“SAHAJA aku berpuasa pada Ramadan pada esok hari kerana ALLAH SWT.” Niat berpuasa yang menjadi siulan di malam dan waktu sahur sebulan bulan puasa. Betapa terujanya umat Muslim menyambut kedatangan bulan barakah setahun sekali.
Paling utamanya adalah penghayatan merangkumi persiapan diri dari segi mental dan fi zikal dalam menghadapi saat ujian ini, bukan senang untuk mendapat Ramadan terbaik tetapi tidak susah mengacapinya.
Dari segi bahasa Ramadan ertinya panas terik, panas yang menyengat atau kekeringan. Bulan ke sembilan selalunya jatuh pada musim panas yang sangat menyengat.
Manakala menurut Istilah syarak, Ramadan bermaksud bulan rahmat kerana diwajibkan berpuasa pada bulan tersebut. Ramadan juga dikenali sebagai syahrun mubarak bermaksud,
bulan yang penuh keberkatan.
Cara menjadikan Ramadan terbaik
Penulis buku dakwah, Pahrol Mohd Juoi, 51, berkata, setiap kemahuan untuk mendapat natijah terbaik pasti terselit sedikit ujian. Saban tahun kita mengerjakan ibadat puasa. Sudah
tentu kita mahu ibadat itu diterima ALLAH SWT dalam keadaan yang baik dan lengkap.
Menurutnya, hayati pengertian puasa sepenuhnya, jangan hanya menahan lapar namun tidak menjaga kelakuan daripada perbuatan maksiat. Tanamkan dalam diri tahun ini aku mahu melakukan banyak kebaikan seperti khatam al-Quran, sembahyang tarawih dan ibadat sunat yang lain.
“Sesetengah individu di awal puasa memang selalu nampak di masjid namun akhir-akhir Ramadan batang hidung langsung tidak kelihatan. Ramai yang memberikan alasan
penat akibat seharian bertungkus-lumus di tempat kerja tetapi jangan diikutkan sangat rasa penat itu.
“Banyak cara untuk menjadikan Ramadan kali ini berbeza seperti sebelumnya antaranya:
- Berdoa dengan penuh rindu.
Hendaklah kita menanti Ramadan dengan penuh rindu. Jika belum terasa rindu, latih-latihlah diri dengan berdoa seperti yang diajarkan Nabi Muhammad SAW ini: “Ya ALLAH Berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan”.
- Menyambut Ramadan dengan rasa gembira dan syukur.
Apabila tiba sahaja Ramadan, bergembiralah dan sambutlah kedatangannya dengan rasa syukur. Mereka tidak melepaskan peluang ini. Mereka lakukan segala ibadat dengan penuh kegembiraan dan keseronokan. Apabila akhir Ramadan mereka menangis kerana takut jika tidak dapat menyambut Ramadan akan datang.
- Membuat persiapan, fi zikal, mental, rohani dan emosi.
Paling penting ialah persiapan rohani. Bangunkan rasa ikhlas, sabar, gembira dan tidak merasa terbeban untuk berpuasa dan menghidupkan malam pada bulan Ramadan. Manakala di sudut akal pula, perlu disediakan ilmu mengenai ibadat puasa dan segala ibadat sunat di dalamnya seperti solat Tarawih, Tadarus al-Quran dan sedekah. Selain daripada itu, menjaga kesihatan juga sangat dituntut kerana ibadah puasa tidak akan dapat dilaksanakan jika badan sakit. Begitu juga, siapkanlah wang dan kemampuan material yang cukup untuk memudahkan bersedekah atau memberi makan kepada orang yang berpuasa. Manakala dari segi emosi pula, hendaklah dibina rasa gembira dan ceria menyambut Ramadan dan beribadat di dalamnya. Kawallah rasa marah, boring, mahupun tertekan apabila menjalan ibadat puasa.
- Bertaubat atas dosa-dosa.
Hendaklah ditempuh jalan taubat supaya diri diampunkan menjelang bulan yang mulia. Jika diri telah dilatih bertaubat, momentum itu akan dapat dilanjutkan dalam Ramadan. Taubat itu soal hati, bukan boleh dilakukan secara tiba-tiba tanpa diawali kesedaran, latihan dan kesungguhan.'Panaskan' diri kita dengan ibadat sunat seperti membaca al-Quran, berzikir dan solat-solat sunat. Ini akan memudahkan ibadat itu pada bulan Ramadan nanti.
- Selesaikan semua hutang puasa.
Selesaikan semua hutang puasa yang masih berbaki. Begitu juga jika ada kesalahan-kesalahan dengan saudara-mara dan teman, cepat-cepatlah minta maaf. Manakala jika ada sahabat-sahabat atau saudara mara yang minta maaf, minta halal, maka maafkanlah dan halalkan setakat kemampuan kita. Hadapilah bulan Ramadan dengan diri yang bersih dari
segala dosa, sama ada dengan ALLAH atau sesama manusia.
- Hiasi, sediakan rumah dan segala peralatan ibadat.
Sepatutnya rumah kita dibersihkan dan dihiasi menjelang bulan puasa kerana ALLAH juga memerintahkan malaikat menghiasi syurga menjelang bulan Ramadan. Menghiasi rumah menjelang Hari Raya, tidak salah tetapi menghiasi rumah menjelang Ramadan lebih terpuji dan dituntut. Begitu juga segala peralatan untuk beribadat seperti al-Quran, baju, telekung
solat dan segala yang hendak digunakan bagi beribadat. Tidak salah menyelenggarakan kereta untuk mudah dibawa solat tarawih, membuat jadual waktu yang selaras dengan keperluan
Ramadan atau senarai semak ibadat yang perlu dilaksanakan agar kita bersedia bukan sahaja dengan cakap-cakap tetapi benar-benar secara sikap,” katanya panjang lebar.
Sahabat Nabi hayati Ramadan
Ustaz Pahrol menjelaskan, sahabat Nabi begitu gembira apabila datangnya Ramadan dan menitiskan air mati sebaik berakhirnya bulan barakah itu. Tanya pada diri mampukah kita
menjadi seperti mereka?.
Pada dasarnya, cara Sahabat Rasulullah menjalani ibadah berpuasa adalah sama seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah sendiri.
Secara ringkasnya adalah seperti berikut:
- Mempercepatkan membuka, melewatkan sahur.
- Banyak bertadarus al-Quran.
- Banyak bersedekah.
- Sentiasa menghidupkan malam.
- Tidur khailulah (dalam masa sedikit sebelum waktu zuhur).
- Tidak membazir waktu berbuka.
- Meninggalkan perkara dan perbuatan yang sia-sia apalagi yang berdosa.
- Memperbanyakkan doa dan bertaubat.
- Mengawal hati daripada ingat selain ALLAH (puasa khusus).
- Menjaga niat dan adab sepanjang berpuasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan