Ahad

Beramal dengan petunjuk Nabi


Hudzaifah Ibnul Yaman RA, sahabat Nabi pernah ditanya tentang siapakah orang paling dekat sikap, akhlak, perwatakan dan perbuatannya dengan Nabi SAW. Ini sahabat Nabi bertanya kepada sahabat Nabi yang lain.

Lihatlah dan pelajarilah bagaimana cara sahabat Nabi bertanya, mereka tidak bertanya siapakah paling mirip dengan si fulan atau orang lain, tetapi mereka bertanya siapakah yang paling mirip dan serupa perangainya dengan Nabi SAW.

Jawab Hudzaifah Ibnul Yaman, “Aku tidak mengetahui seorang pun yang paling mirip petunjuknya dan sikapnya dengan Nabi SAW selain daripada Ibn Ummi ‘Abd (merujuk kepada Abdullah ibn Mas’ud RA).” Apa yang hendak dikisahkan ialah para sahabat Nabi, mereka akan sentiasa berusaha dan berlumba-lumba untuk mendekati dan meniru setiap perkara dipraktikkan oleh Nabi SAW.

Untuk memahami dan mempraktikkan al-Quran dan as sunnah, tidak lain dan tidak bukan mestilah sesuai dengan petunjuk sahabat Nabi RA. Mereka adalah manusia yang lebih memahami tentang agama, mereka lebih faham tentang hadis-hadis Nabi SAW dan ayat-ayat al-Quran.

Sebab itu Ibn Mas’ud RA ketika menceritakan tentang sahabat Nabi, katanya; “Sesiapa sahaja yang mencari contoh untuk diikuti, maka contohilah para sahabat Rasulullah SAW. Kerana merekalah orang yang paling baik hatinya di kalangan umat ini, paling mendalam ilmu agamanya, umat yang paling sedikit dalam berlebihan-lebihan, paling lurus bimbingannya, paling baik keadaannya. ALLAH telah memilih mereka untuk mendampingi Nabi SAW dan menegakkan agama-Nya. Ketahuilah keutamaan mereka, dan ikutilah jalan mereka. Kerana mereka semua berada pada shiratal mustaqim (jalan yang lurus lagi benar).” (Tafsir Al Qurthubi)

Jadi apabila kita bercerita tentang Ramadan antara adat dan ibadat, asas kita adalah al-Quran dan as sunnah, asas dalam kita memahami keduanya adalah sahabat Nabi RA. Saya selalu membawakan satu teori; teori K.U.M.A.N.. Maka apabila datang sahaja apa-apa ibadat atau perbuatan, semak dahulu lima perkara ini.

K- KITAB. Apabila kita bercerita tentang hadis Nabi atau apa-apa ibadah contohnya ibadah Ramadan yang menurut sunnah, orang menolaknya dengan membawakan alasan dalam kitab itu bilang begini. Mereka berdalilkan kitab dan membelakangkan al-Quran dan hadis yang sesuai dengan kefahaman sahabat Nabi SAW.

U- USTAZ atau ULAMA. Ustaz atau ulama lebih diutamakan berbanding al-Quran dan hadis. Menurutnya mustahil ustaz atau ulama tidak mengetahui al-Quran dan hadis, mustahil ustaz dan ulama itu tidak merujuk kitab, mustahil ustaz itu silap.

M- MAJORITI. Mereka melihat bilangan. Jika ramai orang amalkan sesuatu maka itulah yang diikutinya. Sedangkan kebenaran bukan terletak pada bilangan pengikutnya. Sebab itu Nabi SAW menyebut di dalam hadis, ertinya: “Islam bermula dalam keadaan asing, dan ia akan kembali dalam keadaan asing, maka beruntunglah orang-orang yang asing itu.” (riwayat Imam Muslim no. 208)

A- AKAL. Apabila kita mengatakan Nabi tidak pernah buat seperti ini, mereka menjawab apa masalahnya, amalan ini kelihatan baik. Mereka mengira sesuatu itu baik berdasarkan akalnya. Akalnya didahulukan daripada al-Quran dan as sunnah.

N- NENEK MOYANG. Apabila kita memberikan dalil, mereka bertanya pula, jika dalil ini benar adakah orang-orang tua dulu semuanya masuk neraka? Ini masalah. Lupakah kita ALLAH SWT mencerca golongan-golongan Arab Jahiliyah di dalam firman-Nya,

Ertinya: “Dan apabila dikatakan kepada mereka: ‘Ikutilah apa yang telah diturunkan ALLAH,’ mereka menjawab: “(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari nenek moyang kami.” “(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apa pun, dan tidak mendapat petunjuk?” (surah Al-Baqarah, 2:170)

Maka dari sini kita fahami alasan nenek moyang tidak relevan dan tidak boleh diterima. Saya tegaskan sekali lagi hanya dengan prinsip ini barulah kita boleh bezakan antara adat dengan ibadat, perkara yang disyariat dan perkara yang direkacipta oleh manusia. Dengan prinsip ini barulah kita dapat membezakan antara bid’ah dengan sunnah.


Sabtu

Ramadan bulan kesabaran

Ramadan bulan kesabaran
Puasa bukan sahaja menahan daripada lapar dan dahaga tetapi menguji kesabaran umat. - Gambar hiasan

Sahabat Nabi bernama Abu Sa’id al-Khudri RA meriwayatkan dari Nabi Muhammad SAW bahawa Baginda bersabda ertinya; “Barang siapa sungguh-sungguh berusaha untuk sabar, nescaya ALLAH akan memudahkan kesabaran baginya, dan tidaklah seseorang dianugerahi pemberian yang lebih baik dan lebih luas daripada sifat sabar.” (riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim)

Ramadan juga dikenali sebagai ‘bulan kesabaran’ seperti yang diriwayatkan dalam kitab Silsilah Hadis Sahih oleh Syaikh Muhammad Nasiruddin al-Albani. Ibadah puasa dalam bulan ini dan sifat sabar mempunyai kaitan sangat erat. Jika makna puasa ialah menahan diri dari makan, minum dan perkara-perkara membatalkan puasa, demikian juga definisi sabar.

ALLAH berkata dalam kitabnya tentang sabar, maksudnya; “Maka bersabarlah kamu dengan kesabaran yang indah.” (Al-Ma’arij ayat 5) Di dalam kitab tafsirnya Fathul Qadir,  Imam Syaukani menjelaskan makna kesabaran yang indah sebagai; menahan diri daripada berputus asa, dan menahan lisan daripada keluh-kesah, serta menahan anggota badan daripada perbuatan yang dilarang ALLAH.

Hubungan ibadah puasa dan sabar

Ibadah puasa dan ibadah sabar punya hubungan yang erat. ALLAH menjanjikan ganjaran pahala yang tidak terbatas kepada orang-orang sabar dalam al-Quran, maksudnya; “Sesungguhnya orang-orang yang bersabar akan disempurnakan (ganjaran) pahala mereka tanpa batas.” (Surah az-Zumar, ayat10)

Ini senada dengan ganjaran yang ALLAH janjikan kepada orang-orang yang berpuasa. ALLAH menentukan jumlah ganjaran yang akan diperoleh untuk kebanyakan amal ibadah. Sebagai contoh 10 ganjaran pahala untuk setiap huruf bacaan al-Quran. Begitu juga ganjaran sehingga 700 kali ganda pada orang-orang yang ikhlas bersedekah.

Sebaliknya untuk ibadah puasa, ALLAH merahsiakan ganjaran yang akan diberikan. Kata nabi dalam satu hadis, maksudnya; “Semua amal (soleh yang dikerjakan) manusia dilipatgandakan (pahalanya), satu kebaikan (diberi ganjaran) 10 sampai 700 kali lipat. ALLAH Taala berfirman: “Kecuali puasa (ganjarannya tidak terbatas), karena sesungguhnya puasa itu (khusus) untuk-Ku dan Akulah yang akan memberikan ganjaran (kebaikan) baginya.” (riwayat Imam al-Bukhari & Imam Muslim)

Seorang sarjana Islam Ibnu Rajab al-Hambali menjelaskan eratnya hubungan puasa dengan sifat sabar dalam ucapan beliau, “Sabar itu ada tiga macam: (1) sabar dalam melaksanakan ketaatan kepada ALLAH, (2) sabar dalam meninggalkan hal-hal yang diharamkan-Nya, dan (3) sabar dalam menghadapi ketentuan-ketentuan-Nya yang tidak sesuai dengan keinginan. Ketiga bentuk sabar ini terkumpul dalam ibadah puasa, kerana (dengan) berpuasa (kita harus) bersabar dalam (menjalankan) ketaatan kepada ALLAH, dan bersabar dari semua keinginan syahwat yang diharamkan-Nya bagi orang yang berpuasa, serta bersabar dalam (menghadapi) beratnya (rasa) lapar, haus, dan lemahnya badan yang dialami orang yang berpuasa” (Lataif Ma’arif)

Sabar menghadapi musibah akhir zaman

Rukun sabar ada tiga. Ini dijelaskan oleh Ibnu Qayyim al-Jawziyah iaitu menahan diri dari sikap murka terhadap ketentuan ALLAH, menahan lisan dari keluh-kesah, dan menahan anggota badan dari perbuatan yang dilarang oleh ALLAH.

Beliau membawakan contoh di dalam kitabnya al-Wabilis Shayyib seperti menampar wajah (ketika terjadi musibah), merobek pakaian, memotong rambut dan sebagainya. Hal ini sering dilakukan oleh orang-orang kafir dan penganut agama Syiah yang dilaknat oleh ALLAH.

Nabi menyebutkan banyak musibah dan ujian akan berlaku melanda umat Islam pada akhir zaman. Dalam kitab-kitab hadis, peristiwa yang akan
melanda umat akhir zaman diletakkan dalam satu bab khusus diberi judul Bab Fitnah yang bermaksud fitnah atau ujian.

Antaranya seperti Bab Fitan dalam kitab Sahih Bukhari, Sunan Tirmidzi, Ibnu Majah dan Bab Fitan wa Asyratus Sa’ah dalam kitab Sahih Muslim. Syaikh Yusuf Abdillh bin Yusuf al-Wabil telah menyusun sebuah buku khusus membicarakan tentang peristiwa dan musibah yang akan melanda umat akhir zaman.

Di dalam bukunya, Asyratus Sa’ah (Hari Kiamat Sudah Dekat) beliau menyenaraikan 57 tanda-tanda kecil kiamat dan 9 tanda-tanda besar.

Sebahagian besar dari tanda-tanda itu termasuklah bencana dan musibah yang menimpa umat akhir zaman.

Satu dari musibah yang menimpa umat akhir zaman ialah kezaliman para penguasa dan pemerintah. Tidak sedikit daripada pegawai dan penguasa umat Islam hari ini yang bertindak menyimpang daripada ketentuan ALLAH dan Rasul-Nya. Rasuah dan korupsi bermaharajalela begitu juga dengan penyalahgunaan kuasa. Ini dapat dilihat di banyak negara dan wilayah yang diduduki oleh umat Islam seperti Iraq, Mesir, Syria dan beberapa lagi.

Namun kepada mereka yang membaca dan meneliti hadis-hadis Nabi, ini bukan sesuatu yang mengejutkan. Nabi banyak kali memberi amaran akan munculnya kezaliman dan kejahatan penguasa dan pemimpin. Antaranya yang bermaksud; “Akan ada nanti pemimpin-pemimpin yang kamu suka amalan mereka dan ada yang kamu benci (kerana ia maksiat), sesiapa yang mengenal pasti maksiat yang dilakukan maka dia terlepas, sesiapa yang ingkar dia selamat, tetapi (yang binasa) adalah yang reda dan mengikut”. Para Sahabat berkata: ‘Apakah tidak boleh kami memerangi mereka?’ Kata Baginda: “Tidak boleh selagi mereka bersolat”. (riwayat Imam Muslim)

Syaikh Muhammad bin Ibrahim bin Abdullah At-Tuwaijiri dalam kitabnya Mukhtasar Fiqh Islami menyusun sebuah bab khusus tentang kewajipan bersabar terhadap kezaliman dan keegoan penguasa. Beliau telah menghimpunkan beberapa hadis Nabi tentang tema berkaitan.

Sahabat Nabi bernama Usaid bin Khudair bercerita bahawa seorang lelaki Ansar bertanya kepada nabi, ‘Wahai Rasulullah, mengapa engkau tidak memperkerjakan ku sebagaimana engkau memperkerjakan si fulan?’ Nabi menjawab, ‘Sesungguhnya kalian akan mendapati setelah masaku sikap egois penguasa. Bersabarlah kalian sampai berjumpa denganku di telaga (dalam syurga).’ (riwayat Imam al-Bukhari & Imam Muslim)

Dari sahabat Abdullah bin Abbas “Sesiapa yang membenci akan perbuatan pemimpinnya (yang maksiat) maka bersabarlah kerana sesungguhnya sesiapa yang keluar menentang pemerintah sejengkal lalu mati, maka dia mati sebagai orang jahiliah”. (riwayat Imam al-Bukhari & Imam Muslim)
Pemahaman yang benar tentang bersabar ketika berhadapan dengan penguasa yang zalim diwarisi oleh generasi soleh terdahulu. Sarjana Islam merakamkan sekian banyak perkataan mereka di dalam kitab-kitab yang dikarang.

Ibnu Abi Ashim dalam kitabnya, As-Sunnah menukilkan perkataan beberapa orang sahabat. Beliau merakamkan perkataan Sahabat Abu Darda berkata yang bermaksud;

"Janganlah kamu melaknat (memaki hamun) pemimpin (penguasa), kerana melaknat mereka dapat memangkas agama, dan membenci mereka dapat melukainya."

Lalu beliau ditanya, ‘Hai Abu Darda’ Apa yang harus kamu lakukan jika melihat sesuatu yang tidak kami sukai pada diri mereka? Beliau menjawab, ‘Bersabarlah kamu! Kerana sesungguhnya ALLAH melihat yang demikian pada diri mereka, nescaya ALLAH akan menahan mereka dengan kematian.’ (juga direkodkan oleh Ibnu Hibban di dalam kitab As-Siqah)

Imam Ibnu Abdil Barr berkata, “Jika tidak memungkinkan untuk menasihati penguasa (dengan cara yang syar’i), maka solusi akhirnya adalah sabar dan doa, karena dahulu mereka –yakni sahabat- melarang daripada mencaci penguasa”. Kemudian beliau menyebutkan satu atsar daripada Anas bin Malik berkata, “Dahulu para pembesar sahabat Rasulullah melarang daripada mencaci para penguasa.” (At-Tamhid, Al-Imam Ibnu Abdil Barr)
Ad-Dawudi pula menyebut: ‘Yang menjadi pegangan para ulamak mengenai para pemerintah yang zalim ialah sekiranya mereka boleh dipecat tanpa sebarang fitnah dan kezaliman, maka wajib dipecat, jika tidak, maka wajib bersabar.’(Fath al-Bari oleh Ibn Hajr al-Asqalani)

Demikian beberapa petikan fatwa daripada ulama terkemuka generasi awal Islam tentang bersabar ketika menghadapi musibah kezaliman para penguasa. Catatan ini penting, memandangkan siri-siri demonstrasi, rusuhan dan pemberontakan sering sahaja berlaku di negara-negara umat Islam.

Paling jelas tindakan mereka ini amat bertentangan dengan apa diperintahkan ALLAH dan Rasul. Antara Ramadan, puasa dan sabar ternyata ia saling menyangkut sehingga berhadapan dengan penguasa zalim. Inilah Islam yang dirujuk sebagai agama dan cara hidup lengkap. Bab ini ditutup dengan anekdot tentang puasa dan pemerintah.

Zaidah bin Qudamah bertanya kepada Mansyur bin Muktamar, “Apabila saya berpuasa, bolehkah saya mencela penguasa?” Beliau menjawab, “Tidak.”
Zaidah bertanya lagi, “Kalau begitu, bolehkah saya mencela hamba hawa nafsu (orang yang mencela penguasa).” Beliau menjawab, “Ya! Boleh.” (Ash-Sham wa Adab Lisan, Ibnu Abi Dunya & Al-Hilya, Abu Nu’im)


Jumaat

Menyegerakan Zakat Fitrah

Menyegerakan Zakat Fitrah
Nescaya ALLAH akan melipat gandakan lagi pahala individu berzakat. - Gambar hiasan

Menyegerakan Zakat Fitrah
Pemberian zakat fitrah akan menggembirakan mereka yang berhak.

RAMADAN dan zakat fitrah tidak dapat dipisahkan, malah tidak sempurna puasa tanpa zakat fitrah. Zakat fitrah bermakna zakat badan atau zakat jiwa. Semua orang Islam diwajibkan, sama ada lelaki, perempuan, orang tua, kanak-kanak, bayi, orang gila, merdeka mahu pun hamba sahaya.

Abu Hurairah menyatakan: “Nabi Muhammad SAW telah mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan kepada orang yang merdeka, hamba sahaya, lelaki dan perempuan, anak-anak, dewasa, fakir atau kaya daripada kalangan kaum Muslimin,” (Riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim)

Namun sejauh manakah umat Islam benar-benar memahami zakat fitrah?. Eksekutif Komunikasi Korporat, Lembaga Zakat Selangor, Hamizul Abdul Hamid berkata, fuqaha memang berbeza pendapat tentang siapakah yang perlu mengeluarkannya, sama ada diri sendiri ataupun wali nasab, yakni orang yang wajib menanggung nafkah.

Amalan di Malaysia, zakat fitrah dikeluarkan oleh wali bagi semua tanggungannya. Dalam hal ini ada sebuah hadis berbunyi: “Bayarlah zakat fitrah daripada semua orang yang menjadi tanggungjawab kalian.” (Riwayat Baihaqi).

“Perkara paling asas, fuqaha menyatakan orang yang wajib menanggung nafkah itulah wajib memberikan zakat fitrah tanggungannya. Di sini, yang wajib ialah mereka yang dinamakan sebagai wali nasab (sedarah daging) atau penanggung nafkah, iaitu bapa, datuk, bapa saudara dan sebagainya.

“Jika anak angkat, andai sudah tiada wali nasab yang boleh dihubungi, maka penjaganyalah yang wajib membayarkan zakat fitrahnya. Ada juga pandangan, jika sudah dibuat perjanjian dengan bapa kandungnya bahawa bapa angkat akan menanggungnya, maka terlepaslah kewajipan bapa kandung si anak tersebut,” katanya kepada Rehal.

Menurutnya, andai anak yatim, sama juga jika sudah tidak berjumpa dengan mana-mana wali nasab, maka penjaganya yang wajib membayarkannya.

Jika anak tiri, pun masih kena lihat, andai sudah tiada wali nasabnya, maka bapa tirinyalah yang wajib mengeluarkannya.

Namun, jika kesemua mereka sudah ada kemampuan sendiri, misalnya walau masih belajar namun mendapat biasiswa atau wang hasil kerja sampingan, maka mereka lebih berhak mengeluarkannya sendiri. Tetapi, penjaga yang bukannya wali nasab masih boleh mengeluarkannya dengan syarat memaklumkan dahulu kepada anak-anak jagaannya itu.

Anak yang bekerja perlu membayar sendiri

Beliau yang juga pendakwah zakat bertauliah berkata, anak yang sudah bekerja sendiri, sama ada lelaki dan perempuan lebih berhak mengeluarkan sendiri zakat fitrahnya. Bahkan, jika mereka mahu mengeluarkan zakat fitrah ibu bapa juga boleh dan perlu memaklumkannya kepada ibu bapa.

“Manakala, kepada anak perempuan yang sudah berkahwin tanggungjawab itu perlu diselesaikan oleh suaminya.

“Waktu untuk menunaikan zakat fitrah pula bermula sejak satu Ramadan, walau bagaimanapun, ulama berbeza pendapat mengenai waktu wajibnya. Imam Syafie dan Malik menyatakan, ia menjadi wajib apabila terbenamnya matahari pada akhir Ramadan. Manakala Abu Hanifah pula menyatakan, ia wajib setelah terbit fajar satu Syawal,” ulasnya.

Menurut Hamizul, untuk memudahkan kita, ulama fikah telah membahagikan waktunya seperti berikut, iaitu harus sejak awal Ramadan, menjadi wajib atau paling utama sebelum solat Aidilfitri dan makruh setelah menunaikan solat Aidilfitri. Sesiapa yang tidak menunaikan zakat fitrah sehingga terbenam matahari satu Syawal, maka dia dianggap berdosa dan wajiblah segera mengeluarkannya dan kala itu ia dianggap qada.

Jangan bersikap menangguhkan

Islam  menyediakan satu ruang waktu yang amat luas bagi umatnya menunaikan zakat fitrah dan tidak sepatutnya ada orang boleh terlupa. Selalunya orang terlupa bila sengaja menunggu sehingga ke saat akhir. Jadi, jangan bertangguh.

Mungkin ada orang berhujah, mereka mahu menunggu ke saat akhir menunaikan zakat fitrah, demi mendapatkan pahala yang lebih besar. Berkenaan pahala ini, fuqaha tidak pula beranggapan menunaikannya lebih awal akan kurang pahalanya berbanding menunaikannya saat-saat akhir, lagi pun ia adalah tergantung kepada ALLAH SWT yang menentukannya.

Orang yang terlupa wajib segera mencari mana-mana fakir miskin dan serahkanlah zakat fitrah pada waktu itu juga dan fuqaha menyatakan ia sudah menjadi qada. Iringi juga dengan taubat dan berazam untuk tidak melalaikan lagi zakat fitrah selepas ini.

Majikan tidak wajib fitrahkan pembantu

Bertalu-talu persoalan mengenai zakat fitrah dilontarkan daripada individu yang peka antaranya adakah orang miskin juga perlu membayar zakat fitrah. Hamizul menjelaskan zakat fitrah diwajibkan kepada semua orang Islam, tanpa mengira sama ada mereka kaya, miskin, merdeka atau hamba sahaya.

Syaratnya, mereka mesti ada makanan yang cukup bermula dari malam satu Syawal hingga tamat satu Syawal. Orang miskin yang memenuhi syarat ini, wajib mengeluarkan zakat. Cuma ada sebahagian fuqaha menyatakan, jika orang miskin itu menjadi mampu disebabkan bantuan zakat, maka mereka tidak dibebani untuk mengeluarkan zakatnya, kerana punca hartanya adalah dari zakat juga.

“Saya masih ingat ada juga individu bertanyakan bolehkah kita membayar zakat fitrah dengan beras dan bukannya wang, Mengikut kepada ketetapan asal di sisi Syafie, memang begitu. Tetapi, sebahagian fuqaha berpendapat adalah harus mengeluarkan zakat fitrah dengan harga (wang).

Pada zaman Umar bin Abdul Aziz, baginda berfatwa zakat fitrah boleh dibayar dengan nilai wang. Memandangkan penggunaan wang lebih sesuai pada hari ini, maka ia lebih diraikan demi kemaslahatan ummah seluruhnya.

“Manakala anak yang lahir pada waktu terakhir Ramadan tidak wajib dibayar zakat fitrahnya kerana anak itu hanya hidup pada waktu Syawal sahaja.

Bukan sekadar itu, orang yang hidup sepanjang Ramadan dan meninggal dunia sebelum masuknya waktu Syawal, maka tidak wajib juga zakat fitrah. Ini kerana, hanya orang yang hidup pada dua waktu, Ramadan dan Syawal sahaja wajib zakat,” katanya.

Menurutnya, tidak wajib anak yang sudah cukup bulan tetapi si ibu belum melahirkan sehinggalah masuk satu Syawal untuk dibayarkan zakatnya. Jika dibayar, ia menjadi sunat muakkad sahaja. Ini kerana, Islam tidak mengambil kira semasa bayi masih berkeadaan janin (dalam rahim ibu) dan inilah pendapat yang kuat sebagaimana yang disebut oleh Dr Yusuf al- Qaradawi dalam kitabnya, Hukum Zakat.

Mengenai saudara baru (muallaf) pula, jika dia masih kecil (belum akil baligh misalnya), maka orang yang menaunginyalah yang mengeluarkan zakat ke atasnya. Tetapi, jika sudah dewasa atau remaja, maka jika mereka mampu mereka keluarkan sendiri. Jika tidak mampu, maka tidaklah wajib zakat fitrah ke atasnya.

Sebagai tambahan, majikan tidak wajib membayar zakat fitrah pembantu rumahnya kerana pembantu itu bukan tanggungan yang wajib dinafkahi.

Pembantu itu ada gajinya dan dia wajib menjelaskan zakat fitrahnya sendiri. Namun, jika  majikan mahu menjelaskannya juga, perlu memberitahu kepada pembantunya, sebagai tanda minta izin daripadanya.





Salah faham Ramadan

Salah faham Ramadan
Jangan jadikan solat Tarawih lebih wajib daripada solat fardu. - Gambar hiasan


Salah faham Ramadan
Jangan tinggalkan sahur anda, kerana bangun sahur ada berkatnya. - Gambar hiasan


KEHADIRAN Ramadan adalah satu rahmat daripada ALLAH yang melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-Nya. Dalam keterujaan umat Islam berpuasa dan beribadat pada bulan yang mulia ini terdapat beberapa kesilapan yang sering dilakukan umat Islam.

Dengan itu, tanpa disedari bahawa apa yang dilakukan Muslim itu boleh mengurangi nilai puasanya di sisi ALLAH SWT atau gagal memaksimumkan ganjaran pahala pada bulan yang penuh berkat ini.

Penceramah bebas, Mohd Yaakub Mohd Yunus berkata, antara kesilapan paling fatal yang dilakukan ketika Ramadan adalah berpuasa tetapi tidak mengerjakan solat.

Menurutnya, ibadat solat adalah tiang asas bagi agama Islam dan sekiranya tiang ini runtuh maka runtuhlah segala-galanya berkaitan dengan agama.

Ini sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Pangkal semua urusan agama adalah Islam, dan tiangnya adalah solat, dan puncak tertingginya adalah jihad. (Riwayat Imam al-Tirmidzi)

“Lantaran itu terdapat ulama yang berpegang kepada pandangan akan kafirnya mereka yang meninggalkan solat secara sengaja berpendapat puasa yang dilakukan itu tidak sah.

"Bagi golongan ulama yang berpandangan bahawa mereka yang meninggalkan solat itu masih Muslim sehingga dia terang-terang menentang atau meragui kewajipan bersolat tersebut, maka puasanya tetap sah dan tidak wajib mengqada puasa tersebut namun ibadat puasanya dikhuatiri tidak diterima atau tidak mendapat ganjaran di sisi ALLAH," katanya.

Terdapat juga sesetengah pihak yang gagal memahami falsafah di sebalik ibadat puasa ini lalu mereka tetap melakukan perbuatan-perbuatan yang bercanggah dengan syarak seperti melakukan perbuatan maksiat, mengumpat, berbohong dan lain-lain lagi. Maka sia-sialah ibadat puasa mereka,” katanya.

Golongan yang rugi

Mohd Yaakub berkata, terdapat juga kesalahan di mana wujud segelintir umat Islam yang terlalu sukar untuk berpisah dengan bantal dan tilamnya yang empuk lalu tidak bersahur secara sengaja. Mereka ini termasuk di dalam golongan yang rugi kerana pada ibadat sahur itu terdapat keberkatan.

“Maksud keberkatan di sini ialah wujudnya ganjaran serta pahala yang besar dalam ibadat sahur tersebut. Bagi mereka yang mempercepatkan makan sahur iaitu sebelum tidur malam juga tidak dianggap telah bersahur kerana apa yang disunatkan adalah melewatkan sahur pada penghujung malam iaitu ketika menjelangnya fajar.

Pandangan bahawa kadar masa untuk bersahur itu tamat apabila masuknya waktu imsak adalah bertentangan dengan firman ALLAH yang bermaksud: “Makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)." (Surah Al-Baqarah : 187)

Mohd Yaakub berkata, jelas menerusi ayat ini waktu untuk bersahur tamat apabila berkumandangnya azan untuk solat subuh,” katanya.

Satu lagi kesalahan kata penulis buku Karya Bestari ini, adalah setelah seharian berlapar dan dahaga, apabila tibanya waktu berbuka kita seakan-akan tidak sabar untuk menjamah hidangan sehingga tidak sempat untuk berdoa sedangkan pada waktu itulah doa mudah untuk dimakbulkan oleh ALLAH.

“Oleh itu perbanyakkan doa dan apabila masuk waktu Maghrib segerakan berbuka. Waktu berbuka puasa pula dijadikan medan untuk kita melepas geram dengan menyediakan terlalu banyak jenis hidangan sehingga berlaku pembaziran serta makan secara berlebihan.

“Sewajarnya, ibadat puasa dijadikan medan untuk melatih jiwa seorang Muslim yang bertakwa lagi penyabar direalisasikan ketika berbuka puasa dengan memakan makanan pada kadar yang sederhana,” kata penulis buku Manisnya Iman.

Utamakan solat fardu

Kata Yaakub, sempena Ramadan, umat Islam berlumba-lumba untuk mengerjakan solat Tarawih secara berjemaah. Ini adalah suatu amalan yang mulia dan wajar diberi pujian.

Namun begitu apa yang agak kurang wajar adalah apabila solat Tarawih yang sunat ini lebih diutamakan daripada solat fardu yang wajib.

Sebagai contoh jumlah umat Islam yang mengerjakan solat fardu secara berjemaah di masjid terutamanya ketika solat Subuh agak kurang berbanding dengan ketika solat Tarawih.

“Terdapat juga pihak yang berpandangan solat Tarawih ini hanya boleh dilaksanakan di masjid secara berjemaah," katanya.

Pada zaman Rasulullah SAW, Baginda pernah mengerjakan solat Tarawih ini secara berjemaah bersama sahabat Baginda pada beberapa malam.

Kemudian Baginda meninggalkannya lalu solat Tarawih tersebut didirikan secara bersendirian kerana khuatir ia akan diwajibkan. Oleh itu bagi yang tidak berkesempatan untuk mendirikan solat Tarawih di masjid maka lakukan ia di rumah masing-masing.

Di tengah-tengah masyarakat juga Yaakub berkata, tersebarnya fahaman yang kurang tepat mengenai perkara yang membatalkan puasa serta makruh untuk dilakukan.

Sesungguhnya memasukkan sesuatu menerusi rongga badan seperti mengambil suntikan ubat, menyedut ubat gas ventolin inhaler ke dalam mulutnya bagi pesakit lelah, berbekam, menampal gigi dan mengambil darah,  tidak membatalkan puasa.

Apa yang membatalkan puasa adalah memasukkan makanan atau minuman ke dalam tubuh menerusi rongga badan atau metode yang lain,” katanya.


Mencari Lailatulqadar

Mencari Lailatulqadar
Bagi yang kuat beribadat, malam al-qadar mungkin akan dimiliki. - Gambar hiasan

Mencari Lailatulqadar
Lailatulqadar banyak ganjarannya, tiada pada malam lain. - Gambar hiasan


LAILATULQADAR atau malam al-Qadar diketahui umum sebagai malam yang amat istimewa buat seluruh umat Islam. Firman ALLAH SWT : Ertinya : “Malam al-Qadar lebih baik dari seribu bulan”  (Surah Al-Qadr : 2).


Pada malam ini jugalah Nabi Muhammad SAW bersungguh-sungguh beribadat melebihi malam-malam Ramadan yang lain. Disebutkan di dalam sebuah hadis ertinya : “Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat 10 malam terakhir Ramadan, tidak sebagaimana Baginda pada malam-malam yang lain” (Riwayat Muslim, no 1175 )


Ringkasnya, lailatulqadar adalah malam berkat yang diturunkan padanya al-Quran (secara sepenuhnya dari Lawh Mahfuz ke Baytil Izzah di langit dunia sebelum diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW secara berperingkat).


Pensyarah Kanan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Zaharuddin Abd Rahman berkata, pada malam ini juga, sekiranya melakukan ibadat al-Qadar seperti melakukan ibadat seribu bulan.


Menurutnya, berdasarkan Imam At-Tabari selepas membawakan hampir semua pendapat semua pihak beliau menterjemahkan dengan katanya: Ertinya : Pendapat yang paling tepat daripada zahir teks nas yang diturunkan adalah pendapat yang mengatakan erti seribu bulan adalah “beramal pada lailatuqadr sama dengan amalan seribu bulan yang tiadanya lailatulqadar (selain bulan Ramadan). (At-Tabari, 30/259)


“Selain itu, pada malam itu juga, turunnya malaikat dan roh (Jibrail AS). Hal ini disebutkan dalam al-Quran daripada Surah al-Qadr. Manakala, dalam sebuah hadis disebutkan bahawa pada malam tersebut, malaikat akan turun dan berjalan kepada seluruh individu yang sedang beribadat secara berdiri, duduk, bersolat, berzikir, serta memberi salam kepada mereka dan mengaminkan doa mereka maka ALLAH akan mengampunkan mereka kecuali empat kumpulan: peminum arak, penderhaka ibu bapa, pemutus silaturahim dan individu yang sedang bermusuhan.


“Malam itu juga disebutkan sebagai malam yang sejahtera. Hinggakan syaitan juga tidak mampu untuk melakukan kejahatan dalamnya. Sejahtera dan keberkatan ini akan berterusan sehingga naik fajar dan bukannya pada saat tertentu sahaja,” katanya.


Ibadat sepanjang malam


Beliau yang juga Pengerusi Multaqa Asatizah dan Du’at (Murshid) berkata, ulama antaranya Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menyebut bahawa tarikh malam lailatulqadar sengaja disembunyikan oleh ALLAH agar umat manusia berusaha bersungguh-sungguh bagi mencarinya, bagaimanapun ada disebutkan terdapat tanda-tanda akan kemunculan malam yang terhebat ini.


Menurut pandangan yang paling kuat dalam kalangan ulama, ia berlaku pada 10 malam yang terakhir, iaitu pada malam ganjil. Sebahagian ulama pula mengatakannya bersifat tetap pada setiap tahun iaitu pada malam 27 Ramadan. Manakala majoriti ulama termasuk Imam An-Nawawi As-Syafie pula berpendapat ia bertukar-tukar pada setiap tahun dan tidak kekal pada satu tarikh.


“Berdasarkan dalil hadis al-Bukhari, kemungkinan besar adalah jatuh pada tujuh malam terakhir iaitu sama ada 25, 27 atau 29 Ramadan. Daripada tiga tarikh harapan itu, tarikh 27 Ramadan adalah yang paling diharapkan kebanyakan umat Islam (terutamanya di negara Arab) dan ia juga dipegang kebanyakan sahabat Nabi serta ulama silam, sehinggakan seorang sahabat bernama Ubay Bin Ka’ab ra bersumpah ia adalah malam ke 27 (pada zamannya secara khasnya kerana beliau telah melihat tandanya dan yakin tarikh itu tidak berubah pada tahun-tahun berikutnya) dan zaman lain umumnya.


Untuk mengetahui tanda kehadiran malam al-Qadar, kata Zaharuddin, seperti hari esoknya tidak terlampau panas dan tidak pula sejuk, matahari pula tidak memancarkan sinarannya dan pelbagai lagi. Ia semuanya berasal daripada hadis yang sahih.


“Bagaimanapun tanda-tanda ini tidaklah begitu penting bagi individu yang benar-benar beribadat sepanjang malam. Ia juga tidak banyak memberikan manfaat kerana malam tersebut sudah terlepas sekiranya tanda itu dikenal pasti esoknya. Malah, tanda ini juga adalah amat sukar menjadi tepat  kerana suasana dan cuaca sesebuah negara adalah berlainan.


Ini bermakna, tanda tersebut hanyalah contoh yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW dan tidak lebih dari itu. Namun ada ulama menganggap seseorang yang mendapatinya akan mengetahui.


Diberi kelebihan


Zaharuddin yang juga penceramah bebas berkata, bagaimanapun, pandangan yang lebih tepat adalah seseorang individu itu mampu mendapat kebaikannya, sama ada ia mengetahuinya atau tidak mengetahuinya, tanpa menafikan bahawa sesetengah individu diberi rezeki dan kelebihan oleh ALLAH untuk mengetahuinya melalui pelbagai cara termasuk mimpi, tanda menarik dan mungkin pelik dan sebagainya.


“Tidak perlulah untuk solat malam di tepi pokok atau di hadapan baldi air, kerana ingin memastikan waktu pokok sujud atau air menjadi beku. ALLAH akan memberikan tandanya menurut kehendak-Nya.


“Justeru, seharusnya kita sentiasa bersemangat dan bersungguh-sungguh memenuhi malam tersebut dengan solat, zikir, doa, taubat dan istighfar.


Mudah-mudahan dengan demikian kita merasai kelebihan lailatulqadar, sehingga kita dapat menikmati kebahagiaan yang kekal di syurga,” katanya.


Lalu ALLAH mewartakan bentuk doa yang sepatutnya, iaitu yang merangkumi kebaikan dunia dan akhirat dan dilebihkan portion atau bahagian akhirat apabila ditambah “selamatkan daripada api neraka”.


Bererti doa untuk bahagian akhirat perlu lebih dari dunia.


Lihat doa yang diingini ALLAH: Ertinya : “Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: “Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa neraka.” (Surah Al-Baqarah : 201 )



Rabu

Kiamat pasti datang


Kiamat pasti datang, masa dan saatnya, hanya Allah saja mengetahuinya. Bagaimanapun, tanda-tanda awal kiamat sudah berlaku tanpa kita sedari. Malah, Nabi Muhammad SAW sendiri banyak kali mengingatkan umatnya mengenai tanda dan kedatangan kiamat. 

Daripada Abu Hurairah, katanya Rasulullah SAW bersabda: Belum akan terjadinya kiamat sebelum banyak haraj. Bertanya sahabat: Apakah itu haraj ya Rasulullah? Jawab Baginda: Pembunuhan! Pembunuhan! Kes pembunuhan bukan lagi menjadi perkara luar biasa pada zaman ini. Malah, saban hari media memaparkan pelbagai kes pembunuhan. Justeru, seperti diramalkan Rasulullah SAW, kiamat semakin hampir dengan tanda yang berlaku. 
Tokoh agama, Datuk Hassan Din al Hafiz menjelaskan 16 tanda kecil kiamat sudah berlaku seperti yang diutarakan dalam kitab Udratul Nasihah Fi Asrar Assaat. 

Pertama, dunia mengalami kemelesetan ekonomi. Ini sudah terbukti ketika ini, banyak negara Eropah termasuk Greece, Sepanyol, Ireland dan Portugal masing-masing mencatatkan kemelesetan ekonomi yang teruk sejak beberapa tahun dengan beban hutang terlalu tinggi. 

Kedua, apabila negara dipimpin oleh pemimpin kejam. Ini juga sudah berlaku jika dilihat punca kebangkitan di negara Arab adalah disebabkan rakyat bangun menentang pemerintah mereka yang kejam. 

Ketiga, apabila ramai orang kaya yang berhutang. Rumah besar, kereta besar dan perniagaan maju tetapi hutang keliling pinggang, katanya ketika dihubungi baru-baru ini. 
Tanda awal kiamat yang keempat pula apabila ramai wanita dipilih menjadi pemimpin negara dan mereka ditaati. Sejak kurun ke-20, banyak negara di dunia ini pernah atau masih diperintah golongan wanita antaranya Australia, United Kingdom, Sri Lanka, India, Israel, Argentina dan Portugal. 

Tanda lain ialah apabila umat Islam saling kutuk mengutuk, salam hanya diberikan kepada orang yang dikenali dan orang agama lari ke bukit serta hutan seperti sekolah pondok atau pusat pengajian agama dibina jauh daripada penempatan penduduk, di atas bukit dan dalam hutan. 

Banyak bangunan pencakar langit 

Selain itu, kewujudan banyak persatuan buruh juga antara tanda awal kiamat, bangunan pencakar langit banyak dibina, diikuti semakin ramai anak menderhaka kepada ibu bapa, ramai wanita berkahwin yang tidak mahu anak atau anak ramai dan mereka lebih suka memandulkan diri. 

Ramai wanita di dunia ini yang suka mendedahkan aurat serta kegiatan homoseks berleluasa, ibu lebih menghormati anak berbanding anak menghormati ibu, berlakunya perbuatan bapa merogol anak sendiri atau sumbang mahram, banyak berlaku gempa bumi dan tsunami. 

Hassan berkata, sepuluh tanda besar kiamat pula seperti lahirnya Imam Mahadi, keluarnya Dajjal yang menyesatkan manusia, turun Nabi Isa, muncul Yakjud Makjud, Kaabah diruntuhkan, matahari terbit sebelah barat, keluar asap di merata-rata tempat, tiupan angin sepoi bahasa yang mematikan orang beriman, al Quran diangkat dan tiupan sangkakala oleh Malaikat Israfil. 

Daripada Huzaidah bin Asid al Ghifari, Rasulullah SAW menjenguk kami semasa kami sedang ingat mengingati satu sama lain, lalu Baginda bertanya: Apa yang kamu sedang fikirkan? Kami menjawab: Kami mengingati perihal hari kiamat dan saat berlakunya. 

10 tanda besar kiamat 

Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya saat kiamat tidak akan berlaku melainkan selepas kamu melihat sebelumnya 10 alamat. Lalu Baginda SAW menyebut alamat atau tanda-tanda itu iaitu: asap, Dajal (orang yang menyembunyi dan mengubah keadaan perkara benar dengan perkataan dustanya atau perbuatan sihirnya) Dabbatul-Ardh, terbit matahari dari pihak masuknya (dari pihak barat), turunnya Nabi Isa anak Mariam, dan Ya'juj wa Ma'juj. 

Hassan menasihatkan umat Islam supaya sentiasa bersiap sedia kerana walaupun kiamat besar belum tiba, tetapi kiamat kecil iaitu kematian boleh berlaku pada bila-bila masa. 

Kiamat kecil bagi manusia adalah kematian. Waktu dan saatnya tidak dapat diketahui manusia. Justeru, kita haruslah sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia dengan memenuhkan masa beramal dan patuh kepada tuntutan agama, katanya.


Ahad

Ibadat puasa tercela jika tidak hirau solat fardu


Keghairahan menjalani ibadat Ramadan, banyak perkara sering kita abaikan sehingga menjejaskan amalan di bulan mulia ini. Antara kesilapan dilakukan ialah ibu bapa begitu bersungguh-sungguh menyuruh dan melatih anak kecil berpuasa tetapi tidak memberi penekanan terhadap latihan solat. 

Pendakwah bebas, Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang, berkata penekanan terhadap amalan solat lebih diutamakan dengan Rasulullah SAW sendiri memerintahkan ibu bapa supaya menyuruh anak mereka bersolat ketika berusia tujuh tahun. 

Katanya, tiada nas khusus mengenai umur diperintahkan berpuasa bagi kanak-kanak, tetapi ulama menyamakannya seperti perintah solat berdasarkan kemampuan anak-anak. 
Di sini, menunjukkan perintah melatih anak supaya bersolat ketika berusia tujuh tahun lebih utama. Kesimpulannya, tidak salah menyuruh anak berpuasa tetapi pada masa sama perlu bersungguh-sungguh melatih mereka solat, katanya. 

Katanya, kesilapan lain yang sering dilakukan ketika Ramadan ialah bersungguh-sungguh melaksanakan solat tarawih secara berjemaah yang hukumnya sunat tetapi mengabaikan solat Subuh dan fardu lain secara berjemaah yang lebih dituntut. 

Ke masjid ketika Ramadan 

Malah, ada yang ke masjid ketika Ramadan saja, tetapi tidak ke masjid untuk berjemaah di bulan lain. 
Lebih malang katanya, mereka yang berpuasa tetapi meninggalkan solat terutama solat Subuh dan Asar. 

Ramai yang ambil mudah bab solat ini, solat Subuh tinggal kerana sepanjang malam habiskan masa menonton Olimpik, apabila masuk Subuh tidak terjaga. 
Bagi yang bekerja, keluar pejabat tidak solat Asar dulu, kemudian terperangkap kesesakan lalu lintas dan setibanya di rumah, masuk waktu berbuka. 

Ada juga yang berbuka di luar seperti restoran dan hotel, disebabkan leka makan dan lepak selepas makan hingga habis waktu Maghrib lalu terlepas waktu solat. Bukankah ini kerugian sangat besar? katanya. 

Beliau turut menegur wanita yang mendedahkan aurat kerana tindakan itu bukan hanya mengurangkan pahala puasa tetapi juga mengeringkan pahala orang lain iaitu bukan muhrim yang melihatnya. 

Syed Mohd Norhisyam berkata, umat Islam tidak sepatutnya menjadikan bazar Ramadan sebagai lokasi kunjungan wajib setiap hari kerana membeli makanan ketika lapar selalunya mendorong kepada pembaziran. 

Begitu juga niat murni bertadarus al-Quran yang menjadi amalan pada Ramadan tetapi biarlah ia dilakukan mengikut tertib, bukan semata-mata kerana hendak khatam segera. 

Tadarus bermaksud seorang membaca dan ahli kumpulan mendengar serta menegur jika ada kesilapan bacaan bukannya membaca beramai-ramai atau membahagi bahagian yang perlu dibaca supaya khatam segera. 

Bacaan perlu betul tajwid 

Bacaan perlu dihayati dan betul tajwidnya seperti yang Rasulullah SAW mengulang kaji al-Quran bersama Jibril di bulan Ramadan, katanya. 

Katanya, banyak perkara sunat menjadi rebutan umat Islam pada bulan puasa untuk mendapat ganjaran berlipat ganda tetapi disebabkan kurangnya kefahaman, maka ibadat sunnah itu gagal dihayati. 

Contohnya, sunnah Rasulullah SAW yang menggalakkan orang berpuasa supaya melewatkan bersahur tetapi apa yang berlaku, ramai mempercepatkan waktu sahur dengan menikmati hidangan pada waktu tengah malam sebelum tidur. 

Amalan itu bukan saja tidak mendatangkan pahala tetapi boleh menjejaskan kesihatan terutama sistem penghadaman kerana mengambil makanan berat sebelum tidur. 

Selain amalan sepanjang Ramadan, sambutan hari raya juga banyak yang tidak selari dengan ajaran sebenar Islam. 

Allah menganugerahkan hari raya untuk hamba-Nya bergembira tetapi ada antara kita menjadikan hari raya hari kesedihan. 

Amalan menziarahi kubur untuk mengingati kematian dan ia tidak seharusnya dilakukan hanya ketika hari raya untuk mengundang kesedihan. 

Amalan ini boleh dilakukan pada bila-bila masa. Hari raya untuk bergembira dan dalilnya kita diharamkan berpuasa pada hari raya pertama, katanya. 

Selain itu, ibu bapa tidak seharusnya mudah mengalah dengan tindakan anak yang enggan mengikut mereka menziarahi sanak saudara pada hari raya semata-mata hendak menonton televisyen. Akibatnya nanti, anak tidak kenal saudara mara.






Berdoa sepanjang Ramadan


Orang berpuasa khususnya dalam Ramadan memiliki beberapa kelebihan untuk berdoa. Ini termasuk dalam beberapa ketika dan situasi doa yang dimakbulkan ALLAH.

Satu daripadanya adalah ketika menjelang waktu berbuka puasa. Doa yang tidak akan ditolak itu dilakukan pada saat berbuka. Abdullah bin Umar RA meriwayatkan hadis daripada Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang berpuasa itu mempunyai satu kesempatan berdoa yang tidak akan ditolak pada saat ia berbuka puasa.” (Riwayat Imam Ibnu Majah dan al-Hakim).

Selain waktu berbuka, dalam Ramadan memberikan banyak kesempatan waktu berdoa yang makbul. Antara waktu doa yang makbul iaitu:

1. Malam lailatulqadar

ALLAH berfirman yang bermaksud: “Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibrail dengan izin Tuhannyauntuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sehingga terbit fajar.” (Surah Al- Qadr : 3-5). Imam As-Syaukani dalam kitab Tuhfatu Dzakirin berkata bahawa kemuliaan lailatulqadar mengharuskan doa setiap orang pasti dikabulkan.

2. Ketika berpuasa

Orang berpuasa termasuk golongan yang doanya mustajab. Doa yang tidak akan ditolak itu dilakukan pada saat berbuka. Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Ada tiga orang yang tidak ditolak doanya ; orang yang sedang berpuasa ketika dia berbuka, pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi.” (Riwayat At-Tirmidzi dan Ibnu Hibban).

3. Sepertiga akhir malam.

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Rabb kami yang Maha Berkah lagi Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia hingga berbaki sepertiga akhir malam, lalu berfirman ; sesiapa yang berdoa, maka Aku akan kabulkan, sesiapa yang memohon, pasti Aku akan memperkenankan dan sesiapa yang meminta ampun, pasti Aku akan mengampuninya”. (Shahih Al-Bukhari).

Termasuk sepertiga malam terakhir ialah waktu bersahur. Alangkah baiknya jika umat Islam memanfaatkan waktu yang tersisa sebelum dan selepas makan sahur untuk membanyakkan doa berbanding menyambung tidur. Berdoa atau meminta sesuatu daripada ALLAH bukanlah sembarangan ibadah. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada sesuatu yang lebih mulia kepada ALLAH SWT melainkan doa.” (Riwayat At-Tirmidzi).

Adab berdoa

Selain tiga waktu dan situasi yang dinyatakan, terdapat beberapa lagi waktu atau situasi doa seorang Islam itu mustajab. Antara yang disebutkan ulama berdasarkan dalil ialah setelah selesai solat fardu, waktu antara azan dan iqamat, pada waktu azan, ketika hujan turun, ketika melihat orang dijemput ajal, pada hari Arafah dan beberapa situasi lain lagi.

Antara faktor yang mempengaruhi sesuatu doa itu dimakbulkan atau tidak adalah adab ketika berdoa.

Pertama sekali ialah doa itu hanya ditujukan permintaannya kepada ALLAH dan tidak melalui perantara atau wasilah yang dilarang oleh agama seperti menyeru orang yang sudah mati atau selain daripada-Nya.

Abdullah bin Abbas RA menceritakan, “Saya pernah berada di belakang Nabi lalu beliau bersabda, “Wahai anak kecil, sesungguhnya saya akan mengajarkan kepada mu beberapa ucapan: Jagalah ALLAH nescaya Dia akan menjaga mu, jagalah ALLAH nescaya kamu akan mendapati Dia berada di depan mu.

Jika kamu meminta maka mintalah hanya kepada ALLAH, dan jika kamu meminta pertolongan maka mintalah pertolongan hanya kepada ALLAH.” (Riwayat At-Tirmidzi dan Ahmad).

Kedua, merendahkan suara ketika berdoa, tidak di dalam hati tapi juga tidak menguatkannya. Ini sesuai dengan apa yang dikatakan oleh ALLAH dalam Kitab-Nya, “Berdoalah kepada Rabb kalian dengan rendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya ALLAH tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Surah Al-A’raf : 55).

Ketiga, merendah diri kepada ALLAH ketika berdoa kepada- Nya. Ini seperti yang dijelaskan dalam al-Quran maksudnya: “Kemudian Kami seksa mereka dengan kesengsaraan dan kemelaratan, supaya mereka memohon (kepada ALLAH) dengan tunduk merendahkan diri. Maka mengapa mereka tidak memohon (kepada ALLAH) dengan tunduk merendahkan diri ketika datang seksaan Kami kepada mereka, bahkan hati mereka telah menjadi keras, dan syaitan pun menampakkan kepada mereka kebaikan apa yang selalu mereka kerjakan.” (Surah Al-An’am : 42-42).

Keempat, tidak mendoakan keburukan untuk diri, keluarga, dan harta benda, kerana mungkin ALLAH SWT akan mengabulkannya. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah kalian mendoakan keburukan pada diri kalian, jangan mendoakan keburukan pada anak kalian, dan jangan mendoakan keburukan pada harta kalian. Jangan sampai doa kalian bertepatan dengan saat dikabulkannya doa dari Allah lalu Dia akan mengabulkan doa kalian.” (Riwayat Imam Muslim).

Kelima, berdoa bersungguh-sungguh atau memastikan permintaannya dan tidak mengembalikannya kepada masyi`ah (kehendak) ALLAH, kerana hal itu menunjukkan kurang perhatiannya dia kepada doanya dan dia tidak terlalu berharap kalau ALLAH akan mengabulkan doanya.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Jika salah seorang daripada kalian berdoa maka janganlah sekali-kali dia berkata, “Ya ALLAH ampunilah aku jika Engkau kehendaki.” Akan tetapi hendaklah dia memastikan apa yang dia minta dan hendaknya dia benar-benar mengharap, kerana ALLAH sama sekali tidak pernah menganggap besar sesuatu yang Dia berikan.” (Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim).

Keenam, memulai dengan memuji ALLAH dan selawat kepada Nabi Muhammad SAW dan juga menutup doanya dengan ini. Fudhalah bin Ubaid RA menceritakan bahawa, Nabi mendengar seorang lelaki berdoa di dalam solatnya, dia tidak memuji ALLAH Ta’ala dan juga tidak berselawat kepada Nabi.

Maka Nabi berkata, “Orang ini tergesa-gesa,” kemudian beliau memanggil orang itu lalu beliau berkata kepadanya atau kepada selainnya, “Jika salah seorang antara kalian berdoa maka hendaknya dia memulainya dengan memuji dan menyanjung ALLAH, kemudian dia berselawat kepada Nabi, kemudian setelah itu baru dia berdoa.” (Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi).

Ketujuh, menggunakan perkataan yang jami’ dalam berdoa, iaitu yang lafaznya ringkas akan tetapi makna yang terkandung di dalamnya sangat dalam lagi sangat luas. Contoh doa yang terbaik ialah doa yang diajarkan Nabi Muhammad SAW karena bagindalah pemilik aljawami’ al-kalim (kata-kata yang jami’). Isteri Nabi, Aisyah binti Abu Bakar RA. Menceritakan bahawa Nabi menyukai doa yang singkat tapi padat maknanya, dan meninggalkan selain itu.” (Riwayat Imam Abu Daud).

Dan beberapa adab-adab umum yang lain seperti mengulangi doa sebanyak tiga kali, menghadap ke arah kiblat, berwuduk sebelum berdoa dan mengangkat dua tangan ketika berdoa.

Beberapa sarjana Islam telah menghimpunkan doa dan zikir daripada al-Quran dan hadis. Antara yang paling dikenali termasuklah kitab al-Adzkar karangan Imam Nawawi dan ia sudah diringkaskan oleh sarjana mutakhir, Dr Said bin Ali bin Wahf al-Qahthani dengan judul Hisnul Muslim.