat sebelum terlambat. Sungguh ALLAH Maha Pengasih. 
Buat mereka yang ingin bertaubat daripada perbuatan meninggalkan solat, tidak dinafikan terdapat pandangan ulama yang mengatakan hendaklah mereka ganti solat yang ditinggalkan dahulu walaupun sudah bertahun-tahun lamanya.

Cuma, pandangan ini tidak tepat memandangkan orang yang sengaja meninggalkan solat sampai keluar waktu, mereka tidak boleh mengqada solat tersebut. Sebabnya jelas, kerana mereka melepaskan solat tersebut sampai keluar waktu dengan sengaja. Nabi SAW menyebut dalam hadis memberi kelonggaran buat mereka yang terlupa atau tertidur sahaja, berbeza dengan orang yang sengaja. 
Justeru, pandangan yang kuat dalam permasalahan ini adalah, mereka yang ingin bertaubat daripada perbuatan meninggalkan solat hendaklah memperbanyakkan amalan sunat sama ada dalam solat, puasa, bersedekah dan sebagainya. Dengan harapan semoga amalan sunat tersebut dapat menampung dosa mereka.

Kesan sampingan jika terlebih minum air detoks lemon



BAGI yang sedang diet air lemon ini memang tak asing lagi. Ia menjadi sebahagian minuman untuk tujuan detoks membuang toksin yang juga salah satu cara untuk menurunkan berat badan.
Botol air berisi hirisan lemon ini selalunya bekalan wajib mereka yang berdiet hingga kadang-kadang ada yang membawa beberapa botol besar untuk minuman seharian di tempat kerja.
Tapi tahukah anda bahawa air lemon ini kalau diminum berlebihan boleh mendatangkan kesan sampingan yang tidak baik untuk tubuh.
Tiga perkara berikut mungkin anda alami jika mengambilnya terlalu banyak. Kurangkan pengambilannya jika kesan ini sudah anda rasai.

1. Hakisan gigi
Terlalu banyak mengambil makanan atau minuman berasid seperti air lemon bergelas-gelas akan menyebabkan gigi turut kerap diselaputi asid.
Ia mampu menghakis enamel gigi dan membuat gigi semakin sensitif pada makanan sejuk dan panas. Bagi melindungi gigi ketika minum minuman berasid sebaiknya gunakan straw.

2. Pedih ulu hati
Minum air lemon juga boleh mencetuskan pedih ulu hati. Ia akan menjadi lebih serius jika anda pernah mengalaminya sebelum ini.
Pedih ulu hati ini akan menyebabkan rasa panas dan juga sakit di bahagian dada. Kurangkan pengambilan makanan dan minuman berasid untuk mengelak serta mengurangkan simptom pedih ulu hati.

3. Kerap buang air dan dehidrasi
Ini juga salah satu kesan sampingan yang mungkin anda alami jika terlebih minum air lemon. Buah ini mempunyai kandungan vitamin C yang tinggi.
Nutrien ini memang bersifat diuretik yang bermakna ia meningkatkan penghasilan urin oleh buah pinggang untuk membantu tubuh mengeluarkan cecair dan sodium berlebihan dengan cepat.
Sekiranya anda merasai tanda-tanda dehidrasi seperti mulut kering, haus, pening kepala atau mengantuk segera kurangkan pengambilan air lemon.
Apa-apa makanan pun kalau diambil berlebihan tak elok, jadi bersederhanalah. jangan kerana mahu kurus cepat, penyakit lain pula yang datang.

***Artikel ini dipetik dari blog www.vanilakismis.com.my

Tip didik anak 5 tahun hafaz juz 30



SAYA kongsikan sedikit teknik dan pengalaman saya dan isteri melatih anak-anak menghafal al-Quran pada usia muda. Kami mempunyai tiga anak berumur 6, 5 dan setahun.
Anak sulung dan kedua saya lelaki. Orang kata, anak lelaki sukar untuk fokus menghafal berbanding anak perempuan. Jawapan saya mudah. Setiap anak  sama ada lelaki atau perempuan boleh menghafal, cuma ada cepat dan ada sedikit lambat.

Antara tip yang digunakan adalah:-
Tip 1 : Mainkan audio Quran terbaik sepanjang masa di rumah dan dalam kenderaan.
Teknik ini bagi kami paling asas untuk menimbulkan minat awal anak terhadap al-Quran. Ini kerana deria manusia pertama yang memberi respons dalam pembelajaran ialah melalui pendengaran sebelum penglihatan dan sentuhan. Kami belikan pembesar suara yang baik dan CD audio Syeikh Misyari Al-Fasi ‘original’ untuk menarik minat pendengaran anak. Pernah dahulu kami hanya pasang melalui ‘handphone loudspeaker’ dan ‘burn’ CD dalam format MP3, tetapi bingit telinga bila terlalu lama mendengarnya.

Tip 2 : Abang long ‘The Trendsetter’
Teori ini kami ambil daripada buku keluaran Profazz dan digunakan dalam mendidik anak-anak khususnya ketika proses menghafaz Quran. Teori ini menceritakan segala tindak tanduk anak sulung akan diikuti adik-adiknya. Fokus utama adalah anak sulung kami, Syed Faqihuddin.

Tip 3: Latih anak menghafaz secara konsisten seawal umur 5 tahun
Sebelum 5 tahun, anak boleh didedahkan dengan sebutan makhraj huruf, kalimah ALLAH SWT, nyanyian doa, zikir secara santai. Ketika umur mereka masuk 5 tahun pada bulan Januari, ibu bapa perlu ambil serius kerana anak sudah bersedia ketika ini. Belikan muqaddam bersaiz besar, sediakan jadual surah dan beli CD. Jangan terkejut jika mereka menghafal perkara lain seperti iklan, lagu dan sebagainya jika tidak dilatih menghafal Quran ketika ini. Kami biasa lihat gelagat anak bila dia lipat baju dan bermain basikal, mulutnya membacakan ayat-ayat Quran, mungkin itu hiburannya.

Alhamdulillah, hujung Disember tahun lepas, anak sulung selesai menghafal keseluruhan juz 30 pada umur 5 tahun. Kini dia mula menyambung semula hafalan bermula dengan Surah Yasin di samping pengulangan juz 30 mengikut jadual disediakan.

Tip 4 : Kurangkan/tidak menonton televisyen/gajet elektronik
Anak kami tidak dibenarkan menonton Ultraman mahupun Frozen atau seangkatan dengannya. Hafalan anak pernah terjejas disebabkan menonton televisyen sebelum ini. Fikiran agak khayal dan kurang fokus kesan daripada peralatan elektronik tersebut. Mereka tidak kenal sangat kartun kerana tidak pernah menonton cerita ini di rumah. Jika mereka ternampak di kedai, kami segera alihkan perhatian mereka kepada perkara lain.
Orang kata, apabila berkawan di sekolah nanti, dia kenal juga. Justeru, itulah peranan ibu bapa dalam memberi kefahaman kepada mereka. Maka, anak boleh hilang minat dengan mainan yang tidak realistik ini. Jika sekali-sekala menonton mungkin tiada masalah, asalkan rancangan ilmiah. Sebaiknya, ibu bapa ada bersama-sama menonton ketika itu.

Tip 5 : Ibu bapa perlu cuba menghafal, jangan sekadar mengarahkan
Anak seronok bila mereka tahu kami turut menghafal surah yang mereka hafal. Timbul suasana pembelajaran yang menarik. Kadang-kadang kami tasmi’ (perdengarkan) bacaan kepada mereka, kami silapkan sedikit bacaan untuk mereka tegur kesalahan kami. Suasana tasmi’ ini boleh dilakukan dalam keadaan santai seperti sedang melipat pakaian, dalam kenderaan dan lain-lain.

Tip 6 : Mulakan dengan surah mudah
Mudah bukan bermaksud pendek, tetapi ayatnya mudah dilafazkan dan tidak banyak pengulangan sebutan yang hampir sama. Ini penting bagi mengelakkan anak rasa susah di peringkat awal. Juz 30 ada 37 surah. Kami pecahkan kepada dua bahagian.

Bahagian satu adalah surah versi pendek yang mudah bermula dengan Surah An-Nas dan berakhir dengan Surah Ad-Dhuha kerana sering dibaca dalam solat. Kami ikut turutan, cuma Surah Al-Bayyinah terakhir dihafal. Adapun pada bahagian kedua iaitu Surah Al-Layl hingga Surah An-Naba’, kami tidak mengikut turutan. Kami mula dengan Surah As-Syams dan berakhir dengan Surah At-Takwir.

Tip 7 : Bercerita
Gunakan teknik penceritaan supaya anak tahu dan menguatkan lagi minat mereka untuk menghafal. Contohnya, sebelum baca Surah Al-Fiil, kami ceritakan kepada anak mengenai hebatnya ALLAH dalam menewaskan gajah dan tentera Abrahah. Ini sekali gus menguatkan akidah mereka. Semua surah ini diturunkan di Makkah yang menekankan bab akidah melainkan dua surah iaitu Surah An-Nasr dan Surah Al-Bayyinah.

Inilah sempat dikongsikan, mungkin anda ada cara lebih baik. Kami usaha dengan kemampuan yang ada, niat kami supaya anak kami dekat dengan Quran, dekat dengan penciptanya. Selamat beramal dan istiqamahlah!



SYED MOHD AIZUDDIN TUAN SEMBAK & NAFISAH ABDUL LATIF, Penulis adalah pembaca Rehal dari 
Tangkak, Johor

Tiada siapa terlepas daripada himpitan kubur




Selepas tiba saat kita kembali menghadap Allah SWT, perkara yang perlu diingat ialah jasad sudah tiada lagi nilainya, walaupun semasa hayat banyak masa dan wang ringgit dihabiskan demi menjaga jasad. Hakikatnya, walaupun jasad sudah tidak mampu bergerak roh akan terus melalui perjalanan. 

Sekiranya berjaya melalui alam barzakh dengan berada di dalam taman syurga, maka ia satu kenikmatan kepada kita. Tetapi sebaliknya jika kematian penuh dengan fitnah dan azab, maka kita akan menjadi manusia yang penuh kekecewaan.

Menurut perkongsian Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani melalui segmen Mau'izati di IKIMfm pada Khamis, jam 5.15 petang, pada malam pertama ketika berada di alam barzakh, jasad akan mulai busuk dan bahagian badan yang pertama mengalaminya ialah perut serta kemaluan. Kemudian jasad akan mula berubah warna hijau dan cenderung menjadi lebih gelap. Malam berikutnya, seluruh organ dalaman seperti paru-paru, hati dan limpa mula menjadi busuk. 

Pada malam ketiga di alam barzakh, segala lendiran dan cecair mula keluar dari mata, telinga, malah jasad semakin berbau busuk. Sehinggalah tiba hari ketujuh hingga ke -10, tubuh membengkak dan sangat busuk serta mula didatangi ulat. Selepas dua minggu, jasad dipenuhi ulat serta dimakan cacing. Dalam tempoh enam bulan, sudah tiada lagi isi dan daging, yang tinggal hanyalah tulang serta rangka. Tetapi Nabi, syuhada dan orang salih termasuk dalam kalangan mereka yang menghafaz al-Quran diberi keistimewaan oleh Allah SWT. Selepas 25 tahun meninggal dunia, nama kita sudah tidak lagi disebut-sebut dan apa yang tinggal hanyalah tulang kecil daripada bahagian punggung. Kita akan dibangkitkan pada hari akhirat kelak daripada tulang sekecil itu. Bermula sejak diturunkan jasad ke liang lahad, setiap roh akan melalui suasana yang berbeza antara satu sama lain bergantung kepada amalannya ketika hidup di dunia.

Sebagai orang Mukmin, perkara pertama yang akan dilalui ialah himpitan kubur yang tidak akan ada sesiapa terlepas daripada mengalaminya. Kemudian melihat malaikat yang berwarna hitam kebiru-biruan iaitu Mungkar dan Nakir berada di hujung kaki. Jasad mula diletakkan sama dengan tanah dan akan kedengaran suara yang menyebut: "Selamat datang wahai hamba Allah, kamu akan lihat bagaimana akan aku lakukan kepada kamu sebentar lagi." Kalimah itu benar-benar mengejutkan sehingga menyebabkan kita tercari-cari dari manakah datangnya suara itu, sedangkan ia sebenarnya datang daripada tanah tempat kita disemadikan.

Apabila jenazah mula ditutup, datang pula malaikat Roman meminta si mati menulis semua amalan baik dan buruk yang sudah dilakukan ketika hidup di dunia dengan menggunakan cebisan kain kapan, lalu segala catatan itu akan digantung pada leher si mati. Selepas itu, datang pula malaikat Mungkar dan Nakir yang mula menghalau segala amalan solat, puasa dan zakat yang berada di sekitar si mati untuk menghalang kedua-dua malaikat daripada memulakan sesi soal jawab kepada si mati. Hanya al-Quran sahaja yang mampu menjadi pelindung kepada kita pada saat itu. Soal jawab Mungkar Nakir berbeza Berdasarkan kitab karangan Imam Qurtubi dan Imam Jalaluddin al-Suyuti, soal jawab oleh malaikat Mungkar dan Nakir berbeza kepada setiap manusia berdasarkan amalan di dunia. Ada yang disoal mengenai Rasulullah SAW sahaja dan apabila mampu menjawabnya dia akan terlepas daripada soalan lain. Oleh itu berusahalah untuk mengenali dan mencintai Rasulullah SAW dan beriman dengan apa yang dibawa Baginda. 

Selepas berjaya menjawab mengenai Rasulullah SAW, malaikat akan terus menunjukkan tempatnya di dalam neraka Allah SWT. Oleh kerana Allah SWT tetapkan hati orang beriman dengan kata-kata yang tegas di dalam dirinya dan mampu menjawab pertanyaan daripada malaikat, lalu diperlihatkan di sebelah kirinya syurga Allah SWT dan ditukarkan tempatnya untuk berada di dalam syurga. Ada juga dalam kalangan manusia akan disoal: "Siapakah Tuhan kamu?" Apabila dijawab: "Allah Tuhanku." Keadaan kuburnya akan terus berubah. Malah ada diajukan soalan yang panjang, siapakah Tuhan kamu, siapa nabimu, apakah agamamu, di manakah kiblatmu dan soalan lain yang menyebabkan dia akhirnya gagal. Didakwa di alam kubur Rasulullah SAW berpesan, mereka yang banyak diajukan soalan oleh malaikat nanti, pasti dia akan diazab dan didakwa di dalam kubur sebelum diadili di Padang Mahsyar kelak. 

Walaupun ketika hidup si mati adalah orang yang sentiasa mengerjakan amalan salih tetapi diajukan banyak soalan oleh malaikat Mungkar dan Nakir, kerana menurut Ibn Qayyum dalam kitabnya al-Ruh, ada perkara tertentu yang pernah dilakukan. Perkara pertama ialah cuai terhadap solat, menangguhkan waktu untuk mendirikan solat atau tidak menjaga solat dengan sempurna. Kedua, golongan boleh membaca al-Quran tetapi tidak mengamalkannya. Ketiga, tidak memastikan diri suci daripada hadas kecil. 

Golongan keempat ialah mereka yang sentiasa berbohong, kelima, tidak membayar zakat, seterusnya ialah golongan yang suka membazir, memakan riba, terbabit rasuah, memfitnah sesama Muslim dan tidak amanah terhadap tanggungjawab yang diberikan. Bayangkan jika kita kembali menghadap Allah SWT dalam keadaan sentiasa melakukan kemaksiatan, sudah tentunya pada malam pertama ketika berada di alam barzakh, kita sudah tiada kekuatan dan kelebihan, roh berada di awang-awangan sehinggalah selesai urusan soal jawab kubur. Beruntunglah jika kita mampu menjawab dengan lancar segala soalan diajukan, pada ketika itulah kubur akan dilapangkan dan sebagaimana disebut oleh Rasulullah SAW, Allah SWT akan memperlihatkan kepada kita keadaan terbenamnya mentari pada hari itu dan kita terpaku melihat suasana ketika itu.

Penulis ialah Penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm