Ahad

Rumah dikunjungi malaikat diberkati Allah



DALAM kehidupan di dunia ini, setiap orang memerlukan tempat tinggal yang aman, damai, sejahtera, selesa dan harmoni sebagai tempat berlindung atau berteduh.

Malah, sebagai umat Islam, pasti kita juga mengharapkan rumah yang diduduki sentiasa mendapat rahmat dan berkat Allah.


Persoalannya, bagaimanakah cara kita selaku umat Islam untuk mendapatkan rumah yang dirahmati? Sebenarnya, antara faktor menyebabkan sesebuah rumah itu mendapat rahmat dan keberkatan adalah disebabkan rumah itu sentiasa dikunjungi Malaikat Rahmat.

Malaikat Rahmat sentiasa taat menjunjung akan perintah Allah SWT dan tidak pernah menderhakai-Nya sebagaimana firman Allah dalam Surah At Tahriim ayat 6, yang bermaksud: “Mereka (malaikat) tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” Apabila Malaikat Rahmat memasuki rumah seseorang, inilah yang disifatkan sebagai satu rahmat, keuntungan dan kebaikan bagi penghuninya.


Penghuni yang beriman akan dikawal dan dijauhkan daripada gangguan syaitan, memperoleh ketenangan dan ketenteraman hati serta dipohonkan keampunan oleh malaikat.


Mereka dipelihara ketika tidur dan jaga, didoakan malaikat, selain doa mereka turut ‘diaminkan’ malaikat ketika mengerjakan solat.

Ini antara kebaikan atau faedah rumah yang dimasuki Malaikat Rahmat. Oleh itu setiap orang mukmin hendaklah sentiasa memelihara perkara yang boleh mendekatkan dan memudahkan Malaikat Rahmat memasuki rumah kita.


Sebaliknya, apabila malaikat tidak masuk ke dalam rumah kita, ditakuti pula syaitan akan mengambil tempat memasukinya.

Apabila syaitan berada pada satu tempat disebabkan ada maksiat dilakukan, malaikat tidak akan masuk ke tempat itu kerana syaitan adalah musuh malaikat.


Perlu diketahui, ada banyak sebab mengapa rumah atau tempat kediaman tidak dimasuki Malaikat Rahmat, antaranya:


  • Rumah orang yang memutuskan tali persaudaraan. Sesungguhnya menghubungkan silaturahim adalah wajib, manakala memutuskannya maksiat dan berdosa besar.




  • Rumah orang yang menderhaka kepada ibu bapa. Kewajipan anak terhadap ibu bapa ialah berbuat baik, taat dan menghormati mereka. Menderhaka adalah sebesar-besar dosa selepas syirik kepada Allah. Sesungguhnya keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa terhadap anaknya dan kemurkaan Allah terletak pada kebencian ibu bapa terhadap anaknya.




  • Rumah orang yang memakan harta anak yatim. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik rumah orang Islam ialah rumah yang tinggal di dalamnya anak yatim yang diberi layanan baik terhadapnya. Dan seburuk-buruk rumah orang Islam ialah rumah yang tinggal di dalamnya anak yatim yang dianiaya.” (Riwayat Al-Imam Ibnu Maajah)




  • Rumah yang mempunyai anjing. Islam menitikberatkan soal kebersihan dan kesucian. Adanya anjing dalam rumah seorang Muslim memungkinkan adanya najis pada persekitaran rumah disebabkan jilatan dan kencing anjing atau seumpamanya.
    Riwayat Imam Al-Bukhari menyatakan, Abi Talhah mendengar baginda Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tidak akan masuk malaikat ke dalam rumah yang ada di dalamnya anjing dan tidak pula masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya patung.”




  • Rumah yang mengadakan majlis namun langsung tidak menyebut perkataan mengingati Allah. Sesuatu majlis yang tidak diisi dengan zikir seperti bertasbih, bertahmid, bertakbir dan tidak diisi ucapan selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW disifatkan sebagai kelalaian, kerugian dan penyesalan disebabkan hilangnya kebajikan, tidak mendapat apa-apa ganjaran atau pahala, jauh daripada Malaikat Rahmat dan bertapaknya syaitan dalam majlis itu.
    Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah satu kaum duduk dalam satu majlis di mana mereka tidak berzikir kepada Allah SWT melainkan ditimpakan ke atas mereka pengurangan pahala.” (Riwayat Al-Imam Ahmad)




  • Rumah yang banyak kedengaran di dalamnya caci maki. Contohnya mencaci maki sesama Muslim, mencaci maki orang yang meninggal dunia, kejadian alam, penyakit dan sebagainya.
    Ini sebagaimana dinyatakan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seorang yang beriman bukan orang yang suka mencela, suka mengutuk, suka berbuat jahat dan bukan pula yang kotor lidahnya.” (Riwayat Al-Imam At-Tarmidzi)




  • Rumah orang yang dilaknat. Antara golongan yang dimaksudkan ialah orang yang terbabit dengan arak dan rasuah, orang yang merubah ciptaan Allah seperti membuat tatu pada tubuh badan, mencukur atau menipis bulu kening, lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki.-- metro



  • Tiada ulasan:

    Catat Ulasan