Selasa

Larangan mendoakan keburukan


.


ALLAH tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus terang (untuk mendedahkan kejahatan orang lain), kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan ingatlah Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (an-Nisaa: 148)

Huraian

Allah tidak sukakan perbuatan mengeluarkan perkataan-perkataan yang keji secara terus terang kecuali oleh orang-orang yang dianiayai yang menuntut keadilan dari kezaliman yang telah dilakukan ke atasnya.

Namun demikian Allah tetap sukakan sifat memberi kemaafan terhadap perbuatan yang buruk dan Allah bersifat Maha Pemaaf dan Maha Berkuasa.

Allah juga tidak menyukai orang yang berdoa untuk kecelakaan orang lain melainkan jika ia merasa teraniaya haknya. Tetapi jika ia dapat menahan diri dan bersabar , itu adalah lebih baik.

Allah hanya menyukai kata-kata yang sopan yang tidak menyinggung perasaan yang tidak merosak akhlak.
Perbuatan mengeluarkan perkataan-perkataan celaan yang keji secara terbuka atau terang-terangan (dalam apa jua bentuk) amat mudah dilakukan sekiranya di dalam hati tidak ada perasaan segan kepada dosa dan tidak ada kesedaran takwa kepada Allah.

Apabila tersebarnya perkataan atau berita yang keji ini akan memberi kesan yang mendalam di dalam hati nurani masyarakat dan membolehkan timbulnya perasaan saling tidak mempercayai antara satu sama lain.
Seterusnya mendorong orang ramai menyangka perkara keji itu menjadi lumrah di dalam masyarakat dan tidak ada perasaan segan di dalam hati mereka.

Kesimpulan

Allah menyatakan kebencian-Nya kepada kaum muslimin yang melakukan perbuatan menyebarkan perkataan-perkataan yang keji di kalangan mereka. Allah membataskan hak mengeluarkan perkataan-perkataan yang buruk secara terbuka itu hanya kepada mereka yang mendapat penganiayaan sahaja

2 ulasan:

  1. kerana itu kita harus menjaga setiap kata2 kita kan

    BalasPadam
  2. sebagai manusia kita memang tidak terlepas dari melakukan kesilapan

    BalasPadam