Jumaat

Menyegerakan Zakat Fitrah

Menyegerakan Zakat Fitrah
Nescaya ALLAH akan melipat gandakan lagi pahala individu berzakat. - Gambar hiasan

Menyegerakan Zakat Fitrah
Pemberian zakat fitrah akan menggembirakan mereka yang berhak.

RAMADAN dan zakat fitrah tidak dapat dipisahkan, malah tidak sempurna puasa tanpa zakat fitrah. Zakat fitrah bermakna zakat badan atau zakat jiwa. Semua orang Islam diwajibkan, sama ada lelaki, perempuan, orang tua, kanak-kanak, bayi, orang gila, merdeka mahu pun hamba sahaya.

Abu Hurairah menyatakan: “Nabi Muhammad SAW telah mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan kepada orang yang merdeka, hamba sahaya, lelaki dan perempuan, anak-anak, dewasa, fakir atau kaya daripada kalangan kaum Muslimin,” (Riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim)

Namun sejauh manakah umat Islam benar-benar memahami zakat fitrah?. Eksekutif Komunikasi Korporat, Lembaga Zakat Selangor, Hamizul Abdul Hamid berkata, fuqaha memang berbeza pendapat tentang siapakah yang perlu mengeluarkannya, sama ada diri sendiri ataupun wali nasab, yakni orang yang wajib menanggung nafkah.

Amalan di Malaysia, zakat fitrah dikeluarkan oleh wali bagi semua tanggungannya. Dalam hal ini ada sebuah hadis berbunyi: “Bayarlah zakat fitrah daripada semua orang yang menjadi tanggungjawab kalian.” (Riwayat Baihaqi).

“Perkara paling asas, fuqaha menyatakan orang yang wajib menanggung nafkah itulah wajib memberikan zakat fitrah tanggungannya. Di sini, yang wajib ialah mereka yang dinamakan sebagai wali nasab (sedarah daging) atau penanggung nafkah, iaitu bapa, datuk, bapa saudara dan sebagainya.

“Jika anak angkat, andai sudah tiada wali nasab yang boleh dihubungi, maka penjaganyalah yang wajib membayarkan zakat fitrahnya. Ada juga pandangan, jika sudah dibuat perjanjian dengan bapa kandungnya bahawa bapa angkat akan menanggungnya, maka terlepaslah kewajipan bapa kandung si anak tersebut,” katanya kepada Rehal.

Menurutnya, andai anak yatim, sama juga jika sudah tidak berjumpa dengan mana-mana wali nasab, maka penjaganya yang wajib membayarkannya.

Jika anak tiri, pun masih kena lihat, andai sudah tiada wali nasabnya, maka bapa tirinyalah yang wajib mengeluarkannya.

Namun, jika kesemua mereka sudah ada kemampuan sendiri, misalnya walau masih belajar namun mendapat biasiswa atau wang hasil kerja sampingan, maka mereka lebih berhak mengeluarkannya sendiri. Tetapi, penjaga yang bukannya wali nasab masih boleh mengeluarkannya dengan syarat memaklumkan dahulu kepada anak-anak jagaannya itu.

Anak yang bekerja perlu membayar sendiri

Beliau yang juga pendakwah zakat bertauliah berkata, anak yang sudah bekerja sendiri, sama ada lelaki dan perempuan lebih berhak mengeluarkan sendiri zakat fitrahnya. Bahkan, jika mereka mahu mengeluarkan zakat fitrah ibu bapa juga boleh dan perlu memaklumkannya kepada ibu bapa.

“Manakala, kepada anak perempuan yang sudah berkahwin tanggungjawab itu perlu diselesaikan oleh suaminya.

“Waktu untuk menunaikan zakat fitrah pula bermula sejak satu Ramadan, walau bagaimanapun, ulama berbeza pendapat mengenai waktu wajibnya. Imam Syafie dan Malik menyatakan, ia menjadi wajib apabila terbenamnya matahari pada akhir Ramadan. Manakala Abu Hanifah pula menyatakan, ia wajib setelah terbit fajar satu Syawal,” ulasnya.

Menurut Hamizul, untuk memudahkan kita, ulama fikah telah membahagikan waktunya seperti berikut, iaitu harus sejak awal Ramadan, menjadi wajib atau paling utama sebelum solat Aidilfitri dan makruh setelah menunaikan solat Aidilfitri. Sesiapa yang tidak menunaikan zakat fitrah sehingga terbenam matahari satu Syawal, maka dia dianggap berdosa dan wajiblah segera mengeluarkannya dan kala itu ia dianggap qada.

Jangan bersikap menangguhkan

Islam  menyediakan satu ruang waktu yang amat luas bagi umatnya menunaikan zakat fitrah dan tidak sepatutnya ada orang boleh terlupa. Selalunya orang terlupa bila sengaja menunggu sehingga ke saat akhir. Jadi, jangan bertangguh.

Mungkin ada orang berhujah, mereka mahu menunggu ke saat akhir menunaikan zakat fitrah, demi mendapatkan pahala yang lebih besar. Berkenaan pahala ini, fuqaha tidak pula beranggapan menunaikannya lebih awal akan kurang pahalanya berbanding menunaikannya saat-saat akhir, lagi pun ia adalah tergantung kepada ALLAH SWT yang menentukannya.

Orang yang terlupa wajib segera mencari mana-mana fakir miskin dan serahkanlah zakat fitrah pada waktu itu juga dan fuqaha menyatakan ia sudah menjadi qada. Iringi juga dengan taubat dan berazam untuk tidak melalaikan lagi zakat fitrah selepas ini.

Majikan tidak wajib fitrahkan pembantu

Bertalu-talu persoalan mengenai zakat fitrah dilontarkan daripada individu yang peka antaranya adakah orang miskin juga perlu membayar zakat fitrah. Hamizul menjelaskan zakat fitrah diwajibkan kepada semua orang Islam, tanpa mengira sama ada mereka kaya, miskin, merdeka atau hamba sahaya.

Syaratnya, mereka mesti ada makanan yang cukup bermula dari malam satu Syawal hingga tamat satu Syawal. Orang miskin yang memenuhi syarat ini, wajib mengeluarkan zakat. Cuma ada sebahagian fuqaha menyatakan, jika orang miskin itu menjadi mampu disebabkan bantuan zakat, maka mereka tidak dibebani untuk mengeluarkan zakatnya, kerana punca hartanya adalah dari zakat juga.

“Saya masih ingat ada juga individu bertanyakan bolehkah kita membayar zakat fitrah dengan beras dan bukannya wang, Mengikut kepada ketetapan asal di sisi Syafie, memang begitu. Tetapi, sebahagian fuqaha berpendapat adalah harus mengeluarkan zakat fitrah dengan harga (wang).

Pada zaman Umar bin Abdul Aziz, baginda berfatwa zakat fitrah boleh dibayar dengan nilai wang. Memandangkan penggunaan wang lebih sesuai pada hari ini, maka ia lebih diraikan demi kemaslahatan ummah seluruhnya.

“Manakala anak yang lahir pada waktu terakhir Ramadan tidak wajib dibayar zakat fitrahnya kerana anak itu hanya hidup pada waktu Syawal sahaja.

Bukan sekadar itu, orang yang hidup sepanjang Ramadan dan meninggal dunia sebelum masuknya waktu Syawal, maka tidak wajib juga zakat fitrah. Ini kerana, hanya orang yang hidup pada dua waktu, Ramadan dan Syawal sahaja wajib zakat,” katanya.

Menurutnya, tidak wajib anak yang sudah cukup bulan tetapi si ibu belum melahirkan sehinggalah masuk satu Syawal untuk dibayarkan zakatnya. Jika dibayar, ia menjadi sunat muakkad sahaja. Ini kerana, Islam tidak mengambil kira semasa bayi masih berkeadaan janin (dalam rahim ibu) dan inilah pendapat yang kuat sebagaimana yang disebut oleh Dr Yusuf al- Qaradawi dalam kitabnya, Hukum Zakat.

Mengenai saudara baru (muallaf) pula, jika dia masih kecil (belum akil baligh misalnya), maka orang yang menaunginyalah yang mengeluarkan zakat ke atasnya. Tetapi, jika sudah dewasa atau remaja, maka jika mereka mampu mereka keluarkan sendiri. Jika tidak mampu, maka tidaklah wajib zakat fitrah ke atasnya.

Sebagai tambahan, majikan tidak wajib membayar zakat fitrah pembantu rumahnya kerana pembantu itu bukan tanggungan yang wajib dinafkahi.

Pembantu itu ada gajinya dan dia wajib menjelaskan zakat fitrahnya sendiri. Namun, jika  majikan mahu menjelaskannya juga, perlu memberitahu kepada pembantunya, sebagai tanda minta izin daripadanya.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan