Ahad

Contohi pekerti mulia Rasulullah


FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam sepenuhnya dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya dia adalah musuh kamu yang nyata.” (Al-Baqarah, 208)

Berdasarkan ayat ini, setiap umat Islam diwajibkan menjaga agama yang dianuti dengan memulihara maruah serta kesuciannya supaya Islam sentiasa dipandang mulia oleh masyarakat bukan Islam.

Kini, Islam sering dipandang serong apabila ada di kalangan umat Islam sendiri menganuti ajaran Islam dengan taat kepada perintah serta suruhan Allah SWT, namun dalam masa sama mencemar kemuliaan Islam.

Ramai melaung-laungkan perjuangan atas nama Islam, namun dalam masa sama menggunakan laungan perjuangan itu dengan sewenang-wenangnya melakukan kerosakan yang mendatangkan kerugian kepada pihak lain, sekali gus memburukkan imej Islam.

Sememangnya ini perkara menyedihkan apabila melihat ramai berpecah-belah dan bergaduh sesama sendiri dengan menyatakan bahawa pihaknya sesungguhnya lebih benar, tidak seperti imej Islam sewaktu zaman Rasulullah SAW.

Berbeza pada waktu itu, Rasulullah dan sahabat dapat menunjukkan Islam sebagai agama yang baru dan sebenar-benar agama kepada mata masyarakat Arab Jahiliah hinggakan disegani masyarakat dunia ketika itu walaupun baru mendapat wahyu daripada Allah SWT.

Namun, pandangan Islam yang berusia ribuan tahun ini dicemarkan oleh kerakusan manusia yang kini berpecah belah serta mudah terpengaruh dengan budaya luar.

Sebenarnya, dalam menuntut perjuangan Islam, aspek yang perlu ditonjolkan adalah budi pekerti mulia sebagai mana ditunjukkan Rasulullah SAW dan sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: “Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak mulia.”

Sebagaimana kita ketahui, Rasulullah SAW tidak pernah mengeluarkan kata kesat, apatah lagi memaki hamun.

Namun apa yang kita lihat sekarang ini ada di kalangan masyarakat Islam mudah mengeluarkan kata kesat. Malah ada yang menjadikan perkataan lucah dan maki hamun sebagai mainan lidah mereka.

Jika inilah contoh keperibadian ditonjolkan, tidak hairan orang memandang rendah terhadap Islam.

Selain itu, Islam menganjurkan kita bersabar dan berkata lembut. Jadi, mengapakah ada di kalangan kita yang cepat hilang kesabarannya, mudah marah dan mempunyai gaya pertuturan kasar sehingga dibenci oleh orang lain. Adakah ini sebahagian imej Islam yang kita pelajari?

Di dalam Islam, Allah memerintahkan hamba-Nya menutup aurat, menjaga maruah dan berpakaian sopan.

Malangnya ada di kalangan masyarakat kita yang bukan saja tidak mahu menutup aurat, malah memandang rendah kepada mereka yang ingin menutup aurat.

Adalah dosa besar bagi seseorang Muslim menghina, apatah lagi menghalang saudara sesama Islam mengamalkan ajaran Islam, sekali gus membawa kepada kekufuran dan terkeluar dari Islam.

Sememangnya sukar untuk kita menjaga imej Islam setiap masa kerana sebagai manusia kita banyak melakukan kesilapan dan kesalahan.

Namun kita juga tidak dapat mengelak kenyataan orang yang tidak faham akan mengukur Islam daripada perbuatan kita sebagai penganutnya.

Oleh itu, adalah penting kita cuba sedaya upaya menjiwai Islam dan mempraktikkannya Islam sebenar dalam kehidupan kita dengan mengambil Rasulullah SAW sebagai contoh sebagaimana ditegaskan Allah dalam surah Al-Ahzab, ayat 21 bermaksud: “Demi sesungguhnya dalam keperibadian Rasulullah SAW itu satu contoh baik bagi mereka yang mengharapkan Allah dan hari akhirat dan mengingati Allah dengan banyak.”

Mudah-mudahan, dengan ini kita dapat menghayati makna Islam sebenar dan bukan hanya tergolong dalam umat Islam yang hanya melaksanakan kewajipan dalam Islam, tetapi melanggar nilai murni dan etika Islam.
 
 
Sumber:- myMetroPedoman

Tiada ulasan:

Catat Ulasan