Jangan abaikan rezeki yang dianugerahkan Allah SWT.- gambar hiasan
Setiap anak yang dilahirkan telah ditentukan rezekinya oleh ALLAH SWT. Dengan itu, ibu bapa secara langsung turut sama menumpang rezeki anak.
Ada juga kes insan tidak mensyukuri kurniaan ALLAH ini dengan tindakan kejam seperti membuang anak mereka di merata tempat sehingga menyebabkan kematian. Ini bermakna dia juga membuang rezeki bersama anak tersebut.
Pakar Motivasi dan Kaunseling Keluarga, Dr Robiah Kulup Hamzah berkata, anak adalah hadiah daripada ALLAH. Setiap anak juga memang ada rezekinya yang perlu dicari oleh ibu bapanya.
Menurutnya, masyarakat jangan salah faham apabila mengatakan setiap anak ada rezekinya. Maknanya, setiap rezeki yang ada pada anak tersebut harus diusahakan oleh ibu bapanya untuk mencari.
“Bukan hanya menunggu rezeki itu datang bergolek bersama anak selepas dilahirkan. Mungkin ada yang memakan masa lama atau sekejap sahaja selepas bayi dilahirkan. Itu semua ketentuan ALLAH.
“Memang ALLAH telah tentukan setiap anak ada rezekinya. Tetapi jika tidak diusahakan ibu bapa yang menjaganya, maka rezeki itu tidak ditemui,” katanya kepada penulis.
Robiah berkata, rezeki yang dimaksudkan bukanlah berbentuk harta semata-mata, tetapi boleh datang dalam pelbagai bentuk misalnya rezeki kebahagiaan, keharmonian dan ketakwaan kepada ALLAH.
“Misalnya, selepas melahirkan anak. Jawatan ibu atau bapa di tempat kerja dinaikkan. Maka itu adalah antara rezeki yang perlu dikongsi bersama anak.
“Jangan anggap rezeki tersebut atas usaha sendiri sahaja atau secara kebetulan, tetapi semuanya diaturkan ALLAH kepada umat yang mensyukuri nikmat yang diberikan-Nya,” katanya.
Jangan sombong
Justeru, kata Robiah, ibu bapa juga jangan sombong dengan rezeki diperoleh. Seolah-olah rezeki tersebut adalah hak sepenuhnya ke atasnya.
“Jangan sombong dengan anak, jangan sombong dengan ALLAH. Jika sombong, semua rezeki tersebut boleh ditarik ALLAH.
“Kadang-kadang kedengaran ibu bapa menegah anaknya daripada mengambil duitnya disebabkan segala harta itu diperoleh daripada usaha kerasnya bekerja siang malam. Padahal dia lupa bahawa semua rezeki itu mungkin daripada anak yang perlu dikongsi,” katanya.
Tambah Robiah lagi, mungkin tidak ramai sedar bahawa kehadiran anak adalah pemberi motivasi kepada ibu bapa untuk bekerja bersungguh-sungguh dalam membesarkan anak mereka sesempurna diingini.
“Jika betul acuannya, maka anak ini akan memberi banyak kebaikan kepada ibu bapanya. Ibu bapa berperanan mencorak mereka sejak daripada kecil hingga dewasa sama ada menjadi insan berguna atau sebaliknya.
“Anak jugalah yang akan membela ibu bapanya pabila usia emas kelak. Jika tiada mereka, siapa yang akan menjaga ketika mereka terlantar sakit,” katanya.
Maka katanya, jagalah anak selayaknya agar mereka boleh berbakti kepada ibu bapanya kelak dan terus menyayangi, di samping sentiasa bersyukur kehadiran mereka di dalam keluarga.
“Doa anak soleh juga penting kepada ibu bapa apabila meninggal dunia, agar dilepaskan daripada azab seksa neraka.
“Segalanya bergantung kepada didikan ibu bapa terhadap anak (termasuk didikan agama) dan sentiasa menjaga amanah diberikan ALLAH kepada mereka dengan sebaiknya atau sebaliknya” katanya.
Apa yang penting kata Robiah, ibu bapa perlu jaga hubungan dengan anak dan ALLAH. Berilah didikan seperti mana dianjurkan oleh agama dan sunahnya.
“Sekiranya salah didikan maka hancurlah anak tersebut tidak dapat mendoakan sekiranya ibu bapa telah meninggal dunia.
“Selain itu ibu bapa jangan takbur dengan anak, setiap rezeki ada bahagiannya untuk anak. Anak jadi penyebab kepada rezeki,” katanya.
Salah niat boleh syirik
Robiah berkata, anak juga penyambung kepada amalan ibu bapa. Mereka akan mewarisi apa yang dilakukan ibu bapa. Jika amalan ibu bapa baik, maka baiklah akan diikuti anak. Begitu juga dengan sebaliknya.
“Nama baik keluarga akan terus terjaga sekiranya anak membesar dengan sempurna dan perwatakan baik seperti ibu bapanya.
“Tambahan, penyambung zuriat ini juga pengerat hubungan keluarga, mereka juga boleh menghuru-harakan keluarga. Justeru ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak agar memperoleh kebahagiaan keluarga,” katanya.
Apa yang menyedihkan katanya, ada beranggapan anak menjadi beban kepada ibu bapa. Disebabkan itu, ada segelintir ibu bapa tidak mahu menambah anak kerana memikirkan beban bakal dihadapi.
“Tanggapan tersebut, boleh jatuh menjadi syirik kerana menolak rezeki daripada ALLAH. Ia juga terjadi apabila ibu bapa tidak ikhlas menerima anak di dunia ini.
“Jika tidak ikhlas maka rezeki tidak berkat dan kosong semula rezeki anak itu yang tertulis oleh ALLAH,” katanya.
Ditanya kebanyakan ibu kini mengambil kaedah perancang keluarga katanya, perlu lihat pada niat ibu tersebut menggunakannya dan kaedah digunakannya sama ada mengikut cara dibenarkan oleh Islam atau tidak.
Kesimpulannya, apa yang penting betulkan niat apabila mahu melahirkan ataupun mempunyai anak. Ini kerana setiap daripada mereka ada rezekinya dan ibu bapa perlu faham semua ketentuan ini.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kalian membunuh anak kalian kerana takut miskin Kami adalah memberi rezeki mereka dan kepada kalian sungguh membunuh mereka adalah dosa besar.” (Surah Al-Isra’: 31)
sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan