SEBENARNYA isu halal haram berkisar kepada tiga perkara asas: pertama, sikap pengguna yang beragama Islam terhadap nilai halal haram makanan yang dibeli; kedua, sikap penjual sama ada mereka menghormati pantang-larang orang Islam; dan ketiga, penguatkuasaan undang-undang sama ada mencukupi untuk membendung perbuatan menipu logo halal.
Pentingnya pilih makanan Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd Fadzli Ismail, berkata pemahaman mengenai pentingnya memilih makanan sememangnya diketahui umum. Ramai yang gemar memilih makanan mengikut kemampuan, keinginan dan selera masing-masing.
Bagaimanapun, mereka hanya melihat kelazatan dan khasiat tanpa meneliti sejauh mana kesesuaiannya untuk dimakan, terutama dari segi kebersihan dan halal menurut syariat.
“Makanan yang suci dan bersih menjamin kesihatan yang baik. Di samping memilih makanan berzat dan berkhasiat, sebaik-baiknya perlu ditekankan soal kebersihan dan kesuciannya dari segi syariat agama.
“Islam menitikberatkan kesihatan umatnya. Seseorang mukmin yang sentiasa prihatin terhadap kebersihan dan kesucian makanannya setiap hari akan melahirkan nur keimanan dalam diri untuk turut sama menjaga kebersihan secara keseluruhannya, termasuk pakaian, tempat tinggal, tubuh badan, tingkah laku dan sebagainya,” katanya kepada Rehal.
Menurutnya, dalam ibadat asas agama iaitu solat, aspek terpenting yang ditekankan ialah kebersihan diri. ALLAH tidak akan menerima solat hambaNya yang beribadat dalam keadaan kotor.
Keadaan itu sesuai dengan maksud hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban iaitu: “Menjadi bersihlah kamu, kerana sesungguhnya Islam itu bersih.”
Kesan buruk si pemakan
ALLAH berfirman: “Makanlah apa yang dikurniakan ALLAH kepada kamu daripada benda yang halal lagi bersih. Bersyukurlah dengan nikmat ALLAH jika kamu benar-benar menyembah ALLAH. Sesungguhnya ALLAH hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang sembelihan bukan kerana ALLAH. Maka, sesiapa dalam keadaan yang terpaksa memakannya, sedang dia tidak sengaja dalam mencarinya, sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun lagi Maha penyayang.” (Surah al-Nahl :114-115)
Mohd Fadzli menerangkan, makanan haram sama ada daripada bahan yang dicampuri najis dan benda syubhah atau daripada punca yang tidak halal serta syubhah boleh mendatangkan tiga bahaya besar kepada pemakannya, iaitu:- Pertama, makanan itu akan mempengaruhi jiwa seseorang sehingga dia berasa lebih gemar melakukan maksiat dan bencikan kerja-kerja kebajikan. Kedua, doanya tidak akan dimakbulkan ALLAH.
Ketiga, ia akan menyebabkan dia mendapat seksaan neraka di akhirat kelak.
“Apa jua bentuk makanan halal dan bersih perlu diikuti peraturan memakannya sebagaimana disarankan Islam.
“Makanan seimbang umpamanya, akan dapat menghindarkan diri seseorang daripada dihidapi penyakit tertentu,” ulas anak jati Kelantan ini lagi.
Menurutnya, ikutilah saranan Rasulullah yang menyarankan perut manusia diisi dengan satu pertiga air, satu pertiga makanan dan satu pertiga lagi adalah udara. Ia amat bertepatan dengan ilmu Sains dan kesihatan yang perlu diamalkan manusia. InsyaAllah jika cukup jumlah yang disarankan Rasulullah itu, sudah pasti kita bukan saja akan dapat merasai nikmat kenyang bahkan hidup lebih mendapat rahmat dan keredaan ALLAH.
Makanan jadi najis
“Sekiranya kita nampak dan yakin masakannya menggunakan bahan yang tidak dibasuh contohnya telur yang mengandungi najis dan belum dibasuh, maka makanan yang kita makan adalah najis juga. Oleh itu pastikan telur berkenaan dibasuh terlebih dahulu sebelum dimasukkan dalam sesuatu masakan atau direbus.
“Ramai yang bertanyakan mengenai makan bersama orang bukan Islam, ia diharuskan. Begitu juga, memakan makanan yang diberikan orang bukan Islam dibolehkan (halal) jika makanan tersebut terhindar daripada makanan yang diharamkan, seperti mengandungi khinzir, arak atau bangkai (binatang yang haram dimakan atau binatang yang boleh dimakan tetapi tidak disembelih secara syarie) dan sebagainya,” kata Mohd Fadzli.
Menurutnya, insan mukmin perlu menghindarkan diri daripada mengambil makanan yang sudah lama terbuka, dari tin berkarat, makanan yang layu dan sebagainya. Kita memakan sesuatu jenis makanan untuk mendapat sejumlah tenaga mencukupi daripada zat dalamnya. Islam dan ilmu kesihatan begitu intim hubungannya.
Berkongsi perkakas dapur
Rasulullah pernah dijemput oleh seorang Yahudi ke suatu jamuan yang disediakannya, iaitu makanan yang terdiri daripada roti yang diperbuat daripada bijirin barli dan bubur yang sudah berubah baunya, dan Baginda SAW menerima undangan tersebut. (Riwayat Imam Ahmad) Mohd Fadzli berkata, sesetengah orang Islam, berkongsi menggunakan perkakas dapur dengan orang bukan Islam adakala menjadi suatu perkara yang tidak dapat dielakkan dalam kehidupan mereka sehari-hari terutama dalam kalangan pelajar Islam yang belajar di luar negara yang tinggal sebumbung dengan pelajar bukan Islam, mahupun dalam kalangan pekerja Islam yang berkongsi dapur dengan pekerja bukan Islam atau pelancong-pelancong Islam yang tinggal di apartmen-apartmen di luar negeri.
“Tidak dinafikan adakala perkakas tersebut digunakan untuk makanan dan minuman yang tidak halal seperti daging babi atau bahagian lain dari binatang tersebut, daging binatang yang tidak disembelih menurut cara Islam serta cecair yang memabukkan.
“Benda-benda tersebut merupakan najis dalam Islam dan haram ke atas umat Islam untuk memakan atau meminumnya. Perkakas tersebut juga perlu dibasuh terlebih dahulu jika kita hendak menggunakannya dan jika ia digunakan untuk memasak benda yang dikatakan najis Mughallazah seperti babi maka ia perlulah disamak terlebih dahulu (menyiramnya dengan enam air biasa dan satu air tanah),” katanya.
Menurutnya, banyak kitab membicarakan mengenai situasi itu seperti kitab Hawasyi asy-Syarwani mengatakan bahawa makruh menggunakan bejana (perkakas) orang-orang kafir, dan apa yang mereka pakai, dan (manakala) apa yang di bawah-bawah (pakaian dalam) mereka iaitu apa yang langsung menutupi (mengenai) kulit adalah lebih-lebih lagi (makruhnya). Dan (manakala) bejana (perkakas) air mereka itu adalah lebih ringan (makruhnya).”
Sesungguhnya, apa yang kita makan akan mempengaruhi akhlak dan sifat manusia. Rasulullah sangat prihatin dalam soal ini serta berpesan kepada sahabat yang bertanya mengenai bagaimana cara yang paling mudah doa dimakbulkan Tuhan. Maka Rasulullah menyuruh sahabatnya itu menjaga makanan dan memakan makanan yang halal serta baik-baik (bersih).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan