Puasa bukan sahaja menahan daripada lapar dan dahaga tetapi menguji kesabaran umat. - Gambar hiasan
Sahabat Nabi bernama Abu Sa’id al-Khudri RA meriwayatkan dari Nabi Muhammad SAW bahawa Baginda bersabda ertinya; “Barang siapa sungguh-sungguh berusaha untuk sabar, nescaya ALLAH akan memudahkan kesabaran baginya, dan tidaklah seseorang dianugerahi pemberian yang lebih baik dan lebih luas daripada sifat sabar.” (riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim)
Ramadan juga dikenali sebagai ‘bulan kesabaran’ seperti yang diriwayatkan dalam kitab Silsilah Hadis Sahih oleh Syaikh Muhammad Nasiruddin al-Albani. Ibadah puasa dalam bulan ini dan sifat sabar mempunyai kaitan sangat erat. Jika makna puasa ialah menahan diri dari makan, minum dan perkara-perkara membatalkan puasa, demikian juga definisi sabar.
ALLAH berkata dalam kitabnya tentang sabar, maksudnya; “Maka bersabarlah kamu dengan kesabaran yang indah.” (Al-Ma’arij ayat 5) Di dalam kitab tafsirnya Fathul Qadir, Imam Syaukani menjelaskan makna kesabaran yang indah sebagai; menahan diri daripada berputus asa, dan menahan lisan daripada keluh-kesah, serta menahan anggota badan daripada perbuatan yang dilarang ALLAH.
Hubungan ibadah puasa dan sabar
Ibadah puasa dan ibadah sabar punya hubungan yang erat. ALLAH menjanjikan ganjaran pahala yang tidak terbatas kepada orang-orang sabar dalam al-Quran, maksudnya; “Sesungguhnya orang-orang yang bersabar akan disempurnakan (ganjaran) pahala mereka tanpa batas.” (Surah az-Zumar, ayat10)
Ini senada dengan ganjaran yang ALLAH janjikan kepada orang-orang yang berpuasa. ALLAH menentukan jumlah ganjaran yang akan diperoleh untuk kebanyakan amal ibadah. Sebagai contoh 10 ganjaran pahala untuk setiap huruf bacaan al-Quran. Begitu juga ganjaran sehingga 700 kali ganda pada orang-orang yang ikhlas bersedekah.
Sebaliknya untuk ibadah puasa, ALLAH merahsiakan ganjaran yang akan diberikan. Kata nabi dalam satu hadis, maksudnya; “Semua amal (soleh yang dikerjakan) manusia dilipatgandakan (pahalanya), satu kebaikan (diberi ganjaran) 10 sampai 700 kali lipat. ALLAH Taala berfirman: “Kecuali puasa (ganjarannya tidak terbatas), karena sesungguhnya puasa itu (khusus) untuk-Ku dan Akulah yang akan memberikan ganjaran (kebaikan) baginya.” (riwayat Imam al-Bukhari & Imam Muslim)
Seorang sarjana Islam Ibnu Rajab al-Hambali menjelaskan eratnya hubungan puasa dengan sifat sabar dalam ucapan beliau, “Sabar itu ada tiga macam: (1) sabar dalam melaksanakan ketaatan kepada ALLAH, (2) sabar dalam meninggalkan hal-hal yang diharamkan-Nya, dan (3) sabar dalam menghadapi ketentuan-ketentuan-Nya yang tidak sesuai dengan keinginan. Ketiga bentuk sabar ini terkumpul dalam ibadah puasa, kerana (dengan) berpuasa (kita harus) bersabar dalam (menjalankan) ketaatan kepada ALLAH, dan bersabar dari semua keinginan syahwat yang diharamkan-Nya bagi orang yang berpuasa, serta bersabar dalam (menghadapi) beratnya (rasa) lapar, haus, dan lemahnya badan yang dialami orang yang berpuasa” (Lataif Ma’arif)
Sabar menghadapi musibah akhir zaman
Rukun sabar ada tiga. Ini dijelaskan oleh Ibnu Qayyim al-Jawziyah iaitu menahan diri dari sikap murka terhadap ketentuan ALLAH, menahan lisan dari keluh-kesah, dan menahan anggota badan dari perbuatan yang dilarang oleh ALLAH.
Beliau membawakan contoh di dalam kitabnya al-Wabilis Shayyib seperti menampar wajah (ketika terjadi musibah), merobek pakaian, memotong rambut dan sebagainya. Hal ini sering dilakukan oleh orang-orang kafir dan penganut agama Syiah yang dilaknat oleh ALLAH.
Nabi menyebutkan banyak musibah dan ujian akan berlaku melanda umat Islam pada akhir zaman. Dalam kitab-kitab hadis, peristiwa yang akan
melanda umat akhir zaman diletakkan dalam satu bab khusus diberi judul Bab Fitnah yang bermaksud fitnah atau ujian.
Antaranya seperti Bab Fitan dalam kitab Sahih Bukhari, Sunan Tirmidzi, Ibnu Majah dan Bab Fitan wa Asyratus Sa’ah dalam kitab Sahih Muslim. Syaikh Yusuf Abdillh bin Yusuf al-Wabil telah menyusun sebuah buku khusus membicarakan tentang peristiwa dan musibah yang akan melanda umat akhir zaman.
Di dalam bukunya, Asyratus Sa’ah (Hari Kiamat Sudah Dekat) beliau menyenaraikan 57 tanda-tanda kecil kiamat dan 9 tanda-tanda besar.
Sebahagian besar dari tanda-tanda itu termasuklah bencana dan musibah yang menimpa umat akhir zaman.
Satu dari musibah yang menimpa umat akhir zaman ialah kezaliman para penguasa dan pemerintah. Tidak sedikit daripada pegawai dan penguasa umat Islam hari ini yang bertindak menyimpang daripada ketentuan ALLAH dan Rasul-Nya. Rasuah dan korupsi bermaharajalela begitu juga dengan penyalahgunaan kuasa. Ini dapat dilihat di banyak negara dan wilayah yang diduduki oleh umat Islam seperti Iraq, Mesir, Syria dan beberapa lagi.
Namun kepada mereka yang membaca dan meneliti hadis-hadis Nabi, ini bukan sesuatu yang mengejutkan. Nabi banyak kali memberi amaran akan munculnya kezaliman dan kejahatan penguasa dan pemimpin. Antaranya yang bermaksud; “Akan ada nanti pemimpin-pemimpin yang kamu suka amalan mereka dan ada yang kamu benci (kerana ia maksiat), sesiapa yang mengenal pasti maksiat yang dilakukan maka dia terlepas, sesiapa yang ingkar dia selamat, tetapi (yang binasa) adalah yang reda dan mengikut”. Para Sahabat berkata: ‘Apakah tidak boleh kami memerangi mereka?’ Kata Baginda: “Tidak boleh selagi mereka bersolat”. (riwayat Imam Muslim)
Syaikh Muhammad bin Ibrahim bin Abdullah At-Tuwaijiri dalam kitabnya Mukhtasar Fiqh Islami menyusun sebuah bab khusus tentang kewajipan bersabar terhadap kezaliman dan keegoan penguasa. Beliau telah menghimpunkan beberapa hadis Nabi tentang tema berkaitan.
Sahabat Nabi bernama Usaid bin Khudair bercerita bahawa seorang lelaki Ansar bertanya kepada nabi, ‘Wahai Rasulullah, mengapa engkau tidak memperkerjakan ku sebagaimana engkau memperkerjakan si fulan?’ Nabi menjawab, ‘Sesungguhnya kalian akan mendapati setelah masaku sikap egois penguasa. Bersabarlah kalian sampai berjumpa denganku di telaga (dalam syurga).’ (riwayat Imam al-Bukhari & Imam Muslim)
Dari sahabat Abdullah bin Abbas “Sesiapa yang membenci akan perbuatan pemimpinnya (yang maksiat) maka bersabarlah kerana sesungguhnya sesiapa yang keluar menentang pemerintah sejengkal lalu mati, maka dia mati sebagai orang jahiliah”. (riwayat Imam al-Bukhari & Imam Muslim)
Pemahaman yang benar tentang bersabar ketika berhadapan dengan penguasa yang zalim diwarisi oleh generasi soleh terdahulu. Sarjana Islam merakamkan sekian banyak perkataan mereka di dalam kitab-kitab yang dikarang.
Ibnu Abi Ashim dalam kitabnya, As-Sunnah menukilkan perkataan beberapa orang sahabat. Beliau merakamkan perkataan Sahabat Abu Darda berkata yang bermaksud;
"Janganlah kamu melaknat (memaki hamun) pemimpin (penguasa), kerana melaknat mereka dapat memangkas agama, dan membenci mereka dapat melukainya."
Lalu beliau ditanya, ‘Hai Abu Darda’ Apa yang harus kamu lakukan jika melihat sesuatu yang tidak kami sukai pada diri mereka? Beliau menjawab, ‘Bersabarlah kamu! Kerana sesungguhnya ALLAH melihat yang demikian pada diri mereka, nescaya ALLAH akan menahan mereka dengan kematian.’ (juga direkodkan oleh Ibnu Hibban di dalam kitab As-Siqah)
Imam Ibnu Abdil Barr berkata, “Jika tidak memungkinkan untuk menasihati penguasa (dengan cara yang syar’i), maka solusi akhirnya adalah sabar dan doa, karena dahulu mereka –yakni sahabat- melarang daripada mencaci penguasa”. Kemudian beliau menyebutkan satu atsar daripada Anas bin Malik berkata, “Dahulu para pembesar sahabat Rasulullah melarang daripada mencaci para penguasa.” (At-Tamhid, Al-Imam Ibnu Abdil Barr)
Ad-Dawudi pula menyebut: ‘Yang menjadi pegangan para ulamak mengenai para pemerintah yang zalim ialah sekiranya mereka boleh dipecat tanpa sebarang fitnah dan kezaliman, maka wajib dipecat, jika tidak, maka wajib bersabar.’(Fath al-Bari oleh Ibn Hajr al-Asqalani)
Demikian beberapa petikan fatwa daripada ulama terkemuka generasi awal Islam tentang bersabar ketika menghadapi musibah kezaliman para penguasa. Catatan ini penting, memandangkan siri-siri demonstrasi, rusuhan dan pemberontakan sering sahaja berlaku di negara-negara umat Islam.
Paling jelas tindakan mereka ini amat bertentangan dengan apa diperintahkan ALLAH dan Rasul. Antara Ramadan, puasa dan sabar ternyata ia saling menyangkut sehingga berhadapan dengan penguasa zalim. Inilah Islam yang dirujuk sebagai agama dan cara hidup lengkap. Bab ini ditutup dengan anekdot tentang puasa dan pemerintah.
Zaidah bin Qudamah bertanya kepada Mansyur bin Muktamar, “Apabila saya berpuasa, bolehkah saya mencela penguasa?” Beliau menjawab, “Tidak.”
Zaidah bertanya lagi, “Kalau begitu, bolehkah saya mencela hamba hawa nafsu (orang yang mencela penguasa).” Beliau menjawab, “Ya! Boleh.” (Ash-Sham wa Adab Lisan, Ibnu Abi Dunya & Al-Hilya, Abu Nu’im)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan